Isnin, 29 Oktober 2012

Bilionair Syed Mokhtar diserang Bung Kinabatangan


Di Kuala Lumpur, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menolak tuduhan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin yang mendakwa tokoh korporat terkemuka bumiputera, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary memonopoli semua jenis perniagaan di negara ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, dakwaan Bung Moktar tidak dibuat bersandarkan fakta, sebaliknya hanya bersifat retorik politik dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin UMNO ke atas satu-satunya tokoh korporat Melayu paling berjaya itu.

Tegas Ibrahim sebagai Presiden Perkasa, beliau menolak sekeras-kerasnya dakwaan itu kerana boleh menimbulkan pelbagai reaksi negatif dalam kalangan rakyat, khususnya masyarakat bukan Melayu terhadap kerajaan kerana implikasi daripada kenyataan tersebut boleh diputar belit oleh pembangkang.

"Pada saya dakwaan Bung Moktar itu hanya retorik politik kerana tidak dibuat bersandarkan fakta. Bung Moktar ini sahabat saya tetapi sebagai presiden kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diwujudkan demi membela masyarakat bumiputera, Perkasa menolak dakwaan beliau ke atas Syed Mokhtar.

"Apatah lagi dakwaan ini dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang sepatutnya berbangga dengan kejayaan Syed Mokhtar. Lebih malang dibuat di Dewan Rakyat tanpa ada peluang untuk Syed Mokhtar membela diri dan saya anggap kenyataan Bung Moktar terlalu melampau," katanya pada sidang akhbar semalam.

Kelmarin, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim turut menempelak Bung Moktar dan meminta Ahli Parlimen Kinabatangan itu untuk segera menarik balik kenyataan yang telah dikeluarkan terhadap tokoh perniagaan negara.

Bung Moktar dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin mengkritik Syed Mokhtar dengan menyifatkannya sebagai cuba memonopoli semua jenis perniagaan di negara ini sama ada di darat, laut mahupun udara.

Dalam pada itu, Ibrahim mempersoal mengapa Bung Moktar hanya mempertikai Syed Mokhtar sahaja tetapi langsung tidak menyentuh tentang sembilan lagi tokoh korporat paling kaya di Malaysia yang juga mendominasi pelbagai jenis perniagaan di negara ini.

"Kenapa hanya mengkritik dan mempersoal Syed Mokhtar sedangkan beliau layak kerana merit. Beliau sudah membuktikan keupayaan dan contoh paling jelas ialah kejayaan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan selayaknya Syed Mokhtar dipilih untuk menerajui bidang perniagaan strategik tertentu.

"Kalau Bung Moktar mahu bercakap soal dominasi, beliau perlu juga mempersoal dan mengkritik sembilan lagi tokoh bukan Melayu yang paling kaya di negara ini, kenapa tidak persoalkan? Syed Mokhtar bukan sahaja berjaya tetapi menunjukkan komitmen sosial yang tinggi apabila membina 63 masjid di seluruh dunia," tegasnya.



*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...