Ahad, 1 April 2012

Pindaan Akta Mesin Cetak

KUALA LUMPUR 31 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dijangka bakal membentangkan Pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 pada Isnin ini di Parlimen .

Pindaan ini juga akan disusuli bersama dengan undang-undang yang akan menggantikan Akta Keselamatan dalam Negeri 1960 sepertimana yang dijanjikan Kerajaan sebelum ini. Beliau juga menjelaskan Kerajaan juga bakal membuat ketetapan untuk mengkaji secara komprehensif terhadap keperluan kewujudan akta sedia ada dengan mengambil kira kemajuan sektor teknologi komunikasi maklumat (ICT) hari ini.

"Kerajaan tidak boleh dilihat sebagai mempunyai 'double standard' (memberi layanan berbeza) dalam peraturannya terhadap media cetak dan media digital," katanya ketika berucap pada majlis Malam Kewartawanan Malaysia dan penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2011 di sini malam tadi.


Antara yang turut hadir termasuklah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Chamil Wariya. Beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan turut beranggapan antara faktor Malaysia kini pada kedudukan yang bertambah baik dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia pada tahun lalu adalah disebabkan minat pihak Antarabangsa terhadap langkah-langkah yang berjaya direalisasi dengan baik di Negara ini.

Malaysia dilaporkan berada pada kedudukan 122 daripada 178 Negara yang dipantau Organisasi Wartawan tanpa Sempadan pada tahun 2011. Ini menunjukkan peningkatan mendadak jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya (2010) iaitu di tempat 141.

"Di kalangan negara-negara Asia Tenggara, kita berada di tangga pertama menewaskan jiran kita Indonesia yang tidak memerlukan permit untuk menerbitkan akhbar. "Tetapi sebelum dibuai oleh penilaian itu, ingin saya tegaskan kita tidaklah terlalu taksub dengan 'rating' (penarafan) yang diberi oleh pihak luar itu atau menjadikan penarafan itu satu 'gold standard' (piawaian emas) dalam mengukur kebebasan media kita.

Kita mempunyai nilai dan kepentingan tersendiri yang perlu dijaga," jelasnya. Najib dalam pada itu menambah Kerajaan amat prihatin dalam mengamalkan sifat keterbukaan terhadap keperluan dan peranan media yang lebih keperluan dan peranan media yang bebas, adil dan bertanggungjawab dalam memberi kesan positif aspek pembangunan dan perkembangan sesebuah negara. "Kita perlu bersyukur kerana Malaysia semenjak merdeka telah memiliki tradisi serta budaya media seumpama ini.

Hakikatnya dalam komuniti hampir 200 negara-negara bangsa di dunia, kenapakah ada negara yang berjaya dan kenapa pula ada negara yang dikategorikan sebagai gagal. "Apakah faktor-faktor yang menentukan jaya atau gagal sesebuah negara? Adakah ia faktor sumber asli, kepimpinan, institusi, corak demografi, geografi, sistem nilai atau kombinasi faktor-faktor tersebut serta faktor-faktor lain yang tidak disebut? Jawapan kepada persoalan ini bukan mudah tetapi saya yakin dan percaya peranan dan kepentingan pihak media tidak dapat dinafikan.

"Jika media sesebuah negara tidak memainkan peranan yang sepatutnya sebagai cerminan nurani, aspirasi, denyut nadi dan keluh kesah rakyat dengan menyebar maklumat, mendidik, advokasi dan mencetuskan debat terhadap isu semasa, dasar awam dan kepentingan umum secara adil dan bertanggungjawab maka media sebenarnya 'are not doing a service' (tidak memberi khidmat) kepada negara, rakyat dan kerajaan," katanya.

Beliau bekata kerajaan menghormati kedudukan media sebagai sebuah entiti bebas yang melaksanakan peranan untuk memantau dan menegur pentadbiran kerajaan. "Seperti yang selalu saya sebut era kerajaan mengetahui segala-galanya, era kerajaan mempunyai monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir," katanya.

Beliau dalam pada itu memberi maklum balas positif terhadap usaha segenap peneraju Pengarang Media Cetak dalam menubuhkan sebuah Majlis Akhbar Malaysia yang bertindak sebagai badan pengawas untuk mengukuhkan tahap profesionalisme industri berita di negara ini. Malah beliau terlalu yakin di bawah persepakatan itu, kesemua editor dapat memberi satu kata sepakat dalam menyediakan satu satu kod etika dengan lebih terperinci berkaitan prinsip-prinsip kewartawanan. Ia mampu dijadikan panduan utama dalam melaksanakan tugas-tugas pengumpulan serta penerbitan maklumat bagi dijadikan hasil kewartawanan.

"Saya menyerahkan kepada sebuah jawatankuasa khas yang telah dibentuk oleh pengarang-pengarang itu untuk menghasilkan kod etika yang boleh digunakan dan dilaksanakan sepenuhnya. Kerajaan tidak akan campur tangan dan terpulanglah kepada industri untuk mengawal selia diri mereka berkaitan dengan profesionalisme kewartawanan ini. Kerajaan akan menerima apa juga cadangan yang dikemukakan dengan hati dan fikiran yang terbuka." "Dasar kerajaan sendiri adalah untuk mewujudkan negara tanpa wayar sepenuhnya kerana kita tidak mahu warga Malaysia menjadi seperti katak di bawah tempurung dalam era dunia tanpa sempadan sekarang.

Komitmen saya adalah untuk melahirkan warga Malaysia yang berfikiran global dengan akarnya kukuh pada peringkat lokal atau glokal," katanya sebelum mengakhiri ucapan.



* diambil dari Berita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan