Sabtu, 23 Jun 2012

Isu SAR Taman Pegoh Aman dalang DAP

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membidas tindakan PAS yang sanggup bersekongkol dalam usaha menghalang pembinaan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Taman Pegoh Aman di sini, yang bertujuan memberi didikan agama kepada anak-anak penduduk di kawasan tersebut.

Sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang amat malang, NGO berkenaan menegaskan, PAS sepatutnya tampil mempertahankan pembinaan SAR terbabit kerana ia bakal memberi manfaat kepada anak-anak penduduk yang majoritinya beragama Islam.

Menurut mereka, apa yang berlaku membuktikan PAS kini lebih mengutamakan keuntungan politik sehingga sanggup mengenepikan perjuangan agama yang dilaung-laungkan selama ini.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, meskipun berbeza ideologi, pendapat dan perjuangan antara satu sama lain, PAS sanggup mengorbankan asas perjuangannya demi menjaga hati rakan sekutunya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Sepatutnya dalam soal pengembangan agama dan negara Islam, tidak ada kompromi mengenainya. Tidak kira mereka siapa, tindakan itu harus ditentang dan bukannya disokong.

"Pada saya, tindakan Pas itu amat menjijikkan. Janganlah hanya untuk kepentingan politik, semuanya kita redah. Politik pun perlu ada sempadan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tindakan Pas yang kononnya memperjuangkan Islam sanggup bersekongkol dengan PKR membantah pembinaan SAR Taman Pegoh Aman di atas tapak sebuah padang awam di sini atas alasan mahu mempertahankan padang itu untuk kegunaan penduduk.

Pas dan PKR didakwa bukan sahaja membuat demonstrasi mendesak bangunan yang dalam pembinaan itu dirobohkan pada 29 Mei lalu malah turut mengganggu majlis dialog yang diadakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman bagi memberikan penjelasan kepada penduduk Sabtu lalu.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Warisan Adat Melayu Malaysia, Datuk Mohammd Rodzi Awang Kechek pula menyifatkan perjuangan bertahun-tahun Pas menegakkan Islam sudah berkubur apabila tindak-tanduk mereka semakin menampakkan percanggahan.

Menurutnya, perjuangan Islam PAS hanya ada pada simbol memandangkan parti itu kini hanya terarah untuk menarik sokongan politik.

"Pas perlu menjawab kepada rakyat, apa salahnya pembinaan SAR itu sedangkan, ia demi manfaat penduduk di situ yang majoritinya orang Islam.

"Rakyat mempersoalkan apa sebenarnya perjuangan Islam dalam Pas sehingga pembinaan sekolah untuk anak-anak orang Islam sendiri mahu dihalang. Tindakan PAS ini benar-benar mengejutkan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suara Anak Muda 1Malaysia Perak, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, tindakan PAS dan PKR membantah pembinaan SAR Taman Pegoh Aman tidak masuk akal lebih-lebih lagi ia disuarakan parti yang kononnya memperjuangkan kepentingan agama.

"Sekolah itu hanya menggunakan 0.3 hektar daripada 1.6 hektar keluasan keseluruhan padang. Kenapa usaha murni ini mahu dihalang? Bantahan mereka itu benar-benar tidak masuk akal," katanya.

Pembinaan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Taman Pegoh Aman, Pengkalan Pegoh Ipoh terus diperalatkan untuk kepentingan politik pihak tertentu berikutan sekumpulan penduduk di kawasan itu bertindak membuat laporan polis membantah pembinaan bangunan itu.

Difahamkan laporan polis itu telah dibuat di Balai Polis Daerah Ipoh pada jam 10 pagi tadi oleh enam orang penduduk yang mendakwa mewakili penduduk di kawasan itu. Penduduk didakwa membuat laporan polis mendakwa projek itu menceroboh kawasan padang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika ditemui pemberita selepas satu majlis di Stadium Indera Mulia, Ipoh pagi tadi, sekali lagi memberi peringatan keras kepada PKR dan PAS supaya tidak memainkan isu pembinaan SAR itu secara melampau. Katanya isu berkaitan pendidikan amat sensitif dan ianya tidak harus dipolitikkan semata-mata ingin menjadi ‘hero’.

“Saya tidak faham dengan PAS. Yang kita bina adalah sekolah agama untuk keselesaan pelajar. Kenapa nak bantah?Sekiranya kita tidak peduli dengan pelajar ini yang terpaksa belajar agama di bawah khemah, mereka akan kata kita abaikan kebajikan rakyat,” katanya.

Katanya kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera bagi projek tersebut bukan atas kepentingan politik tetapi kerana tidak mahu melihat masalah yang dihadapi pelajar sekolah itu berpanjangan.

"Beberapa bulan lalu, ada penduduk hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya minta jasa baik kerajaan negeri bantu kanak-kanak yang belajar di bawah khemah. "Takkan saya sebagai Menteri Besar dan Datuk Hamidah Osman selaku Exco serta wakil rakyat di kawasan itu dan kerajaan negeri masih hendak dengar cerita orang belajar di bawah khemah," katanya.

Menurut Dr Zambry, beliau tidak faham kenapa isu tersebut dipolitikkan sedangkan majoriti penduduk kawasan itu yang terdiri daripada orang Melayu menyokong pembinaan SAR itu.

"Saya hendak beritahu Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu yang saya difahamkan bukan daripada parti kita juga menyokong projek itu kerana ia satu kepentingan untuk pelajar," ujarnya. PAS dan PKR Gopeng membantah pembinaan SAR Taman Pegoh Aman di atas tapak sebuah padang awam dengan alasan mahu mempertahankan padang itu untuk kegunaan penduduk.

Kedua-dua parti pembangkang itu turut mendakwa tapak projek itu tidak mendapat kelulusan pejabat tanah ( sila lihat foto dibawah ) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta persetujuan penduduk tempatan. PAS dan PKR juga menuduh Barisan Nasional (BN) mahu menggunakan dewan orang ramai, tempat SAR itu beroperasi sebelum ini sebagai bilik gerakan pilihan raya.

Ditanya mengenai dakwaan pembangkang itu, Dr Zambry berkata, ia tidak benar sama sekali dan ia cuma alasan pembangkang untuk membantah projek tersebut. Jelas beliau, projek itu telah mendapat kelulusan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak dan sudah tentu proses untuk mewartakan tapak itu mengambil sedikit masa.

"Semasa dialog pada Sabtu lalu pun, wakil MBI dan pejabat tanah menyatakan tidak ada halangan untuk wartakan kawasan itu. Projek itu sudah lama mendapat kelulusan Mesyuarat Exco. Jadi, saya tidak nampak apa isu yang perlu dibangkitkan," katanya.

Bila kita lihat memorandum yang dihantar oleh penduduk taman itu, hampir semua ditandatangani oleh orang Cina DAP ( sila lihat foto dibawah), sementara yang membantah adalah orang PAS dan PKR.

1 ulasan:

  1. kalau check di blog2 pakatan..depa letak memorandum ni..tapi tak tunjuk siapa yang sign memorandum..seolah2 mahu sembunyikan yang tiada kaum melayu menolak SAR..syabas website ini..lagi satu saya rasa tandatangan ini diambil pada satu2 masa yang sama kerana menggunakan pen dakwat sama..adakah memorandum ni hanya mendapatkan tandatangan dari rumah kaum bukan melayu sahaja????

    BalasPadam