Isnin, 23 Julai 2012

Negeri Perak bakal jadi pengeluar buah anggur

Buah anggur yang biasanya di tanam di negara yang beriklim sederhana sejuk kini hidup subur di Sungai Siput, kawasan yang bercuaca panas.

Ia berikutan tanaman empat musim itu telah mula mengeluarkan buah yang sama manis dan lazat dengan yang terdapat di iklim sederhana seperti di Eropah.

Pegawai Pertanian Sungai Siput, Mohamad Fauzi Mansor berkata, pihaknya menanam tiga varieti anggur iaitu dari jenis anggur hijau, hitam dan merah.

"Dalam tempoh tujuh bulan sahaja ketiga-tiga jenis anggur berbuah dan jenis hijau memperoleh penghasilan terbaik dan anggur jenis merah mengeluarkan perasa jeli dan begitu manis.

"Walaupun kami menanam tiga pokok jenis Alfonso Lavelle namun pada peringkat pertama penuaiannya, kami memperoleh hampir lima kilo buah-buah tersebut.

"Apa yang kami dapati kesuburan pokok anggur yang ditanam di sini mungkin disebabkan kesuburan tanah dan kesesuaian cuaca yang terdapat di sini,'' katanya ketika ditemuramah.

Pokok anggur tersebut mula ditanam April tahun lalu dan mula mengeluarkan buah pada Januari tahun ini dan ranum tiga bulan kemudian.

Pada masa kini, pokok anggur sedang mengeluarkan buah bagi musim kedua.

Beliau berkata, apa yang menariknya setiap pokok tersebut mengeluarkan antara 12 hingga 20 jambak bagi setiap pokok.

Ketika ditanya apa yang menyebabkan pokok itu begitu subur Mohamad Fauzi berkata, ia mungkin disebabkan kesesuaian tanah serta penggunaan baja fertigasi atau organik.

"Penggunaan baja fertigasi atau organik ini menjadikan pokok tersebut begitu subur kerana ia mendapat penyerapan baja dan air yang sekata.

"Apa yang menarik lagi pada masa kini iaitu semasa musim panas berpanjangan, tananam tersebut tidak terjejas malah ia mengeluarkan buah yang banyak dan besar,'' katanya.

Mengenai musuh tanaman pula, beliau berkata, ia mungkin mudah dihinggap oleh burung-burung yang terdapat di kawasan tersebut.

Di samping itu katanya, apa yang menarik lagi kawasan tersebut tidak perlu semburan racun untuk menghapuskan rumput rampai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan