Selasa, 17 Julai 2012

Rakyat dekat bersama Menteri Besar Perak

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bertekad meneruskan tradisinya bertemu rakyat dimana jua walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko keselamatan dirinya.

Katanya, sebagai pemimpin nombor satu negeri beliau seharusnya mengambil nasihat supaya mengamalkan langkah keselamatan ketat bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diduga.

“Sebagai Menteri Besar, saya sentiasa bersikap terbuka ketika bersama rakyat seperti bersalaman. Saya rasa susah kalau tak jumpa rakyat dan saya fikir rakyat berasa gembira apabila mereka bertemu saya sebagai Menteri Besar Perak,’’ katanya kepada pemberita selepas Program Bertemu Pelanggan di Dewan Serbaguna Bangunan SUK hari ini.

Menurut Dr Zambry, beliau berserah kepada takdir dalam soal keselamatan dirinya dan sekiranya sesuatu keajdian yang tidak diingini berlaku ke atas dirinya, beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu sudah ditakdirkan.

Beliau mengulas kejadian amuk di Putrajaya baru-baru ini dimana dua penceroboh disyaki penganut ajaran sesat ditembak polis.

Pada program itu juga Dr Zambry telah menerima satu memorandum dari wakil Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Penduduk –Penduduk Taman Bukit Merah, Taman Badrishah dan Taman Impiana Adril, Menglembu berhubung ancaman kesihatan oleh sebuah kilang PMW Sdn Bhd berhampiran kawasan taman perumahan terbabit.

Dr. Zambry berkata, beliau akan melawat ke kawasan taman perumahan terbabit dalam masa terdekat ini bagi mendengar sendiri keluhan penduduk berhubung ancaman pengeluaran sisa kilang dan kesan terhadap kesihatan penduduk.

Ditanya mengenai kegiatan pencerobohan oleh warga asing dikawasan hutan simpanan di Jalong Tinggi, Sungai Siput kebelakangan ini, katanya, semua pihak yang terbabit termasuk pegawai jabatan hutan dan anggota tentera telah dikerah untuk membuat rondaan dan pemantauan bagi membendung pencerobohan rakyat asing itu.

Katanya, pencerobohan rakyat asing dikawasan hutan di negeri ini telah berlaku sejak dulu lagi dan langkah sedang diambil bagi membendung kemasukan rakyat asing ke dalam kawasan hutan di negeri ini.

Menurut beliau, langkah yang diambil termasuklah menambah anggota jabatan hutan bagi membuat rondaan dan juga rondaan pihak anggota tentera terutamanya dikawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Sementara itu Wakil Tok Batin Kampung Klah Jalong Tinggi, Kamal Ngah, 53, yang ditemui pada program bertemu pelanggan itu mendakwa kegiatan mencuri kayu gaharu oleh warga asing terutama rakyat Cambodia dan Thai semakin menjadi-jadi di kawasan hutan Jalong Tinggi, Sungai Siput dan di kawasan hutan berhampirannya.

Katanya, akibat pencerobohan itu, hampir 300 keluarga orang asli kehilangan sumber pendapatan kerana pokok-pokok gaharu semakin pupus akibat ditebang oleh rakyat asing yang tidak bertanggungjawab ini.

"Kami penduduk Orang Asli Kampung Jalong Tinggi ketika ini hanya bergantung hidup dengan hasil getah selain menjual hasil hutan seperti kayu gaharu bagi menampung perbelanjaan tambahan keluarga,’’ kata Kamal.


*dari laman sesawang PerakNews


Tiada ulasan:

Catat Ulasan