Ahad, 9 September 2012
Isu DUN Behrang perlu bijak ditangani
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mahu ahli UMNO Bahagian Tanjung Malim supaya memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan negeri bagi menyelesaikan isu mengenai penentuan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang patut bertanding bagi kerusi DUN Behrang.
Katanya beliau yakin isu tersebut dapat diselesaikan dengan cara baik berikutan adanya tanda-tanda positif hasil beberapa perbincangan antara UMNO dan MIC.
Menurutnya kerusi DUN Behrang menjadi pertikaian berikutan ianya merupakan kawasan majoriti kaum Melayu tetapi dijadikan kuota kerusi MIC.
“Kita sudah nampak adanya cahaya di hujung terowong. Malah, malam ini saya akan berjumpa lagi dengan Presiden MIC (Datuk G.Palanivel) untuk perbincangan selanjutnya.
“Kita percaya kerusi DUN Behrang ini akan dapat diselesaikan dalam semangat setiakawan yang dipraktikkan BN tanpa menyentuh perasaan rakan-rakan parti komponen lain,” kata Dr Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan BN Perak.
Beliau berkata demikian ketika berucap di perasmian mesyuarat agong tahunan UMNO Bahagian Tanjung Malim, di dewan MRSM Felda Trolak, hari ini.
Ketua Bahagian UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Khusairi Talib sebelum itu mengesa kepimpinan negeri menyelesaikan masalah pilihan parti komponen yang seharusnya bertanding bagi DUN Behrang.
Katanya DUN Behrang yang wujud hasil persempadanan semula pada 2004 telah diberikan kepada MIC walaupun majoriti pengundinya merupakan kaum Melayu.
Beliau berkata jawatankuasa UMNO bahagian kecewa apabila kerusi itu kekal pada MIC pada pilihan raya 2008 walaupun telah membawa perkara tersebut kepada pucuk pimpinan negeri termasuklah Perdana Menteri.
“Ramai yang tidak setuju apabila calon MIC diletakkan bertanding pada 2008 menyebabkan pengundi Melayu atas pagar memangkah calon pembangkang.
Pada pilihan raya 2008, calon BN-MIC gagal mempertahankan kerusi DUN Behrang apabila ia kalah kepada calon PKR Jamaludin Md Radzi dengan majority 1,027 undi.
Jamaluddin bagaimanapun mengumumkan keluar PKR pada Februari 2009 dan menjadi wakil rakyat Bebas.
Dr Zambry turut menasihati semua pihak dalam bahagian Tanjung Malim menanam tekad mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Tanjung Malim dan DUN Slim serta memenangi semula DUN Sungkai Dan DUN Behrang yang BN tewas dalam PRU12 lalu".
“Tidak ada gunanya jika kita ada duit dan buat persiapan rapi tetapi sekiranya tiada perpaduan dan persepakatan yang utuh antara kita, BN tidak mungkin boleh menang,” katanya.
Beliau juga mengesa semua ahli BN supaya menanam keyakinan untuk menang bagi memerangi perang psikologi yang dimainkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang juga ADUN Pasir Panjang.
“Namun disebalik keyakinan beliau untuk menang, dia sedar sukar untuk mendapatkan undi Melayu dan mengaku terpaksa bekerja kuat,” katanya.
Menteri Besar berkata ini kerana orang Melayu kini sudah sedar akan setiap perbuatan Nizar semasa dia menjadi Menteri Besar dalam tempoh 11 bulan tersebut.
Beliau turut mengesa Nizar supaya tidak terlalu yakin dengan undi Cina yang menurutnya menyokong sepenuhnya pembangkang dan bukan BN.
“Mungkin kaum Cina di Lembah Kinta agak sukar untuk kita dapat tetapi ramai lagi kaum Cina yang tinggal di Pangkor dan Slim misalnya masih memihak kepada BN.
* sumber dari laman sesawang media tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan