Selasa, 30 Oktober 2012
Ada hantu cuba curi duit BR1M 2.0
Kementerian Kewangan mengesan kes penipuan membabitkan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang cuba memohon bantuan wang tunai sebanyak RM500 itu di beberapa negeri lain.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Donald Lim Siang Chai berkata, penerima sama dikesan cuba memohon bantuan itu di lima negeri.
"Perbuatannya dapat dikesan menerusi nombor kad pengenalan yang terdapat di dalam sistem. Rakyat Malaysia tidak sepatutnya cuba untuk menipu. Jika layak, anda boleh memohon sekali saja," katanya.
Mengenai pengagihan BR1M 2.0 mulai Januari depan, Lim berkata kementerian menjangkakan pemohonan meningkat 10 peratus kali ini yang turut membabitkan kira-kira 2.7 juta ibu tunggal dan individu belum berkahwin.
Beliau berkata, pendaftaran akan bermula pada 1 November dan borang permohonan boleh dimuat turun dari laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri iaitu www.hasil.gov.my
Ketika ditanya kemungkinan pemberian BR1M 2.0 ini diberi lebih awal menjelang pembukaan sesi persekolahan tahun depan, Lim berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pelajaran dalam masa terdekat.
"Kita memang hendak bantu rakyat yang memerlukan bantuan ini untuk digunakan oleh pelajar sekolah rendah termasuk pemberian lebih awal RM100 untuk seorang murid," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan