Sabtu, 20 Oktober 2012
BERITA BAIK!!! Kepada suami yang nak berPOLIGAMI
Suami yang mahu berkahwin lebih daripada satu tidak perlu meminta kebenaran isteri pertama kerana ia tidak terkandung dalam enakmen syariah di semua negeri.
Sebaliknya, mengikut Seksyen 23 Enakmen Keluarga Islam yang hampir seragam di semua negeri, suami diberikan hak berpoligami dan hanya perlu mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata permohonan mengambil masa hampir 21 hari dan akan dinilai oleh Mahkamah Syariah sebelum mendapat kebenaran.
Empat elemen utama akan dinilai oleh mahkamah, iaitu keperluan perkahwinan, kemampuan suami, boleh berlaku adil dan tidak mendatangkan kemudaratan pada isteri," - Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).
Perlu beri keterangan
“Individu yang ingin memohon poligami perlu memberi keterangan kepada mahkamah. Sama ada perlu kebenaran isteri pertama atau tidak akan ditentukan oleh mahkamah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau diminta mengulas laporan mengenai lelaki Islam di Pulau Pinang tidak memerlukan kebenaran isteri pertama untuk berpoligami.
Dalam laporan itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Datuk Sazali Hussien, berkata enakmen syariah negeri tidak mempunyai peruntukan undang-undang untuk mendapatkan kebenaran isteri pertama.
Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dr Mohd Naim Mokhtar, pula berkata suami memang tidak memerlukan kebenaran isteri pertama, tetapi bakal isteri dan wali akan dipanggil memberikan keterangan.
Kemampuan suami dinilai
“Kehadiran isteri pertama adalah prasyarat dalam setiap permohonan bagi membolehkan mahkamah menilai kemampuan suami dan akan dipertimbangkan.
“Undang-undang dalam Seksyen 23, masih mengambil kira semua situasi khususnya keadilan kepada isteri dan memastikan tidak ada pihak teraniaya,” katanya.
*Khusus kepada suami-suami di negeri Perak yang berniat/berminat untuk berpoligami, sila terus membaca maklumat dan prosedur di bawah;
Seksyen 23 Enakmen Undang Keluarga Islam Perak Tahun 2004 memperuntukkan, sekiranya seseorang lelaki hendak bernikah dengan seorang perempuan sedangkan lelaki itu sebelum ini mempunyai isteri atau isteri-isteri, beliau atau lelaki itu hendaklah memohon kepada Mahkamah Syariah kebenaran untuk berpoligami.
Setelah menerima permohonan dari pemohon untuk berpoligami, Mahkamah Tinggi Syariah akan menetapkan tarikh sebutan dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran penfailan kes. Di dalam kes poligami, Mahkamah Tinggi Syariah akan memanggil isteri pertama dahulu untuk mengetahui persetujuan beliau dan ini diikuti dengan memanggil bakal isteri pemohon dan bakal wali kepada bakal isteri untuk bertanyakan persetujuan mereka.
Di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Perak kaedah yang digunapakai ialah Mahkamah akan memanggil isteri pertama (isteri pemohon yang sedia ada) bersama Pemohon untuk Sebutan kali pertama yang dibuat di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah. Sekiranya isteri pemohon (yang sedia ada) itu bersetuju dan tidak ada apa-apa bantahan terhadap permohonan pemohon untuk berpoligami, Pendaftar Mahkamah Tinggi akan menangguhkan kes itu dihadapan Hakim dan mengarahkan Pemohon (suami) membawa bakal isteri dan bakal wali kepada bakal isteri untuk diambil keterangan pada tarikh tangguhan akan datang. Selepas Hakim mengambil keterangan dan mendengar persetujuan bakal isteri dan wali kepada bakal isteri, Mahkamah akan membuat keputusan samada permohonan poligami pemohon diluluskan atau tidak. Biasanya, di dalam kes-kes permohonan poligami di Mahkamah Tinggi Syariah Perak, jika permohonan berpoligami pemohon dipersetujui oleh isteri yang sedia pemohon, bakal isteri pemohon dan bakal wali kepada bakal isteri pemohon, Mahkamah akan meluluskan permohonan Poligami dan pada hari keputusan dibuat, Mahkamah akan mengeluarkan surat kebenaran berkahwin kepada Pemohon untuk berpoligami.
Di dalam kes di mana isteri tidak bersetuju suaminya berpoligami, Pendaftar Mahkamah Tinggi semasa sebutan kes akan mengarahkan Isteri yang sedia ada pemohon untuk menfailkan Penyata Pembelaan bagi membantah permohonan pemohon dan selepas Penyata Pembelaan di failkan Pemohon boleh menjawab penyata pembelaan isteri yang sedia ada pemohon dengan menfailkan Jawapan Kepada Penyata Pembelaan. Selepas Pendaftar memastikan Pliding (dokumen-dokumen) di dalam kes lengkap, Pendaftar akan menetapkan tarikh di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah untuk kes dibicarakan. Sekiranya Mahkamah mendapati alasan-alasan isteri yang sedia ada itu relevan, Mahkamah akan membuat keputusan tidak membenarkan Pemohon untuk berpoligami. Walaubagaimanapun, sekiranya Mahkamah mendapati alasan-alasan isteri yang sedia ada pemohon tidak relevan dan Mahkamah mendapati pemohon mampu untuk berpoligami, maka Mahkamah akan meneruskan kes dengan memanggil bakal isteri pemohon dan wali kepada bakal isteri pemohon untuk diambil keterangan dan persetujuan dan seterusnya meluluskan permohonan pemohon untuk berpoligami
Di Negeri Perak, permohonan berpoligami bolehlah difailkan di kaunter Mahkamah Tinggi Syariah di alamat Mahkamah Syariah Perak, Tingkat 5, Jalan Pari Off Jalan Tun Abdul Razak, 30100, Ipoh, Perak atau boleh bertanya kepada Pembantu Pendaftar MTS Perak dengan menghubungi di nombor telefon 05-5018400.
Berikut adalah dokumen-dokumen yang diperlukan bagi mendaftarkan kes Poligami ;
Saman dan Penyata Tuntutan (Hendaklah ditaip sendiri oleh Pemohon) - 4 salinan
Kad Pengenalan Pemohon - 4 Salinan
Surat Nikah dengan isteri yang sedia ada pemohon - 4 salinan
Slip Gaji / Pengesahan Pendapatan - 4 salinan
Sijil Kelahiran anak-anak yang dalam tanggungan - 4 salinan
Borang dari Pejabat Agama ( Kebenaran Berkahwin) - 4 salinan
Kad Pengenalan bakal isteri (sekiranya ada) - 4 salinan
Apa-apa dokumen berkaitan yang menyokong permohonan ini - 4 salinan
Fee RM 100.00 ( Di bayar semasa pendaftaran kes)
Untuk contoh Borang 'Saman dan Penyataan Tuntutan' Mahkamah Tinggi Syariah Perak sila klik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan