Sabtu, 6 Oktober 2012
PeKA buru penganggur-penganggur di Perak
Program Jelajah Kerjaya Amanjaya 2012, inisiatif yang diperkenalkan Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) mampu mengurangkan daftar penganggur di negeri Perak.
Adun Trong, Datuk Rosli Husin, berkata siri jelajah ke 10 daerah di negeri Perak memberi peluang kepada generasi muda khususnya pelajar lepasan universiti tempatan dan swasta peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan yang dimiliki mereka.
“Hari ini, PeKA turun padang ke DUN Trong untuk membantu golongan belia di sini mencari peluang pekerjaan dan program ini nampaknya mendapat sambutan baik daripada pencari kerja.
“Bagi saya, program ini merupakan antara langkah berkesan yang diperkenalkan kerajaan negeri untuk mengurangkan daftar penganggur di Perak,” katanya kepada Peraktoday.com hari ini.
Terdahulu, Rosli yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang merasmikan Program Jelajah Kerjaya Amanjaya 2012 peringkat DUN Trong di Dataran Pejabat Penghulu Mukim, dekat pekan Trong.
Dalam perkembangan berkaitan, Rosli berkata, program jelajah ke seluruh daerah itu dapat memudahkan pencari kerja kerana tidak perlu ke bandaraya Ipoh untuk mendaftar dengan PeKA.
Selepas DUN Ayer Kuning, DUN Trong menjadi lokasi kedua siri jelajah PeKA yang antara lain berperanan membantu majikan mencari pekerja yang diperlukan mengikut kemahiran.
Sementara itu, Rosli menasihatkan golongan belia agar tidak terlalu memilih kerja bagi memastikan peluang kerja itu tidak diisi oleh warga asing.
“Saya berharap anak muda terutamanya di kawasan Trong supaya tidak terlalu memilih kerja sebaliknya ambil peluang yang ada dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Sementara itu, bekas pelajar kolej perhotelan, Norerfazurin Othman, 23, mengakui sukar untuk mendapatkan pekerjaan dewasa ini.
Sehubungan itu, program Jelajah Kerjaya Amanjaya katanya, dapat membuka peluang kepada pencari kerja sepertinya berdaftar dengan PeKA.
“Ketika ini, agak sukar untuk mencari pekerjaan di sekitar Trong dan saya berharap program anjuran PeKA ini dapat diperluaskan lagi ke seluruh Perak dari semasa ke semasa,” tambahnya lagi.
Pada majlis itu, Rosli turut menyampaikan cek dermasiswa bernilai RM128,000 yang diperuntukkan kerajaan negeri kepada pelajar dari DUN Trong yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Pengarahnya, Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi, berkata setakat ini, lebih 200 belia telah dikenalpasti untuk menyertai program itu yang turut menyediakan khidmat nasihat kepada golongan berkenaan untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Ketika ini, PeKA mengenalpasti lebih 200 usahawan baru untuk diketengahkan dalam bidang keusahawanan berskala kecil dan sederhana.
“Untuk bahagian kerjaya pula, setakat ini, lebih 6,000 pencari kerja sudah berdaftar dengan PEKA,” katanya kepada Peraktoday.com.
Beliau ditemui pada Program Jelajah Kerjaya Amanjaya 2012 peringkat DUN Trong yang berlangsung di Dataran Pejabat Penghulu Mukim, dekat pekan Trong, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ameron Zulqarnaen, berkata pihaknya akan menjelajah ke 10 daerah di Perak dari Oktober hingga awal November untuk memberi peluang kepada pencari kerja di luar sana mendaftar dengan dengan pusat berkenaan.
Maklumat pencari kerja katanya, akan direkodkan mengikut kelayakan akademik dan bidang yang diminati untuk dipadankan dengan kehendak majikan.
Dalam pada itu, PeKA juga tambah beliau, mahu memastikan majikan memberi ganjaran atau gaji yang setimpal dengan kelayakan pencari kerja yang berdaftar dengan pusat itu.
PeKA adalah sebuah agensi kerjaya untuk negeri Perak yang membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan membuat padanan kerja dengan kemahiran mereka.
Ia juga menjadi platform antara majikan dan pencari kerja untuk memudahkan urusan penempatan kerja dalam pelbagai industri di Perak selain menganjurkan bengkel dan klinik untuk meningkatkan kebolehpasaran kepada graduan baru dan golongan bekerja.
Selepas DUN Trong, program ini akan menjelajah ke Daerah Sungai Siput pada 11 Oktober nanti.
teman nak pick-up story yop hehehe
BalasPadamhttp://daengselili.blogspot.com/
Kat mana tempat sebenar untuk mendaftar PeKA ni?
BalasPadamdekat mana boleh saya dapatkan borang atau nak daftar...? terima kasih
BalasPadamdtg ke pejabat peka di greentown ipoh
BalasPadamgreentowm ipoh kat mana??? apa alamat ya???
BalasPadamboleh cari di laman sesawang iaitu di ;
BalasPadamwww.jobsperak.com