Sabtu, 20 Oktober 2012

Perhatian Jobseekers!!! ada Job Fair 10-11 November ini


Perak Amanjaya Job & Career Fair 2012 yang akan berlangsung selama dua hari di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh pada 10 dan 11 November ini dijangka lebih meriah berbanding tahun lepas.

Pengerusi Pergerakan Pemuda BN Perak, Khairul Azwan Harun berkata, program kerjaya ini yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perak telah mendapat komitmen sepenuhnya daripada semua wakil-wakil rakyat BN negeri ini.

Katanya, semua wakil rakyat telah menyatakan komitmen mereka untuk menggunakan perkhidmatan bas bagi menghantar seramai mungkin belia-belia dari kawasan masing-masing ke program tersebut nanti.

"Ini jelas membuktikan BN komited dalam membantu golongan belia di Perak untuk mencari dan mendapatkan pekerjaan menerusi Perak Amanjaya Job & Career Fair 2012 ini,’’ katanya kepada media di pejabat Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.

Katanya, tahun lepas lebih 25,000 pengunjung telah datang ke program temasya kerjaya ini dan daripada jumlah itu lebih 15,000 terdiri daripada golongan belia kebanyakkannya berasal dari luar bandar telah mendaftar untuk mencari pekerjaan.

Beliau menjangkakan bilangan pengunjung ke program ini akan terus meningkat termasuk sasaran 5,000 pengunjung terdiri daripada golongan belia yang datang menaiki bas tajaan wakil-wakil rakyat BN.

"Pemuda BN Perak akan terus menyokong usaha transformasi yang dibuat oleh Perdana Menteri dan Program Negeri Amanjaya Satu Malaysia (NAJ1B) peringkat negeri Perak yang dicetuskan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Khairul Azwan juga membayangkan karnival kerjaya kali ini yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir bakal menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan berikutan perkembangan ekonomi yang memberangsangkan di negeri ini.

Sementara itu Exco Kesenian, Kebudayaan,Belia dan Sukan Negeri Perak, Dato’ Zainol Fadzi Paharuddin berkata, program ini memberi peluang kepada golongan belia datang bersemuka dengan majikan dari pelbagai agensi pekerjaan untuk mencari pekerjaan impian mereka.

Katanya, tahun ini lebih 80 buah ruang pameran akan dibuka dan dianggarkan sebanyak 8000 peluang pekerjaan bakal ditawarkan kepada golongan belia.

Menurut beliau, program ini melibatkan sejumlah besar penyertaan syarikat sektor kerajaan dan swasta dan beberapa syarikat besar yang akan mengambil bahagian ialah UMW Corporation, Takaful Malaysia berhad, Felda GEMS Malaysias Sdn Bhd dan Unisem.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan