Rabu, 3 Oktober 2012

Rebat telefon pintar RM200 kepada golongan belia


Individu yang layak menerima rebat telefon pintar RM200 yang dicadangkan dalam belanjawan 2013 hanya boleh mendapatkan diskaun itu melalui "pembekal terpilih".

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Irwan Siregar Abdullah berkata individu yang layak boleh mendapatkannya melalui pembekal yang berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Bernama sebelum ini melaporkan saranan daripada satu badan yang kurang dikenali, Persatuan Pemilik-pemilik Telefon Bimbit (Perbit) , yang mahu SKMM melantik ejen terpilih untuk menjual telefon pintar itu.

Persatuan itu bimbang, bekalan telefon itu terjejas dan pengedar akan menjual telefon bukan asli dan menaikkan harga.

Kerajaan memperuntukkan RM300 juta untuk rebat yang layak diterima oleh golongan berusia antara 21 hingga 30 tahun dan berpendapatan kurang RM3,000.

Sementara itu, Mohd Irwan turut mengulas mengenai belanjawan alternatif yang dikemukakan Pakatan Rakyat akan menyebabkan satu kejutan kepada ekonomi.


Berikutan itu, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan mengemukakan syor kepada Kementerian Kewangan untuk menaikkan had umur golongan belia yang layak menerima rebat RM200 untuk membeli telefon mudah alih pintar 3G kepada 40 tahun.

Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata cadangan dalam Belanjawan 2013 Jumaat lepas bahawa golongan belia berusia antara 21 hingga 30 tahun layak menerima rebat itu mungkin boleh diperhalusi.

"Kita mungkin terpaksa melihat semula beberapa kategori usia yang harus kita ambil kira...takrif belia sebenarnya ialah 40 tahun ke bawah, jadi kalau kita berhentikan setakat 30 tahun sahaja misalnya mungkin ada sedikit luar biasa.

"Sekiranya perlu, kita juga akan kaji peruntukan atau keperluan tertentu bagi satu-satu kategori umur bagi memenuhi aspirasi generasi muda," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Dana Karya Penulis Tempatan 2012 di sini, hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian rebat itu kepada kira-kira 1.5 juta belia berusia antara 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah melalui Pakej Komunikasi Belia, bermula 1 Januari tahun depan.

Rais berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan menentukan kaedah terbaik untuk memberikan rebat tersebut kepada belia yang layak bagi mengelakkan sebarang penipuan dan ketidakadilan.

"Kita juga akan hanya melantik wakil pengedar yang bertauliah serta diuji dan sekiranya mereka itu melepasi semua syarat yang ditetapkan kita akan mempertahankan prinsip tersebut.

"Perlu diingat pemberian rebat ini dibuat tanpa mengira perbezaan kaum, agama, latar belakang politik, budaya dan ianya mencerminkan kasih sayang," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kementerian mewujudkan sebuah jawatankuasa penentu yang bertanggungjawab dalam memastikan pemberian rebat dilaksana secara cermat.

"Butiran mengenai apa juga cadangan yang telah dipersetujui pula akan diumumkan sama ada pada 16 atau 17 Oktober selepas mesyuarat teknikal dengan pihak bersangkutan termasuk perbendaharaan, SKMM dan pegawai yang menyelenggarakan program ini," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan