Jumaat, 2 November 2012
Belia boleh nikmati rebet telefon pintar mulai 1 Januari
Kerajaan sudah bersedia melaksanakan pemberian rebat RM200 bagi pembelian telefon mudah alih pintar 3G kepada belia berumur 21 hingga 30 tahun, mulai 1 Januari depan.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yakin program itu dapat dijalankan tanpa sebarang masalah berikutan persiapan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang sangat baik.
"Walau bagaimanapun, kementerian saya sedang meneliti makna sebenar istilah smartphone yang digunakan dan kadar harga yang melayakkan pembeli menerima rebat tunai.
"Bila ini beres, saya kira tiada hal lagi (untuk pelaksanaan pemberian rebat). Ramai yang bertanya, jadi kita nak beri ruang secukupnya supaya mereka boleh berhubung terus dengan SKMM atau kedai-kedai dan ejen yang sudah didaftar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi 2012 kementerian itu di Muzium Negara, di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2013 di Parlimen September lepas, mengumumkan pemberian rebat RM200 secara one-off bagi golongan belia membeli satu unit telefon mudah alih pintar 3G bertujuan membuka akses maklumat kepada mereka.
Mengulas mengenai kajian semula garis panduan proses pembelian drama daripada syarikat penerbitan tempatan terutama dalam aspek bayaran, Rais berkata, ia akan dijalankan mengikut harga pasaran.
"Jika perlu kita buat kadar baru, insya-Allah kita buat. Tapi pada masa ini RTM merupakan pemberi bayaran tertinggi kepada drama atau telemovie.
"Harap stesen lain seperti Astro dan Media Prima dapat samakan kadarnya dengan RTM," katanya.
Rais berkata, objektif utama kajian semula itu adalah supaya industri kreatif negara yang melibatkan bakat mendapat pengiktirafan sewajarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan