Ahad, 25 November 2012

Mari-mari!!!!...Daftar Parlimen Belia Malaysia


Tersenyum kita apabila melihat kanak-kanak berpakaian rasmi sebagai Yang Berhormat berdebat dan menyuarakan pandangan dan idea di dalam Dewan Rakyat yang mulia. Gelagat mereka benar-benar mencuitkan hati.

Apabila melihat keadaan Dewan Rakyat tidak terkawal, mulalah Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dikenali sebagai Pak Jamal atau nama sebenarnya Jamal Muhamad menenangkan keadaan dengan gaya tersendiri.

Beruntungnya kanak-kanak yang pernah menjadi 'Anggota Parlimen' ketika era Mini Parlimen diperkenalkan oleh kerajaan kira-kira dua dekad lalu. Beruntungnya mereka kerana berpeluang 'membahaskan' banyak perkara dan membuat keputusan 'meluluskan' pelbagai dasar di usia muda.

Sidang Mini Parlimen ini mendedahkan golongan tersebut terhadap erti demokrasi. Malangnya, Mini Parlimen yang sering menjadi tumpuan seluruh negara setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan negara kini sekadar menjadi kenangan. Entah di mana silapnya, idea penerbitan program kanak-kanak itu yang tercetus ilhamnya oleh isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali kini tiada kesinambungannya. Apabila Mini Parlimen 'dibubarkan', ia sekali gus membuatkan sebilangan besar daripada kita hampir terlupa dengan 'kehilangan' Tuan Yang di-Pertuanya, Pak Jamal dan juga kanak-kanak yang pernah menjadi Ahli Parlimen.


Permulaan kepada penerbitan Mini Parlimen berlaku pada 1983 apabila Tan Sri Sanusi Junid yang ketika itu Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hari Merdeka menyatakan untuk menerbitkan program Mini Parlimen sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-26. Susulan idea Siti Hasmah, akhirnya rakyat Malaysia disajikan projek kerajaan bernilai RM100,000 itu.

Sekali lagi kedengaran Mini Parlimen hendak diwujudkan tetapi kali ini agak berbeza kerana ia dinamakan pula sebagai Parlimen Belia Malaysia. Ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika melancarkan program Himpunan Sejuta Belia Putrajaya 2011 pada 28 Mei lalu.

Dalam pengumuman itu, beliau menggariskan enam inisiatif untuk kepentingan belia di negara ini selaras dengan pengiktirafan terhadap golongan itu sebagai pemangkin transformasi negara serta pelapis kepimpinan pada masa depan. Antara enam inisiatif itu adalah mewujudkan Parlimen Belia untuk membolehkan wakil yang dipilih belia menyatakan pandangan, cadangan dan cita rasa golongan itu kepada kerajaan. Ia adalah persediaan masa depan negara serta usaha kerajaan memahami pandangan, cadangan dan cita rasa belia bagi membolehkan wakil golongan itu berbahas usul dan kerajaan akan menimbangkannya.

Hasil pengumuman Perdana Menteri itu, satu bengkel pelaksanaan Parlimen Belia Malaysia dilaksanakan dan dibincangkan secara rapi bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk membolehkan golongan belia menyuarakan pandangan dan idea selaras dengan kehendak mereka.

Pada 2010, seramai 11.5 juta belia berumur antara 15 hingga 40 tahun dikenal pasti di negara ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 71 peratus populasi belia berumur di antara 18 hingga 30 tahun, manakala Generasi Y berumur di antara 9 hingga 28 tahun ialah seramai 11.4 juta orang. Statistik ini jelas menunjukkan betapa besar pengaruh golongan belia kepada negara. Persoalannya sekarang apakah model yang hendak digunapakai bagi Parlimen Belia Malaysia ? Yang penting hendak dilihat adalah hasil garapan bagi Parlimen Belia Malaysia akan menjadikan belia mempunyai keberanian, disiplin dan kreativiti dari aspek gaya pemikiran, di samping semangat patriotik, toleransi dan ketahanan dari aspek kesungguhan serta kompetitif, ketelitian dan berpasukan dari aspek tindakan.

Tugas yang agak mencabar adalah Parlimen Belia Malaysia perlu memperhalusi beberapa perkara seperti polisi yang melibatkan soal perundangan, sistem pelaksanaan, apakah perlu ada penggubalan Akta Parlimen Belia (sama ada perlu atau tidak) di mana menunjukkan keseriusan kerajaan atau adanya suatu "structured institution" selain wujudnya peruntukan yang jelas mengenai peranan, matlamat, fungsi, bidang tugas dan kuasa serta sumber kewangan.

Selain itu, ia perlu dilihat dari sudut model negara lain, persoalan yang akan berbangkit isu bidang kuasa di bawah Perlembagaan Malaysia atau mungkin terlalu "governmental" serta berbangkit isu menentukan "stakeholder" dan tempoh masa yang diambil menggubal suatu undang-undang di dalam Parlimen Belia Malaysia kelak.


Antara yang mungkin menjadi cabaran utama adalah perkara mengenai belia tidak termasuk dalam mana-mana senarai dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 77 -Bidang kuasa baki perundangan terletak pada negeri, Kerajaan Persekutuan tiada kuasa untuk membuat undang-undang berkenaan dengan belia, manakala asas bagi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Akta 668) dibuat di bawah perkara "Pertubuhan tidak diperbadankan" di bawah Senarai Persekutuan.

Jadi satu persoalan akan timbul yang mana, apakah konsep Parlimen Belia Malaysia kelak bercorak pertubuhan atau individu? Jika pertubuhan, ia boleh termasuk di bawah Senarai Persekutuan dan sekiranya individu, ia termasuk di bawah Perkara 77 iaitu kuasa baki perundangan.

Cabaran yang sedang dibincangkan pada masa ini adalah mengenai Akta 668 itu sendiri. Akta tersebut adalah untuk mendaftar pertubuhan belia dan memudahkan pembangunan belia di
negara ini. Akta 668 dibuat di bawah perkara "Pertubuhan yang tidak diperbadankan" yang
termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Soalnya di sini apakah Parlimen Belia Malaysia diperlukan untuk dikecualikan daripada pemakaian Akta 668 ? Tidak boleh lari juga soal Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU).Kita perlu lihat kesan AUKU ke atas mahasiswa yang menjadi wakil Parlimen Belia Malaysia. Bagaimana pula kita hendak mentakrifkan sedangkan mahasiswa terikat dengan AUKU dan apakah mungkin adanya satu budi bicara atau klausa khas daripada Naib Canselor atau Menteri Pengajian Tinggi sendiri membenarkan mahasiswa menjadi wakil Ahli Parlimen Belia Malaysia?


Penulis juga beranggapan wajarkah mahasiswa menjadi Ahli Parlimen Belia Malaysia sekiranya terikat dengan AUKU. Atas landasan itu, ia perlu diperhalusi agar tidak kelak menimbulkan konflik yang berpanjangan dan akhirnya matlamat asal Parlimen Belia Malaysia tidak tercapai.Pada masa ini mengikut hasil kajian Makmal Transformasi Pembangunan Belia telah mengenal pasti sebanyak 33 model Parlimen Belia di seluruh dunia. Antara negara yang melaksanakan Parlimen Belia adalah United Kingdom Youth Parliament (UKYP), European Youth Parliament, Morrocan Youth Parliament, Afghanistan Youth Parliament, Youth Parliament Of Pakistan, Ghana National Youth Parliament, Australia Youth Parliament dan Timor Leste Youth Parliament.

Di UKYP, ia diurus tadbir dan digerakkan oleh golongan muda atau belia seawal usia 11 hingga 18 tahun dengan membawa suara bernas, kreatif dan inovatif mengikut acuan masingmasing bagi perkembangan sosial semasa. Di UK, ahli-ahli Parlimen berusia 11 hingga 18 tahun dengan keahlian 600 orang seperti mana penulis maklumkan sebelum ini dan bersidang sekali setahun dengan memberi peluang kepada belia mereka menyalurkan idea dengan kreatif bagi membawa kepada perubahan sosial. Kriteria pemilihan UKYP adalah secara pilihan raya.

Di Australia, Parlimen Belia terbahagi kepada dua iaitu Parlimen Belia Kebangsaan dan Parlimen Belia Negeri. Persidangan di negara Kanggaro itu berlangsung selama tiga hingga sembilan hari dan mempunyai keahlian seramai 116 orang berumur antara 16 hingga 25 tahun yang mana pemilihannya dilaksanakan secara online.


Di Scotland pula, ia mempunyai keahlian seramai 200 orang berumur antara 14 hingga 25 tahun yang dipilih dua wakil Parlimen. Parlimen Belia negara "Highlanders" bersidang sebanyak tiga kali setahun dengan bermatlamat menggalakkan belia terlibat dalam proses membuat keputusan.

Di negara Asia seperti Pakistan yang mana belia mereka dipilih antara umur 18 hingga 29 tahun dan mereka bersidang selama 30 hari setahun dengan keanggotaan seramai 60 orang dan kriteria pemilihannya adalah bagi satu penggal iaitu setahun di seluruh negara, manakala di Filipina pula belia mereka dipilih antara umur 15 hingga 30 tahun dengan keanggotaan seramai 160 orang yang dipilih di seluruh negara.

Di Malaysia, cadangan golongan belia ialah had umur 15 hingga 30 tahun atau 18 hingga 25 tahun dengan keahlian seramai 222 orang. Tempoh persidangan yang dicadangkan adalah tiga hari dalam setahun yang mana kaedah kriteria pemilihan secara online (masih dalam cadangan) yang mana dilaksanakan dalam tempoh dua bulan, disenarai pendek oleh Sekretariat dan proses temuduga. Dijangkakan persidangan pertama Parlimen Belia Malaysia pada 2012/2013.

Sejajar dengan transformasi negara, matlamat Parlimen Belia Malaysia adalah menjana kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk menjadikan resolusi Parlimen Belia menjadi polisi dan dasar kerajaan.

Lebih penting, Parlimen Belia Malaysia hendaklah bebas dari membawa agenda politik dan mestilah mempunyai kekuatan untuk membawa isu-isu yang berkepentingan buat golongan belia di negara ini.


Parlimen Belia Malaysia: Suara demokrasi Generasi Y ( laman akhbar tempatan)

* sumber dari blog Apple Biru




1 ulasan: