Jumaat, 28 Disember 2012
2012 Tahun Melawat Perak Terima Respon Baik
Tahun Melawat Perak 2012 yang telah dilancarkan oleh Menteri Besar Dato' Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pada 31 Disember 2011 hujung tahun lepas telah menerima respon yang baik dari pelancong luar.
Jumlah kedatangan pelancong asing ke Perak meningkat kepada 800,000 orang bagi tempoh Januari hingga kini berbanding 400,000 orang bagi tempoh sama pada tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri Datuk Hamidah Osman berkata daripada jumlah itu, kedatangan pelancong Singapura meningkat tujuh kali ganda berbanding tahun lepas.
"Pelancong luar negara yang datang ke Negeri Perak meningkat, dan ini merupakan satu petanda baik untuk Program Tahun Melawat Malaysia yang akan diadakan dalam tempoh dua tahun lagi," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata rata-rata pelancong memberi maklum balas yang baik.
Mengulas program Fiesta Pelancongan Perak di perkarangan Stadium Indera Mulia sempena penutupan Tahun Melawat Perak, Hamidah berkata perasmiannya akan berlangsung pukul 3 petang esok.
Beliau berkata program lima hari itu, yang bermula esok hingga 31 Disember, dipenuhi pelbagai aktiviti, pertandingan dan 46 gerai termasuk pameran.
"Kiraan sempena menyambut tahun baharu juga akan diadakan di sana, dan kami akan melancarkan program Jelajah Perak, yang mempromosikan seluruh negeri Perak untuk program Tahun Melawat Malaysia sejurus selepas sambutan itu," katanya.
*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan