Jumaat, 28 Disember 2012
MCA buru samseng Along simbah cat merah ke rumah mangsa tak bersalah
Di Ipoh sepasang suami isteri warga emas terpaksa menjadi ‘pelarian’ dan menyorok di beberapa hotel murah berikutan bimbang dibunuh samseng along selepas anak mereka gagal menjelaskan hutang sindiket haram itu.
Mangsa, Chan Kwai Woh, 77, dan isterinya, Yong Yin Yoke, 70, terpaksa berpindah randah dari satu hotel ke hotel yang lain sejak 17 Disember lalu selepas kumpulan samseng along menyerang rumah mereka di Taman Cempaka, di sini, gagal menjejaki anak lelaki mereka.
Chan yang bekerja sebagai juruteknik sambilan berkata, musibah itu mula menimpanya selepas anak lelaki mereka yang berusia 48 tahun membuat pinjaman wang dalam jumlah besar daripada along. Menurutnya, dia hanya mengetahui perkara itu selepas rumahnya dibaling dengan cat merah oleh sekumpulan along pada awal pagi 15 Disember lalu. “Saya kemudian menyoal anak lelaki kami berhubung punca insiden itu, namun anak lelaki kami menghilangkan diri keesokan harinya dari rumah.
“Beberapa orang samseng kemudian muncul di hadapan rumah dan mengugut kami supaya melangsaikan semua hutang itu. Jumlah hutang diambil terlalu banyak dan kami tidak mampu melangsaikannya,” katanya ketika membuat aduan kepada ketua biro aduan MCA Ipoh, Datuk Lee Kon Yin.
Dia yang bimbang keselamatan nyawanya bertindak meninggalkan rumah dengan hanya membawa beberapa helai pakaian sebelum tinggal menyewa di beberapa hotel murah di bandaraya ini.
“Saya meninggalkan rumah dalam keadaan tergesa-gesa hinggakan ubat penyakit darah tinggi kami turut tertinggal di rumah. Kami kemudian mencari perlindungan dan menyorok di beberapa hotel murah. “Kami berpindah-randah dari satu hotel ke hotel yang lain kerana bimbang dijejaki oleh samseng along,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kes berkenaan.
Beliau berkata, dia tertekan dengan kejadian itu dan menyifatkan anak lelakinya itu tidak bertanggungjawab. “Saya tidak teragak-agak memutuskan hubungan kekeluargaan dengan anak kami itu jika masalah ini berterusan. Saya rayu supaya along membebaskan kami dan mencari anak kami itu untuk menuntut semua hutang berkenaan. “Kami sudah tua dan tidak lagi berdaya. Entah sampai bila kami perlu hidup dalam keadaan ketakutan dan lari dari rumah sendiri,” katanya sedih.
Difahamkan, anak lelaki mangsa sebelum ini menetap di Australia selama 20 tahun sebelum pulang ke tanah air pada Jun lalu. “Saya tidak tahu aktiviti dan jenis perniagaan dijalankannya kerana dia tidak pernah bercerita. Saya harap masalah ini dapat diatasi segera,” katanya.
Sementara itu lokasi di Kuala Lumpur pula kes yang lebih kurang sama berlaku apabila hasrat sepasang suami isteri berpindah ke rumah yang baru dibeli Februari lalu terbantut apabila diganggu along yang memburu pemilik lama rumah dua tingkat itu selepas tidak membayar hutang along terbabit.
Pasangan terbabit yang menunggu 20 tahun untuk membeli rumah sepatutnya mendiami rumah berkenaan Ogos lalu, namun akibat takut dengan gangguan along, mereka membatalkan niat itu. Mangsa Jonathan Rasiah, 46 dan isteri, Serene Rasiah, 39, diganggu along sejak Mac lalu ketika rumahnya di Bandar Kinrara 4, dekat Puchong, dalam proses pengubahsuaian disimbah cat merah.
“Saya menghubungi pemilik lama dan dia mengaku membuat pinjaman daripada along serta berjanji membayar hutang itu bagi menghentikan gangguan terbabit.
“Pemilik lama menyerahkan semua nombor telefon along terbabit sebelum saya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan saya dan isteri,” katanya ketika sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, di Jalan Ampang, di sini, semalam.
Beliau berkata, hidupnya kembali tenang selama sebulan, namun along terbabit sekali lagi mengganggu mereka sebulan selepas itu dengan menyimbah cat dan kejadian berlarutan sehingga Mei apabila pagar rumahnya dirantai dua kali.
“Bukan itu saja, along terbabit memaksa kontraktor yang membuat pengubahsuaian rumah kami supaya menghentikan kerja mereka dengan mendakwa rumah berkenaan berada dalam keadaan tidak selamat.
“Kami sepatutnya berpindah masuk sejak Ogos lalu, bagaimanapun, kejadian ini membantutkan niat kami untuk menduduki rumah yang kami beli itu,” katanya. Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menggesa peminjam along terbabit membayar hutangnya segera sekiranya tidak mahu identitinya didedahkan.
“Tahun ini saja, kami merekodkan 588 kes membabitkan along dengan jumlah kerugian RM38.7 juta dan jumlah ini sangat membimbangkan,” katanya.
Nampaknya pihak berkuasa dari kementerian berkenaan perlu ambil tindakan lebih serius untuk mengatasi masalah samseng Along ini, begitu juga dengan pihak polis. Mungkin kerana kumpulan samseng Along ini terdiri daripada orang bangsa Cina maka mangsa kebanyakannya membuat aduan di pejabat aduan MCA. Harap pihak polis dapat membantu MCA memburu sindiket hutang haram ini, dah banyak sangat kita dengar cerita ganas mereka ini sungguhpun kepada orang yang tak bersalah.
* sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan