Khamis, 24 Januari 2013

BR1M 2.0 mula dibayar mulai 1 Feb 2013


Sebanyak tujuh juta isi rumah dan individu bujang memohon untuk mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang pembayarannya akan dilakukan bulan depan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Katanya, jumlah itu melibatkan 4.1 juta isi keluarga yang menerima BR1M tahun lepas dan bakinya adalah pemohon baru yang melibatkan orang bujang kira-kira 1.7 juta selain isi keluarga yang baru memohon.
"Sebanyak 4.1 juta penerima BR1M tahun lepas kita bawa ke tahun ini (tanpa perlu mendaftar semula). Kita jangkakan lebih enam juta penerima BRM1 tahun ini. LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) perlu mengesahkan semua pemohon baharu sebelum pembayaran dibuat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Menara Hasil Sungai Petani di Bandar Amanjaya, di sini, hari ini.

Katanya pembayaran akan dilakukan mulai 1 Feb hingga 28 Feb dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkannya pada 2 Feb.


"BR1M ini akan dikendalikan pejabat daerah atau pegawai pembangunan zon. Mereka akan uruskan dan memastikan penyampaian dilakukan sehingga semua yang layak menerima bayaran," katanya.


Ahmad Husni berkata bayaran pada bulan depan hanya dibuat kepada mereka yang mendaftar sehingga 31 Dis 2012.

"Kita tidak tutup lagi permohonan, kita beri masa buat permohonan. Bagi permohonan selepas 31 Dis, mereka mungkin dapat selepas Februari. Ini kerana kita perlu masa untuk proses. Polisi Perdana Menteri semua yang layak akan dapat," katanya.

Katanya pembayaran BR1M tahun ini dijangka melibatkan peruntukan RM3 bilion.



* sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan