Sabtu, 30 Mac 2013
Datin Rosmah penaung Yayasan Orang Asli Malaysia
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata yayasan itu ditubuhkan sebagai pelengkap kepada usaha-usaha kerajaan mendekati dan memahami denyut nadi masyarakat Orang Asli di seluruh negara.
Rosmah yang juga merangkap Penaung yayasan terbabit berkata, walaupun baru bertapak, pihak yayasan berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti dan program yang memberi kepentingan kepada komuniti Orang Asli.
“Saya juga berasa bangga di atas kerjasama yang diberikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, agensi-agensi kerajaan dan NGO bagi menjayakan program Siri Penjelajahan Kesejahteraan Keluarga Untuk Rakyat (SPEKKTRA) ke seluruh negara.
“Matlamatnya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk terus memberikan perkhidmatan sokongan kesejahteraan keluarga secara terus kepada komuniti Orang Asli di seluruh negara.
“Selain itu, saya melihat program siri jelajah ini mampu meningkatkan pengetahuan ahli keluarga mengenai kepentingan kesejahteraan keluarga terutamanya dalam aspek kesihatan dan pendidikan,” katanya berucap pada pelancaran Program Siri Penjelajahan Kesejahteraan Keluarga Untuk Rakyat (SPEKKTRA) Ke-4 Tahun 2013 di Kampung Cenderung Kelubi, dekat Tanjung Tualang, hari ini.
Rosmah berkata lagi, antara aktiviti yang dirancang dalam siri penjelajahan SPEKKTRA merangkumi aspek pendidikan seperti ceramah motivasi dan kecemerlangan pendidikan dan program-program kesihatan seperti pemeriksaan kesihatan dan ceramah perancang keluarga serta teknik penyusuan bayi.
Jelasnya lagi, fokus Yayasan Orang Asli Malaysia terhadap aspek kesihatan dan pendidikan seharusnya diberi pujian.
Ini kerana katanya, pendidikan merupakan perkara asas yang mampu menjamin kesejahteraan sesebuah masyarakat.
“Kita sedia maklum bahawa pendidikan merupakan tulang belakang dalam mengubah struktur sosio ekonomi masyarakat di sesebuah negara mahupun di sesebuah komuniti kecil,” tambahnya lagi.
Rosmah pada masa yang sama turut menyeru masyarakat Orang Asli merebut peluang keemasan yang disediakan oleh kerajaan yang sentiasa ingin memastikan komuniti pribumi itu mendapat pendidikan baik sekaligus menjamin kehidupan lebih baik dikalangan keluarga, masyarakat dan bangsa.
Memetik kata-kata Perdana Menteri di Majlis Himpunan Perdana Warga Orang Asli, prinsip pendemokrasian pendidikan berada dekat di hati beliau tidak bersifat elitis atau terbuka kepada golongan yang berkedudukan semata-mata tetapi setiap orang di negara ini mesti mendapat peluang pendidikan berkualiti.
“Kita sedia maklum bahawa saban tahun, pihak Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM22.5 juta bagi membantu para pelajar Orang Asli mendapat pendidikan percuma dalam usaha mengurangkan jurang perbezaan dengan masyarakat lain terutama di kawasan bandar.
“Usaha ini adalah sejajar dengan matlamat Kerajaan untuk memastikan setiap warganegara, tanpa mengira kaum dan status ekonomi, mendapat peluang pendidikan yang terbaik dari segi akses, ekuiti dan kualiti,” kata Rosmah.
Hasil usaha itu, terdapat ramai anak-anak Orang Asli yang telah mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan.
“Misalnya, baru-baru ini Adik Darwisshah Bin Deraman dan Juliana Zaszira Ismail dari Pekan, Pahang telah membuktikan bahawa masyarakat orang asli juga mampu untuk mendapat keputusan cemerlang dimana mereka telah memperoleh keputusan 9A dan 8A untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012,” kata beliau lagi.
Rosmah menambah, pada tahun ini sekurang-kurangnya 18 peratus atau 336 pelajar Orang Asli yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam negara.
Di samping itu, kadar keciciran Orang Asli dari Tahun Enam ke Tingkatan Satu disasar untuk dikurangkan dua peratus daripada 27 peratus pada tahun lepas kepada 25 peratus pada tahun ini malah 10 calon pelajar cemerlang Orang Asli disasarkan untuk ditempatkan ke kolej persediaan bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Sebelum mengakhiri ucapannya, Rosmah berharap program SPEKKTRA dapat di teruskan di masa-masa akan datang serta ditambahbaik supaya dapat memberikan impak yang paling maksima kepada peningkatan taraf hidup komuniti Orang Asli secara keseluruhannya.
“Yayasan ini tidak hanya menumpukan kepada aspek pendidikan dan kesihatan semata-mata tetapi memperluaskan skopnya kepada aspek yang lebih menyeluruh seperti keusahawanan, sukan dan kemasyarakatan,” tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan