Khamis, 10 Julai 2014

Ipoh ada ROTI TELOR GOYANG menu popular sarapan


Namanya agak pelik cuba bayangkan rupa menu itu dan keistimewaannya sehinggakan ia menjadi salah satu menu sarapan pagi yang popular di negeri Perak.

Justeru, bagi menjawab sendiri persoalan yang bermain di fikiran dan melihat sendiri rupa bentuknya, kunjungan ke Medan Selera Dato Sagor nyata tidak mengecewakan.
Memilih gerai no 25 yang diusahakan Ng Yoke Ting, 57, bersama anaknya, menu roti goyang dihidang­kan di gerainya antara yang sering menjadi buah mulut penduduk sekitar Ipoh.


Sudah berniaga sejak 40 tahun, mulanya perniagaan berkenaan adalah idea dan usaha Fu Fong Lan, 75, ibu kepada Yoke Ting. Kini ia diteruskan kepada generasi ketiga iaitu anaknya.


Menurut Ong Chee Ken, 24, anak kepada Yoke Ting, roti goyang adalah hidangan roti bersama telur separuh masak dan nama itu diberikan oleh pelanggan.

“Menu roti goyang ini sangat ringkas iaitu terdiri daripada roti bakar atau roti stim dan diletakkan di atasnya telur separuh masak.

“Apabila dihidangkan, telur separuh masak diletakkan di atas roti akan bergoyang-goyang. Dari situlah mungkin nama roti goyang ini timbul,” katanya.

Menurut Chee Ken lagi, hidangan berkenaan sememangnya ringkas tetapi ia menu sihat dan sesuai memberi tenaga untuk memulakan hari anda.

“Roti kami memberikan sumber makanan yang sihat kerana ia tidak bermi­nyak,” katanya.

Selain roti goyang, antara menu disajikan di gerai berkenaan ialah roti bakar, roti stim, bun bakar, bun stim dan telur separuh masak.

Hidangan sarapan pagi anda lebih lengkap dengan hidangan kopi ais atau kopi putih panas yang juga sangat popular di bandar itu. Air kelapa dan ais kacang juga disediakan di gerai berkenaan.

Gerai itu dibuka dari jam 5 pagi hingga 4 petang pada hari biasa dan 5 pagi hingga 2 petang pada Sabtu dan Ahad. Walaupun hanya menjual roti, sambutannya cukup memberangsangkan.



* sumber dari laman sesawang akhbar tempatan


kalau saya ini dipanggil "ON THE ROCK"


1 ulasan: