Jumaat, 5 September 2014

Kedai Jacpot di Melaka diserbu rampasan dibuat

28 unit komputer judi haram dirampas serbuan di Melaka

Sebuah premis yang menjalankan kegiatan judi berkomputer didapati tidak serik-serik dikenakan tindakan undang-undang apabila meneruskan operasi walaupun sudah masuk kali keempat diserbu penguat kuasa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Dalam satu serbuan hari ini di premis dua tingkat berhampiran Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, penguat kuasa MPHTJ merampas sebanyak 28 unit komputer yang dijadikan mesin judi haram.

Serbuan tersebut melibatkan 12 anggota penguat kuasa MPHTJ bersama polis dan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

Pengarah penguatkuasanya, Mohd. Sham Dali berkata, empat lelaki beragama Islam berusia antara 17 hingga 47 tahun yang sedang leka berjudi ditahan penguat kuasa Jaim.

Menurutnya, kesemua lelaki terbabit ditahan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah negeri 1991 dan telah dibawa ke ibu pejabat Jaim untuk diambil keterangan sebelum tindakan diambil ke atas mereka.

"Seorang pekerja premis berkenaan berusia 20-an pula dibebaskan polis kerana tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan keterangan telah diambil ke atasnya.

"Premis ini sudah empat kali diserbu oleh penguat kuasa MPHTJ dan memang mereka ini sangat degil serta tidak takut dengan tindakan undang-undang yang telah diambil sebelum ini,'' katanya ketika ditemui di premis berkenaan hari ini.

Mohd. Sham berkata, pihaknya turut merampas dua buah kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis berkenaan.

Menurutnya, CCTV itu dipasang bertujuan untuk melihat kehadiran pihak berkuasa di samping orang yang ingin memasuki premis untuk berjudi.

"Melalui CCTV itu, mereka dapat melihat pelanggan tetap sebelum membuka pintu naik ke premis ditingkat satu,'' katanya.

Beliau berkata, serbuan dilakukan pukul 11.25 pagi hingga pukul 1 petang dibuat hasil maklumat orang ramai.

Ujarnya, pihak penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu masuk ke premis tersebut setelah pekerja premis berkenaan enggan membuka pintu premis walaupun beberapa kali diminta berbuat demikian.

Justeru katanya, pihak penguat kuasa akan berterusan menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan judi berkomputer di kawasan pentadbiran MPHTJ.



###
lagi cerita pasal Jackpot





*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan