Rabu, 3 September 2014
Tips Anak Cepat Bercakap
Lahirnya anak ke dunia menjadi harapan setiap ibu bapa untuk melihat dia membesar dengan sihat dan sempurna.
Namun, ibu bapa pasti bimbang jika mempunyai anak yang belum bercakap meskipun si kecil itu sudah mencecah usia tiga tahun.
Kebiasaannya, apabila mencecah usia sekitar dua tahun, kanak-kanak mula menuturkan perkataan yang biasa disebut kepadanya walaupun pelat atau dalam bahasanya sendiri.
Usaha ibu bapa bercakap dengan kerap bagi membantu merangsang perkembangan si kecil amat diperlukan terutama dalam memastikan permata hati dapat membesar dengan sempurna.
Berikut antara tip yang boleh diguna pakai ibu bapa yang mengalami masalah anak lambat bercakap:
1. Komunikasi pada peringkat awal iaitu seawal dari dalam kandungan. Walaupun dia tidak tahu apa-apa dan tidak faham apa yang dikatakan si ibu ketika itu, percayalah cara ini sedikit sebanyak mampu membantu.
2. Gunakan ayat yang pendek dan mudah. Apabila anda mahu menerangkan sesuatu kepada anak, pastikan ada ruang antara satu ayat dengan yang lain supaya anak anda berpeluang memberi tindak balas.
3. Mimik muka anda semasa bercakap amat penting. Ia mestilah bersesuaian apabila menyampaikan sesuatu maksud perkataan atau ayat kepada si kecil.
4.Teknik penceritaan melalui buku cerita akan membiasakan kanak-kanak untuk berkomunikasi justeru, biasakan diri untuk membaca dan bercerita kepada si kecil.
5. Dedahkan anak anda kepada interaksi sosial kerana cara ini memberi peluang kepada mereka mendengar perbualan di samping berjumpa dengan orang yang baru dikenali.
6. Anda mesti menjadi pendengar yang baik dan berusaha memberi perhatian serta cuba memahami apa yang disampaikan oleh anak anda.
Jika apa yang disebutnya tidak jelas, anda mesti membantunya dengan menyebut beberapa perkataan yang anda rasa mungkin itulah yang cuba disebutkan anak anda.
7. Jadikan amalan menyanyi bersama anak atau bercerita kepada mereka.
8. Selagi anak boleh menggunakan beberapa patah perkataan, menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dan memahami arahan mudah, boleh dikatakan perkembangan bahasa mereka adalah normal.
Banyakkan berbual dengan anak, bertanya dan cuba minta mereka bercakap.
9. Andainya anak sudah mula boleh bercakap satu perkataan, ulang apa yang mereka sebut dalam ayat yang sempurna.
Contohnya, apabila anak menyebut ‘nak’, tanyakan kembali “Adik nak apa? Nak susu? Nak mainan?” atau apabila dia sebut ‘bola’, ulang kembali ayat itu “Adik nak main bola?” dan jadikan ia suatu kebiasaan.
10. Jangan sesekali memaksa anak bercakap dan jangan pamerkan kekecewaan anda kerana mereka belum mampu bercakap.
Bahasa yang pertama sekali dipelajari anak adalah bahasa emosi dan mimik muka. Mereka lebih mahir membaca perasaan berbanding perkataan.
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
BalasPadam