Khamis, 9 Oktober 2014
Pembantu Rumah Bekerja Kedai Jackpot
Tawaran gaji antara RM1,000 hingga RM1,200 dipercayai menjadi penyebab ramai warga asing memilih bekerja di premis judi haram walaupun sedar risiko ditahan pihak berkuasa.
Perkara ini dikesan menerusi Op Dadu Khas oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sekitar Kajang dan Sepang, malam kelmarin.
Dalam serbuan jam 8.30 malam itu, polis menahan 15 kaki judi di tujuh premis selain 13 penjaga tempat itu dengan lapan daripada mereka adalah warga asing berusia antara 23 dan 30 tahun.
Seorang penjaga premis warga asing yang hanya ingin dikenali sebagai Maya, 23, mendakwa sebelum ini dia adalah pembantu rumah.
Dia mendakwa, terpaksa melarikan diri kerana kerja berat dan gaji murah sebelum ditawarkan bekerja di premis judi “Majikan tahu saya tiada dokumen perjalanan, tetapi dia tiada masalah asalkan saya mahu bekerja di sini.
“Dengan gaji RM1,000, kerja saya hanya pantau pelanggan masuk dan jaga duit, tidak perlu fikir banyak perkara,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) IPK Selangor Deputi Superintendan Abdul Ghaffor Ahmad berkata, pada Op Dadu Khas diketuai Ketua Pengawasan D7 Asisten Superintendan Sobri Baki itu, polis merampas wang RM2,167 dipercayai pertaruhan bersama 193 unit komputer dan lapan unit modem.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan