Sabtu, 9 Februari 2013

Fauzi Muda (ex-PKR) fitnah Nor Azli (PAS) mahkamah arah bayar RM100,000


Mahkamah Sesyen Ipoh pada 7 Februari 2013, mengekalkan keputusan memerintah bekas Ketua Penerangan PKR Perak, Fauzi Muda membayar RM100,000 sebagai ganti rugi kepada Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Nor Azli Musa kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, disiarkan sebuah akhbar arus perdana pada 7 Jun 2011.

Keputusan dibaca oleh Hakim Mahmud Abdullah yang menolak permohonan penangguhan dengan kos oleh Fauzi dan mengekalkan keputusan Hakim Roslan Abu Bakar sebelum ini. Selain itu, Fauzi diarahkan supaya membuat permohonan maaf secara bertulis selama tiga hari berturut-turut melalui akhbar berkenaan.

Nor Azli ketika ditemui di perkarangan mahkamah bersyukur kerana keputusan kes menyebelahinya.“Ia membuktikan fitnah yang cuba dilemparkan terhadap kepimpinan Pas dan Pakatan Rakyat (PR) di Perak. “Fitnah tersebut cuba menggambarkan pimpinan PR terlibat rasuah namun kini jelas sebaliknya. Ia juga peniup semangat kepada penyokong PR dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)," katanya.

Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Sesyen membuat keputusan artikel bertajuk ‘Nor Azli Perlu Cermin Diri - Fauzi Muda’ adalah dengan jelas memfitnah plaintif. Fauzi dalam artikel tersebut mendakwa bekas Ketua Pemuda Pas Perak itu ialah antara lapan pemimpin pembangkang yang menjadi jutawan segera semasa tempoh 11 bulan pembangkang berkuasa di Perak dan perkara itu sudah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 11 Februari 2011.

Fauzi yang pada masa dahulu pernah memegang jawatan Ketua Bahagian Ipoh Barat telah mengistihar dirinya keluar dari parti PKR suatu masa dahulu.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...