Jumaat, 22 Januari 2016

Polis Kampar Buat Operasi Perniagaan Tanpa Lesen


Padah menjual peralatan dan pakaian seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa lesen, seorang peniaga ditahan di Taman Kampar Siswa di sini, semalam. 

Dalam pemeriksaan kira-kira jam 1.30 petang, lelaki berusia 41 tahun itu berada dalam premis yang didapati turut menjual pelbagai uniform kelab sekolah seperti pengakap, pandu puteri dan bomba.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, pemeriksaan mendapati premis berkenaan telah menjalankan perniagaan tanpa lesen serta membekalkan kelengkapan dan peralatan pakaian seragam PDRM. 

“Kita telah merampas pelbagai barangan antaranya lencana pelbagai saiz dan pangkat, beberapa pangkat antaranya Inspektor, Asisten Superintendan dan Sarjan, lencana integriti, butang, vest, tali pinggang, wisel dan buku saku PDRM. 

“Hasil siasatan mendapati suspek telah mula berniaga sejak setahun lalu dan kesemua rampasan bernilai RM2,500,” katanya. 

Menurutnya, adalah menjadi satu kesalahan kepada orang awam memiliki alatan dan pakaian polis secara tidak sah melainkan pegawai dan anggota sahaja. 

“Pihak polis akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang memiliki, memakai dan menjual peralatan dan pakaian polis. 

“Lelaki ini ditahan untuk diambil keterangan dan disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967,” katanya. 

Beliau turut meminta orang ramai melaporkan sebarang maklumat atau mengesyaki mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang di balai polis berhampiran.





* dari laman sesawang akhbar tempatan



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...