Memaparkan catatan dengan label Raja Nazrin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Raja Nazrin. Papar semua catatan

Jumaat, 30 Mei 2014

Kemangkatan Sultan Azlan Negeri Perak Berkabong 100 Hari



Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah mangkat pada jam 1.30 petang hari ini, kata Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menteri besar Perak itu mengumumkan perkara itu dari Kuala Kangsar, Perak dan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebentar tadi.
Almarhum berusia 86 tahun. Beliau meninggalkan isteri, Raja Permaisuri Tuanku Bainun Muhammad Ali, seorang bekas guru, dan empat anak mereka iaitu Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah; Raja Datuk Seri Azureen Shah, Raja Eleena dan Raja Yong Sofia.
Seorang lagi putera, Raja Ashman Shah meninggal dunia pada 2012.
Pengebumian akan diadakan esok selepas solat Asar di Makam Diraja Kuala Kangsar.
Sultan Perak ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Perak ke-34 pada 1984. Sebelum ini, baginda mempunyai kerjaya cemerlang dalam sistem kehakiman Malaysia, dan pernah menjadi Ketua Hakim Negara pada 1982.
Pada 1989, Sultan Azlan menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-9, berkhidmat selama lima tahun, sebelum kembali ke takhta Perak pada 1994.
Khabar angin tersebar mengenai kemangkatan Sultan sejak Ahad, tetapi, perkara itu tidak benar.
Sultan Azlan Shah menjadi pemerintah Perak selepas kemangkatan bapa saudaranya, Sultan Idris Shah pada 1984.
Baginda juga adalah bekas Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia dan terkini Canselor Universiti Malaya.
Sultan Azlan menjadi presiden Persekutuan Hoki Malaysia sehingga 2005 dan kekal sebagai presiden Persekutuan Hoki Asia dan ahli lembaga eksekutif badan global sukan itu, Persekutuan Hoki Antarabangsa.
Kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah adalah kejohanan hoki tahunan yang disertai beberapa banyak negara dan diadakan di Ipoh.
Raja Azlan Shah dilahirkan pada 19 April, 1928 di Batu Gajah, Perak.
Baginda adalah putera kepada Sultan Yusuf Izzuddin Shah (1948–1963) dan Toh Puan Dewangsa Khadijah Ahmad.
Ketika kecil, Raja Azlan Shah dibesarkan oleh bondanya di luar lingkungan diraja.
Difahamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan pulang dari Beijing ke Malaysia malam ini untuk menghadiri upacara pengebumian Sultan Perak itu di Kuala Kangsar esok.
Najib kemudiannya akan terbang kembali ke China selepas upacara pengebumian esok, kata sumber dari Putrajaya kepada The Malaysian Insider.
Zambry berkata bendera negeri Perak akan dikibar separuh tiang sepanjang tempoh perkabungan selama 100 hari mulai hari ini, sementara bendera Malaysia dikibar separuh tiang selama tujuh hari.
"Sepanjang tempoh berkabung tujuh hari tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan dibatalkan," katanya dalam pengumuman secara langsung melalui RTM itu.
Zambry turut mengisytiharkan esok cuti umum bagi negeri Perak sebagai tanda penghormatan sempena pemakaman Almarhum.
"Seluruh rakyat jelata negeri Perak kehilangan Sultan yang dikasihi dan berjiwa rakyat.
"Saya Dr Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan Allah di kalangan para anbiya, syuhada dan solihin," katanya dengan sebak.
Pendidikan awal baginda adalah di Sekolah Kerajaan Inggeris, Batu Gajah, kini dikenali sebagai SMK Sultan Yussuf.

Baginda mendapat pendidikan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum berlepas ke United Kingdom untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di University of Nottingham.
Baginda memperoleh ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada 1953 dan dimasukkan ke Majlis Peguam Inggeris oleh Honourable Society oft Lincoln’s Inn pada 23 November 1954.
Sekembalinya ke tanah air, baginda berkhidmat sebagai pembantu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sebelum menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang bagi Persekutuan Tanah Melayu sebagai majistret. Baginda kemudiannya dilantik sebagai presiden Mahkamah Sesyen.
Baginda juga merupakan Peguam Persekutuan dan Timbalan Pendakwa Raya, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan Johor, Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Pada usia 37 tahun, baginda diiktiraf sebagai hakim termuda dalam Komanwel yang dilantik bagi Mahkamah Tinggi pada 1965.
Pada 1973, baginda dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan pada 1979 pula sebagai Ketua Hakim Malaya.
Baginda ditabalkan sebagai Raja Muda pada 1 Julai, 1983.
Pada awal 2009, baginda menerima kritikan hebat kerana penglibatannya dalam penyingkiran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak semasa Pakatan Rakyat  (PR) masih berkuasa yang membawa kepada krisis Perlembagaan negeri.
Keputusan baginda tidak dipersetujui Mahkamah Tinggi, yang memutuskan Sultan mengikut perlembagaan tidak dibenarkan memecat menteri besar.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan kemudian mengatakan Sultan adalah betul dalam melantik Zambry daripada Barisan Nasional sebagai menteri besar, walaupun mereka tidak memenangi undi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). – 28 Mei, 2014.


Jumaat, 5 April 2013

DUN Perak bubar selepas perkenan Raja Dr Nazrin serentak dengan Parlimen


Dewan Negeri Perak Ke-12 dibubarkan secara rasmi pada 3 April 2013 selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, serentak dengan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selepas ini, parti politik baik di pihak kerajaan ataupun pembangkang akan bertarung secara terbuka untuk memenangi 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

PRU-13 boleh diadakan seawal 20 April ini dengan penamaan calon diadakan pada Rabu depan berikutan pembubaran Parlimen semalam.

Namun, SPR dijangka menganjakkan hari penamaan calon pada 13 April manakala hari pengundian pada 27 April selepas mengambil kira kedua-dua tarikh itu adalah cuti hujung minggu.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, pengundian biasanya diadakan pada Sabtu, penamaan calon pula lazimnya diadakan 10 hari selepas pembubaran.

Sehingga 22 Februari lalu, sejumlah 1,409,774 pemilih berdaftar diwartakan di negeri Perak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jumlah Daftar Pemilih Induk (DPI) mengikut kawasan Parlimen ialah 32,814 (Grik); 46,695 (Larut); 51,524 (Parit Buntar), 54,915 (Bagan Serai); 71,401 (Bukit Gantang); 78,327 (Taiping); 28,572 (Padang Rengas); 51,709 (Sungai Siput); 89,582 (Tambun); 82,025 (Ipoh Timur); 77,920 (Ipoh Barat); 87,747 (Batu Gajah); 33,607 (Kuala Kangsar); 49,314 (Beruas); 33,600 (Parit); 63,776 (Kampar); 97,243 (Gopeng); 45,592 (Tapah); 51,626 (Pasir Salak); 88,473 (Lumut); 40,031 (Bagan Datoh); 60,620 (Teluk Intan) dan 64,641 (Tanjung Malim).

Berdasarkan kedudukan kerusi Parlimen dan DUN sebelum pembubaran, BN mempunyai 13 kerusi Parlimen, 29 kerusi DUN, PAS (Parlimen-2, DUN-6); DAP (Parlimen-6, DUN-16); PKR (Parlimen-2, DUN-5) dan Bebas (Parlimen-1, DUN-4).

Dalam PRU-12, BN gagal mempertahankan pemerintahan di Perak tetapi berjaya membentuk kerajaan pada 6 Februari 2009 apabila dua Adun PKR dan satu DAP keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai calon Bebas.

Dua Adun PKR iaitu ialah Jamaluddin Mohd Radzi (Adun Behrang), Mohd Osman Jailu (Adun Changkat Jering) dan Hee Yit Fong (Jelapang).

Sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran negeri, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan barisan exconya melaksanakan pelbagai pembaharuan untuk memakmur dan mensejahterakan negeri Perak.

Gagasan Perak Amanjaya dengan slogan Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir diperkenalkan untuk mendekati dan menyelami denyut nadi rakyat di serata pelusuk negeri.

Program turun padang dan Hari Bertemu Rakyat pada setiap Selasa yang dianjurkan secara terbuka oleh Menteri Besar ternyata berjaya menyelesaikan banyak masalah rakyat dalam tempoh empat tahun yang lalu.

Hasil pengurusan yang cekap, pertumbuhan sosio-ekonomi negeri Perak semakin rancak sekaligus berjaya mengutip hasil berjumlah RM905 juta pada tahun lalu, berbanding jangkaan awal RM785 juta sahaja.

Lebih hasil disalurkan kepada pembangunan negeri melalui projek pembangunan membaiki jalan dan memasang lampu jalan manakala 8,000 kakitangan awam negeri juga tidak ketinggalan menerima insentif RM500 seorang seperti yang diumumkan Menteri Besar semalam.

Berdasarkan rekod cemerlang BN dalam tempoh empat tahun lalu, rakyat Perak sewajarnya membuat penilaian dengan bijaksana demi menjamin masa depan yang lebih cerah.

Sebagai Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, memaklumkan pihaknya tidak hanya menumpukan kepada kawasan tertentu sahaja sebaliknya memberi tumpuan kepada semua kawasan bagi memastikan kemenangan dalam PRU-13.

Persiapan awal katanya, sudah dilakukan dan senarai calon juga hampir dimuktamadkan dan hanya menunggu lampu hijau daripada PM untuk diumumkan secara rasmi.

PRU-13 ini pastinya menjadi pertandingan sengit kepada BN apabila semalam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan bertanding di Perak sebagai usaha untuk melonjakkan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Walaupun belum diumumkan secara rasmi, beberapa blog tempatan menyebut Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bakal bertanding di kerusi Parlimen Ipoh Timur yang dimenangi Lim Kit Siang daripada DAP pada 2008.

Sebelum ini, Pemuda PAS negeri Perak mencadangkan Anwar bertanding di Parlimen Lumut, kerusi yang ditandingi calon MCA.

Mengulas desas-desus Anwar bertanding di Perak, Zambry dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco baru-baru ini, berkata pihaknya tidak gentar untuk berhadapan cabaran itu dan meminta rakyat penilaian sewajarnya terhadap tindakan Ketua Pembangkang itu yang meninggalkan kerusi Permatang Pauh.

“Tidak menghairan saya jika beliau mengambil keputusan bertanding di Perak atau Selangor dan kita sama sekali tidak akan gentar dengan cabaran itu,” katanya.




*sumber dari laman sesawang portal berita negeri Perak.








'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...