Selasa, 21 Ogos 2012
Zambry selar pembangkang yang putar-belit
Sikap pembangkang yang sering memutar belit fakta terhadap langkah kerajaan dalam menyediakan apa jua kebaikan kepada rakyat boleh disifatkan sebagai paranoid.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, keadaan itu terbukti apabila pembangkang dilihat terlalu sensitif dengan aktiviti yang dilakukan kerajaan terutama yang melibatkan kemudahan kepada rakyat khususnya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kita sudah tahu perangai mereka dan apa jua langkah yang diambil kerajaan akan dituduh sebagai gimik bagi memancing undi pada pilihan raya akan datang malah lagu tema hari kemerdekaan pun mereka nak politikkan juga,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pada majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Perak, di sini.
Mengulas lanjut mengenai Himpunan Janji Bersih sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 yang akan diadakan pada malam 30 Ogos di Dataran Merdeka, Zambry berkata, ia hanya akan mencemarkan suasana Aidilfitri yang sedang disambut rakyat.
Jelas beliau, pihak terbabit sepatutnya tidak mencampuradukkan antara usaha meraih sokongan politik dengan Hari Kemerdekaan yang akan disambut oleh seluruh rakyat.
“Mereka lebih cenderung cetuskan huru-hara malah jika difikirkan semula, kumpulan tersebut hanya menganjurkan himpunan berkenaan semata-mata kerana tidak bersetuju dengan tema kemerdekaan yang digunakan oleh kerajaan Barisan nasional (BN).
“Semuanya sudah dipolitikkan sekarang ini dan yang kita peliknya sebelum ini juga ada tema-tema yang berkaitan dasar kerajaan digunakan untuk perayaan tertentu namun tidak pula mereka pertikaikan,” katanya.
Zambry berkata, tema lagu itu sebenarnya mencerminkan dasar sebenar kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk memenuhi segala janjinya kepada rakyat.
“Sepatutnya pembangkang kalau nak pertikaikan perlulah melepasi tahap-tahap politik yang keterlaluan dan sempit kerana jika tidak segala-gala yang dilakukan atau bakal dilaksanakan akan dianggap berdasarkan politik.
“Pembangkang seharusnya sedar akan perkara ini dan tidak melakukannya, saya anggap tindakan yang dilakukan mereka ini merupakan satu tindakan yang terdesak,” katanya
Kepala hotak
BalasPadam