Sabtu, 29 September 2012

Berniaga online boleh dapat RM1000 dari SKMM


Pemberian geran RM1,000 melalui peruntukan RM50 juta oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memberi banyak faedah kepada pengusaha perniagaan secara dalam talian yang baru berjinak-jinak untuk memulakan perniagaan.

Pengasas perniagaan perkhidmatan rawatan kecantikan dari rumah ke rumah, JomCantik, Huzalfah Shamsudin berkata, pemberian geran terbabit membuka peluang lebih meluas kepada usahawan baru terutama wanita untuk meneroka bidang berkenaan.


Jika sebelum ini kebanyakan bantuan kepada individu yang ingin memulakan perniagaan berbentuk produk, kemahiran serta kursus, pemberian geran terbabit boleh dijadikan modal pusingan perniagaan.

“Saya menyokong penuh sekiranya geran terbabit diserahkan kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan secara dalam talian buat kali pertama.


“Jumlahnya mungkin lebih daripada mencukupi terutama jika ia membabitkan jenis perniagaan mudah seperti khidmat kecantikan dari rumah ke rumah,” katanya.


Bagaimanapun, pemberian geran berkenaan perlukan pemantauan sewajarnya terutama bagi mengenal pasti penerima yang benar-benar layak.

Ini kerana jumlah terbabit agak besar. Oleh itu, wajar untuk membentuk satu badan khas bagi memantau perjalanan geran berkenaan.


“Mungkin pada peringkat awal semangat berkobar-kobar untuk menjalankan perniagaan tetapi disebabkan tiada pengawasan, mungkin urusan perniagaan hanya tinggal kertas cadangan.

“Pemberian geran ini juga sebenarnya banyak membantu usahawan baru mengenal pasti bentuk perniagaan ingin diceburi dan membolehkan mereka bertapak lebih jauh dalam bidang terbabit,” katanya.


Menurut pemilik butik dalam talian, Lalapop, Khazylah Fhadylah Hussin, sokongan kerajaan sememangnya penting terutama kepada peniaga kecil seperti dirinya. “Peruntukan geran sebanyak RM1,000 itu dapat membantu untuk mengembangkan lagi perniagaan secara dalam talian bagi membuka butik atau mendapatkan lebih banyak koleksi pakaian. “Selain itu, bantuan ini juga boleh digunakan untuk memperbaiki laman web butik supaya ia lebih bersifat komersial, sekali gus memperluaskan jaringan perniagaan,” katanya ketika ditemui.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan