Isnin, 23 Jun 2014

Jackpot Judi Haram Bermaharajalela di Ipoh


“Saya buat aduan ni, sebab saya risau…,” demikian luahan seorang penduduk yang berasa bimbang dengan lambakan kedai judi haram sekitar bandar raya Ipoh ini.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Amar Singh, 39, itu berkata, kebimbangan itu berasas apabila terdapat lokasi yang mula dijadikan ‘port’ baru kepada pelajar untuk ponteng sekolah.

Menurutnya, situasi itu juga menimbulkan rasa tidak senang apabila anak saudaranya sendiri, turut terjebak menjadi ‘tahi judi’ menyebabkannya tampil membuat tinjauan sendiri di beberapa kawasan antaranya Menglembu, Jelapang, Bukit Merah dan Seri Maju Jaya.

“Saya lihat mereka menjalankan operasi seperti tidak bimbang di cekup oleh pihak berkuasa, kawasan Sri Maju Jaya dan Menglembu sering menjadi tumpuan anak-anak muda untuk berjudi tidak kira sama ada judi komputer mahupun mesin judi.

“Pelajar sekolah pula jadikan premis itu sebagai lokasi ponteng. Saya perhatikan mereka masuk ke kedai itu dengan menukar pakaian dan menghabiskan wang perbelanjaan yang diberikan ibu bapa untuk berjudi,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Difahamkan, aduan sudah dibuat kepada polis dan difahamkan, beberapa lokasi sudah pun diserbu pihak berkuasa.

Dalam tinjauan itu, Amar Singh turut mendapati, ada pekerja kalangan warga Bangladesh dan Indonesia dipercayai tidak berpermit/tiada
passport ditugaskan menjaga di premis judi haram terbabit.

  

“Saya mengetahuinya selepas salah seorang pekerja meminta bantuan saya untuk memperbaharui visanya. Setelah ditanya, mereka mengakui tiada permit bekerja di premis terbabit,” katanya.
 
Dia berharap, tindakan tegas dengan kerap mengadakan operasi perlu dilakukan membabitkan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelak generasi muda terjebak dalam kegiatan judi haram ini terutama pada musim Piala Dunia ini.
“Bila mereka (anak muda) terjebak dan semakin ketagih dalam permainan haram ini, tidak mustahil mereka akan bertindak di luar jangkaan seperti mencuri, samun dan sebagainya untuk mendapatkan sumber wang.

“Diharapkan setiap aduan yang dikemukakan sama ada melalui panggilan telefon mahupun surat, perlu dipandang serius dan tidak sekadar ‘melepas batuk di tangga’ kerana ia melibatkan keselamatan penduduk,” katanya.


 Katanya, pemilik premis bertindak licik apabila menempatkan pekerja asing itu pada waktu tengah malam antara jam 10 hingga awal pagi. 


Mesin judi besar yang hanya boleh di import dari negara China 




1 ulasan:

  1. Tokeh judi dan penagih judi diberi ruang beraktiviti tanpa sekatan. Bagi tokeh judi benda ni macam tanam pokok duit. Tak sampai setahun dah ada hasil untung. Bagi penagih judi benda ni adalah tempat lepak dan berjudi. Selagi tempat macam gini tak dibenteras secara berkesan maka tak hairanlah generasi Malaysia akan datang adalah pewaris warisan penagih judi. Along datang bagi pinjam duit padahal alaong dan tokeh judi adalah dari kongsi gelap. Dah berjanggut tunggu Menteri Dalam Negeri .... kata nak benteras habis-habisan. Rupanya dia juga terlibat dalam permainan wayang tongkoi cina DAP. money make money.

    BalasPadam