Isnin, 13 Ogos 2012

Dato' Samsuddin Mengagihkan Bubur Lambuk Kepada Rakyat Tapah


Kira-kira lebih 5,000 penduduk berbilang bangsa sekitar pekan Tapah berpeluang menikmati keenakan bubur lambuk yang telah diagih-agihkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tapah, Dato’ Samsuddin Abu Hassan diperkarangan Pejabat Daerah Batang Padang bermula tengah hari hingga petang semalam.

Turut serta membantu rakan komponen dari parti MCA yang diketuai Adun Chenderiang, Dato’ Dr Mah Hang Soon yang juga Exco Kerajaan Tempatan negeri Perak, Pegawai Daerah Batang Padang, Haji Ghazali Bakar serta seluruh kakitangan Pejabat Daerah Batang Padang.

Dato' Samsuddin yang juga Adun Air Kuning berkata, program pengagihan bubuk lambuk kepada penduduk sekitar pekan Tapah yang julung kali diadakan diperkarangan Pejabat Daerah Batang Padang ini ternyata berjaya memantapkan tali silaturahim dan semangat perpaduan diantara pemimpin parti, ketua dan kakitangan jabatan kerajaan dengan rakyat.

"Program hari ini nyata sekali menerima sambutan baik dari kalangan penduduk berbilang kaum termasuk masyarakat orang Asli sehingga ada dikalangan mereka yang bukan orang Islam apabila ditanya berkata bubur lambuk ini baik untuk kesihatan dan wajar sekali digelar bubur lambuk 1Malaysia,’’ katanya.

Menurut Dato' Samsuddin, sebanyak 48 periuk disediakan oleh pihak penaja dengan kerjasama pejabat DUN Air Kuning dan DUN Chenderiang bagi memasak bubur lambuk yang bermula jam 9 pagi sebelum diagihkan kepada penduduk pada jam 12 tengah hari sehingga jam 4 petang.

Beliau turut berterima kasih kepada kakitangan PLUS dan pelajar-pelajar jurusan pengajian perniagaan Politeknik Sultan Azlan Shah yang turut serta membantu bagi menjayakan program ini.

Dato' Samsuddin berharap berharap program sebegini dapat diteruskan pada tahun depan dengan sasaran penerima bubur lambuk yang lebih besar lagi bilangannya.

Dato’ Mah Hang Soon pula menganggap program pengagihan bubur lambuk sebagai satu platform untuk memantapkan semangat perpaduan dikalangan rakyat berbilang kaum di kawasan Parlimen Tapah.

"Saya amat gembira melihat suasana hari ini dimana kaum Cina, India dan masyarakat orang Asli datang beramai-ramai diperkarangan pejabat Daerah Batang Padang untuk mendapatkan bubur lambuk yang diagih-agihkan oleh wakil-wakil rakyat BN dan Ketua Bahagian serta kakitangan pejabat daerah.

"Ini jelas membuktikan program sebegini dapat mengeratkan semangat perpaduan dikalangan rakyat dengan pemimpin BN serta ketua-ketua jabatan kerajaan,’’ katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...