Isnin, 4 Mac 2013

Lahad Datu : 12 tentera Sulu ditembak mati


Seorang pegawai dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban dalam serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah, Sabtu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kejadian di perkampungan atas air pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan dua anggota kumpulan bersenjata terbabit terbunuh.

Kelima-lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna itu ditugas untuk menjalankan siasatan di kampung berkenaan berikutan polis mendapat maklumat mengenai sekumpulan lelaki bersenjata di kampung itu, katanya pada sidang akhbar di Lahad Datu, Ahad.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid.

Ismail berkata anggota polis itu ditembak semasa menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri.

Beliau berkata polis juga sedang menyiasat sama ada kumpulan bersenjata itu mempunyai kaitan dengan lebih 150 orang kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Semporna.

Jumaat lepas, dua anggota polis komando VAT 69, ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sjn Sabarudin Daud, 46, terkorban dan tiga lagi anggota polis cedera dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo di Lahad Datu.

Dalam kejadian itu, 12 anggota pasukan penceroboh terbunuh.

Ismail berkata identiti pegawai dan anggota polis yang terkorban di Semporna itu akan dimaklumkan kemudian.

Beliau berkata polis mengesan sekumpulan 10 lelaki dengan tiga daripada mereka bersenjata api di Kampung Lomalong dan Kampung Dasar Lama, Kunak, kira-kira 60 km dari Lahad Datu, pukul 10 pada Rabu malam.

"Sehingga kini polis sedang menjejaki pergerakan dan tujuan kumpulan itu," katanya.

Ismail berkata polis turut menahan tiga daripada lebih 150 orang kumpulan bersenjata rakyat Selatan Filipina yang menceroboh dan berpangkalan di Kampung Tanduo, sejak 9 Feb lepas.

"Mereka dipercayai cuba keluar daripada kumpulan itu," katanya yang enggan mendedahkan maklumat terperinci mengenai tangkapan itu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...