Memaparkan catatan dengan label bayi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bayi. Papar semua catatan
Rabu, 3 September 2014
Tips Anak Cepat Bercakap
Lahirnya anak ke dunia menjadi harapan setiap ibu bapa untuk melihat dia membesar dengan sihat dan sempurna.
Namun, ibu bapa pasti bimbang jika mempunyai anak yang belum bercakap meskipun si kecil itu sudah mencecah usia tiga tahun.
Kebiasaannya, apabila mencecah usia sekitar dua tahun, kanak-kanak mula menuturkan perkataan yang biasa disebut kepadanya walaupun pelat atau dalam bahasanya sendiri.
Usaha ibu bapa bercakap dengan kerap bagi membantu merangsang perkembangan si kecil amat diperlukan terutama dalam memastikan permata hati dapat membesar dengan sempurna.
Berikut antara tip yang boleh diguna pakai ibu bapa yang mengalami masalah anak lambat bercakap:
1. Komunikasi pada peringkat awal iaitu seawal dari dalam kandungan. Walaupun dia tidak tahu apa-apa dan tidak faham apa yang dikatakan si ibu ketika itu, percayalah cara ini sedikit sebanyak mampu membantu.
2. Gunakan ayat yang pendek dan mudah. Apabila anda mahu menerangkan sesuatu kepada anak, pastikan ada ruang antara satu ayat dengan yang lain supaya anak anda berpeluang memberi tindak balas.
3. Mimik muka anda semasa bercakap amat penting. Ia mestilah bersesuaian apabila menyampaikan sesuatu maksud perkataan atau ayat kepada si kecil.
4.Teknik penceritaan melalui buku cerita akan membiasakan kanak-kanak untuk berkomunikasi justeru, biasakan diri untuk membaca dan bercerita kepada si kecil.
5. Dedahkan anak anda kepada interaksi sosial kerana cara ini memberi peluang kepada mereka mendengar perbualan di samping berjumpa dengan orang yang baru dikenali.
6. Anda mesti menjadi pendengar yang baik dan berusaha memberi perhatian serta cuba memahami apa yang disampaikan oleh anak anda.
Jika apa yang disebutnya tidak jelas, anda mesti membantunya dengan menyebut beberapa perkataan yang anda rasa mungkin itulah yang cuba disebutkan anak anda.
7. Jadikan amalan menyanyi bersama anak atau bercerita kepada mereka.
8. Selagi anak boleh menggunakan beberapa patah perkataan, menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dan memahami arahan mudah, boleh dikatakan perkembangan bahasa mereka adalah normal.
Banyakkan berbual dengan anak, bertanya dan cuba minta mereka bercakap.
9. Andainya anak sudah mula boleh bercakap satu perkataan, ulang apa yang mereka sebut dalam ayat yang sempurna.
Contohnya, apabila anak menyebut ‘nak’, tanyakan kembali “Adik nak apa? Nak susu? Nak mainan?” atau apabila dia sebut ‘bola’, ulang kembali ayat itu “Adik nak main bola?” dan jadikan ia suatu kebiasaan.
10. Jangan sesekali memaksa anak bercakap dan jangan pamerkan kekecewaan anda kerana mereka belum mampu bercakap.
Bahasa yang pertama sekali dipelajari anak adalah bahasa emosi dan mimik muka. Mereka lebih mahir membaca perasaan berbanding perkataan.
Rabu, 23 Julai 2014
Nyot-nyot Nenen Lebih Berkhasiat
Bagi ibu yang baru pertama kali melahirkan anak, semuanya satu pengalaman baru buat mereka, daripada memandikan anak, menidurkannya hinggalah memberi susu badan kepada si kecil.
Kebanyakan ibu baru masih terkontang-kanting dalam menguruskan bayi dek tiada pengalaman, ditambah pula tanggungjawab menjaga kesihatan diri sendiri sepanjang berpantang.
Antara tanggungjawab paling berat dan kadangkala mampu mencabar kesabaran seorang ibu baru adalah memberikan susu badan kepada anak mereka.
Pemberian susu badan memerlukan komitmen tinggi dan tidak boleh diambil mudah. Ini berikutan kadar susu badan boleh menyusut mendadak jika waktu menyusu atau mengepam susu tidak dilakukan secara konsisten.
![]() |
| Oppsss ni bulan puasa jangan sampai keghairahan menonton foto nenen ini |
Ada ibu menganggap mereka sememangnya tidak ada susu atau tidak banyak susu yang boleh diberikan kepada bayi, ada pula yang sudah menyerah kalah sebelum berusaha dan ini tentunya merugikan bayi mereka kerana susu badan adalah hak anak, bukannya ibu.
Oleh kerana rasa tertekan, sibuk dengan kerja atau mungkin tidak mahu memberatkan kepala, segelintir ibu mengambil keputusan mudah dengan memberikan susu formula kepada bayi mereka.
Susu badan mempunyai nutrien mengikut keperluan tepat berdasarkan usia bayi dan ia memiliki antibodi yang tidak ada di dalam susu formula. Pemberian susu badan bukan saja mencukupkan semua zat yang diperlukan bayi untuk membesar, malah ia juga meningkatkan sistem pertahanan bayi.
Kolostrum yang keluar ketika pertama kali bayi disusukan secara terus membantu melindungi bayi sehingga sistem pertahanannya boleh berfungsi dengan sempurna.
Kolostrum juga mewujudkan kesan lawas yang lembut, membantu membuang mekonium (najis awal bayi) dan mengelak peningkatan jumlah bilirubin iaitu faktor penyumbang utama kepada masalah demam kuning dalam kalangan bayi baru lahir.
Banyak kebaikan apabila anak minum susu badan secara terus daripada ibunya. Antaranya, dia berada dalam dakapan dan sangat hampir dengan tubuh ibu, secara tidak langsung membuatkannya rasa tenang dan selamat, selain merapatkan hubungan anak dan ibu.
Rangsangan daripada bayi yang minum susu badan secara terus juga akan membantu memperbanyakkan susu badan. Pemberian susu badan secara terus adalah cara paling bersih memberikan susu pada anak selain susu berada pada suhu yang tepat.
Namun, pengenalan susu formula atau badan menerusi botol boleh menimbulkan masalah ‘keliru puting’ dalam kalangan bayi, begitu juga memberikan anak puting untuk memujuknya supaya berhenti menangis.
Apabila anak ‘keliru puting’, bayi secara langsung enggan meminum susu ibunya secara terus, sebaliknya ia terpaksa dipam terlebih dulu untuk dimasukkan ke dalam botol biarpun ketika ibu ada di sisi anak.
Menurut pakar perunding pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil, apabila bayi didedahkan dengan botol pada awal usia, dia secara tidak langsung akan mengalami keadaan keliru antara puting payudara ibu dengan puting lain, hingga agak sukar baginya untuk minum susu badan secara terus.
Puting yang diberi pada anak ketika ia meragam untuk menghentikannya menangis juga boleh menimbulkan kekeliruan pada bayi dan sebaik-baiknya ibu jangan memperkenalkan botol atau beri puting pada bayi yang masih kecil.
“Paling baik, beri terus minum susu badan dari mula dan langsung tidak memperkenalkan botol atau puting. Namun bagi ibu bekerja, pam susu dan penjaga perlu berikan susu badan menggunakan botol.
“Jika ibu bermasalah hendak beri susu badan secara terus, ibu boleh berikan susu menggunakan cawan kecil, bukannya botol. Namun untuk mengelak anak tersedak sekiranya tidak tahu cara betul atau memudahkan penjaga, pemberian susu dalam botol pilihan lebih wajar,” katanya.
Dr Yong Junina berkata, antara faktor yang menyebabkan bayi menolak minum susu badan secara terus kerana pengaliran susu badan lebih perlahan berbanding susu yang diminum daripada botol.
Jumlah susu badan yang dipam juga boleh terjejas sekiranya tidak mendapat rangsangan terus daripada bayi atau tidak dipam mengikut masa ditetapkan iaitu setiap tiga jam.
Menurutnya, antara cara memperbanyakkan susu badan bagi ibu yang mengepam susu adalah dengan melihat gambar bayi mereka untuk merangsang pengaliran susu lebih banyak.
Malah bagi bayi yang enggan minum susu secara terus daripada ibu selepas diperkenalkan dengan botol, Dr Yong Junina berkata, masih belum terlambat malah keadaan itu boleh diubah.
“Caranya memujuk bayi dengan menggalakkannya minum susu ibu secara terus setiap dua jam sambil mengusap pipinya. Ibu jangan sesekali mengalah dan perlu berfikiran positif. Jika lapar, bayi akan minum juga tetapi ibu kena banyak bersabar,” katanya.
Bayi di bawah usia enam bulan perlu diberi susu ibu secara eksklusif bagi mendapat manfaat terbaik daripada kandungan nutrien dan antibodi yang ada di dalam susu ibu.
Kebaikan susu ibu
• Melindungi bayi daripada penyakit antaranya virus perut, pernafasan, jangkitan telinga dan meningitis.
• Mengelak masalah alahan.
• Bayi lebih bijak kerana perkembangan kognitif yang lebih baik.
• Mengeratkan hubungan bayi dan ibu.
• Berat badan bayi terkawal.
• Mengurangkan risiko sindrom kematian bayi secara tiba-tiba (SIDS).
• Mampu mengurangkan tekanan diri si ibu dan mengelak daripada mengalami kemurungan selepas bersalin.
• Membantu ibu mengurangkan berat badan.
• Membantu melindungi ibu daripada kanser ovari dan payudara.
• Mengurangkan risiko bayi menghidap diabetes, asma dan obesiti.
• Sumber zat lengkap sesuai untuk pertumbuhan bayi yang sihat.
Kandungan susu ibu
• Protein. Sejumlah 60 peratus daripada kandungan protein susu ibu adalah protein whey manakala 40 peratus lagi protein casein. Ini menyeimbangkan penyerapan protein dan mempercepatkan penghadaman.
• Laktoferin. Mengelak pertumbuhan bakteria dalam saluran usus yang bergantung kepada zat besi. Ibu yang makan ikan membantu memperbanyakkan protein jenis ini dalam susu mereka.
• Secretory IgA. Ia melindungi bayi daripada virus dan bakteria termasuk E coli dan alahan lain.
• Enzim Lysozyme yang melindungi bayi daripada E coli dan Salmonella selain menyokong kesihatan usus serta bersifat antiradang.
• Bifidus menyokong bakteria jenis lactobacillus yang bermanfaat melindungi bayi daripada bakteria berbahaya dengan membentuk persekitaran berasid.
• Lemak. Kandungan lemak dalam susu ibu memastikan perkembangan otak yang sihat, membantu serapan vitamin larut lemak dan sumber kalori untuk bayi. Lemak penting untuk pertumbuhan otak, retina dan sistem saraf yang sihat.
• Vitamin. Nutrien daripada pemakanan ibu secara sihat disalurkan ke dalam susu badan seterusnya kepada bayi.
• Karbohidrat. Laktosa adalah karbohidrat utama dalam susu ibu yang berfungsi mengurangkan jumlah bakteria tidak sihat dalam perut bayi dan menggalakkan serapan kalsium, fosforus dan magnesium.
• Leukocytes iaitu sel hidup yang hanya boleh didapati daripada susu ibu. Ia berperanan melawan serangan jangkitan. Ia adalah antibodi, sel hidup, enzim dan hormon yang menjadikan susu ibu sangat istimewa.
* sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.
Khamis, 24 Januari 2013
Haziq bercukur kepala ikut sunnah Nabi s.a.w.
Sempena sambutan hari mulia Maulidur Rasul tahun ini yang jatuh pada hari Khamis, 24 hb. Januari 2013 ini, mari kita fahamkan dan baca tentang adat bercukor kepala/jambul bagi bayi yang baru dilahirkan.
Banyak budaya di seluruh dunia mempraktikkan beberapa amalan bercukur bagi bayi. Sesetengahnya hanya menggunting beberapa helai rambut, yang lain mencukur rambut bayi sepenuhnya. Kedua-duanya ini boleh diterima bagi cukur jambul (juga dikenali sebagai berendoi di utara semenanjung).
Di Malaysia, komuniti etnik yang lain juga mempunyai upacara bercukur masing-masing yang unik, mengikut asal-usul, agama dan tradisinya. Dalam komuniti Hindu, sebagai contoh, rambut bayi dicukur dalam upacara mundan, yang dianggap sebagai ritual penyucian. Sesetengah ibu bapa kaum Cina juga mencukur kepala bayi selepas sebulan ia dilahirkan (mun yuet) sebab percaya bahawa "rambut dalam rahim" perlu dibuang dan berharap agar rambut baru akan tumbuh dengan lebat dan berkilat (walaupun tidak terdapat sebarang bukti saintifik yang menyokong kepercayaan ini!).
Dari segi hukum syariat umat Islam pula, kita berpandukan kepada sunnah Nabi. Setiap perbuatan Nabi yang diikuti/dilakukan oleh umatnya dinamakan sunnah. Ia tidak sahaja berkaitan perkara-perkara ibadah sahaja tetapi merangkumi semua hal yang berkaitan dengan kehidupan manusia samada sosial, budaya, ekonomi, politik, ketenteraan dan pentadbiran.
Mencukur rambut bayi adalah sesuatu yang disunatkan oleh Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap bayi tergadai dengan akikahnya, disembelih untuknya pada hari ketujuh, dicukur rambutnya dan diberi nama.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2838] Tujuan mencukur rambut adalah untuk membersihkan selaput kepalanya dan agar rambut yang baru lagi sihat dapat tumbuh. Oleh kerana itulah dalam riwayat yang lain, mencukur rambut juga disebut sebagai “bersihkan kotoran”, yakni hadis:“Bersama seorang anak satu akikah, maka tumpahkan untuknya darah (yakni sembelihan akikah) dan bersihkan kotorannya (yakni mencukur rambut).” [Shahih al-Bukhari, no: 5472, Fath al-Bari, jld. 27, ms. 24]
Mencukur rambut disunatkan ke atas bayi lelaki dan perempuan, dan sunat dilakukan pada hari ketujuh selepas kelahirannya. Malang sekali, ramai ibubapa masa kini yang menyayangi bayi mereka dengan cara yang salah, mereka menyayangi rambut bayi mereka sehingga membelakangkan anugerah pahala dan rahmat daripada Allah s.w.t.. Justeru mereka menggantikan suruhan mencukur rambut bayi yang sunat hukumnya kepada majlis cukur jambul.
Mencukur jambul bayi hukumnya makruh, kerana ia sejenis “qaza” yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. [Shahih al-Bukhari, no: 5920] “Qaza” ialah mencukur sebahagian rambut di mana-mana bahagian kepala sementara di bahagian lain rambut dibiarkan [Fath al-Bari, jld. 28, ms. 832]. “Qaza” dilarang kerana ia mencacatkan kepala seseorang – termasuk kepala bayi – dan ia menyerupai fesyen sebahagian orang bukan Islam. Sekalipun hukumnya makruh, mana-mana ibubapa yang beriman kepada Allah lagi mengharapkan keredhaan-Nya akan berusaha menjauhi sesuatu yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w.. Selain itu ada juga ibubapa yang sekadar menggunting beberapa helai rambut bayi. Praktik ini tidak memiliki apa-apa manfaat sama ada dari sudut agama mahu pun selainnya.
Adapun melaksanakan majlis sempena cukur jambul, maka yang sepatutnya dilaksanakan ialah majlis akikah. Majlis akikah membuktikan kesyukuran kepada Allah atas bayi yang dianugerahkan-Nya, pengumuman kepada jiran-jiran akan kelahiran anak yang baru dan persediaan awal bahawa bayi itu akan dididik menjadi hamba yang berkorban untuk kebaikan agama dan umat. Majlis akikah dengan sendirinya adalah satu bentuk ibadah, maka ia tidak perlu diubah-suai dengan ibadah-ibadah lain seperti membaca surah Yasin, zikir-zikir, doa selamat dan sebagainya. Walaubagaimanapun majlis akikah hukumnya sunat, maka mana-mana ibubapa yang tidak mampu tidak dituntut melaksanakannya.
Sudut sains melihat, membuang membotakkan kepala bayi terbukti baik. Mencukur rambut bayi tidak terhad kepada orang Islam, sebaliknya turut dilakukan tanpa mengira kaum. Akar rambut terbentuk sejak janin berusia sekitar lapan minggu dan terus berkembang hingga lahir. Rambut pertama ini diistilahkan dengan velus, terlalu halus hingga sukar dilihat dan disentuh, ia boleh gugur dengan sendirinya tetapi selalunya keguguran itu tidak cantik sebab tidak rata. Orang Melayu menggelarnya ‘cukur bantal’.
Tip mencukur kepala bayi
Bagi yang pertama kali mencuba untuk mencukur rambut bayi. Ada baiknya ia dilakukan ketika ia sedang tidur mengurangkan bayi bergerak, selain mengelakkan luka bahagian berkenaan.
Caranya dilakukan agak mudah seperti sebelah tangan memegang gunting, sementara sebelah lagi memegang rambut lalu dipotong. Lebih baik rambut bayi itu dibasahkan sedikit kerana lebih mudah untuk digunting. Kalau tidak yakin, minta bantuan orang lain melakukannya.
Gunting rambut hingga bahagian hujung. Untuk membersihkan lagi sisa rambut itu, gunakan alat cukur rambut yang masih baru. Regangkan lipatan kulit kepala dengan jari telunjuk dan jari tengah, kemudian cukur.
Teknik mencukur perlu dilakukan dengan perlahan dan teliti bagi memastikan cukuran itu tidak melukai kepalanya.
Sekiranya sepanjang proses berkenaan kepalanya terluka, beri ubat antiseptik, bagaimana sekiranya membabitkan luka yang besar, segera rujuk kepada doktor.
Kepala bayi harus terus dipelihara kebersihannya. Kekotoran atas kepala bayi digelar ‘cradle cap’ perlu dihindari dengan melumurkan sedikit minyak zaitun. Biarkan kira-kira lima minit sebelum dibuang menggunakan sikat.
‘Cradle cap’ terjadi akibat meningkatnya aktiviti kelenjar di samping pengaruh hormon androgen ibu ketika hamil. Sekiranya dibiarkan saja, tumpukan lemak ini akan menghambat edaran peluh, mengakibatkan munculnya gangguan kulit seperti gatal atau bisul. Dalam jangka panjang pertumbuhan rambutnya mungkin terganggu.
Antara ciri-ciri kebaikan bercukur rambut bayi ;
Membuang kekotoran
Pada mata kasar, rambut bayi yang sudah dibersihkan dengan syampu bersih. Bagaimanapun ‘kekotoran’ itu masih terlekat di akar rambut yang mungkin tidak kita perasan dengan pandangan mata kasar. Apatah lagi ia berada lama di dalam rahim ibu. Proses kelahiran itu juga dengan sendirinya menjadikan rambut berkenaan kurang bersih.
Biar tak mudah terkena radang
Botak memudahkan ibu untuk mengamati, kalau-kalau ada sesuatu yang tak diharapkan, seperti gatal, bisul, luka dan sebagainya. Cukur rambut menjadi sesuatu yang digalakkan. Bila sudah terjadi jangkitan, misalnya bisul di kepalanya. Untuk mencegah terjadinya jangkitan lebih lanjut dan mempermudah perubatan, sebaiknya kepala anak dalam keadaan ‘bersih’.
'Menyejukkan' kepala
Orang tua-tua selalunya mengingatkan cukur rambut menyejukkan kepalanya, dari segi logik ia nampak jelas. Tetapi menurut sains, bayi-bayi kebetulan tinggal di daerah panas atau suhu udara pada bahagian itu, pasti akan merasa lebih nyaman dengan kepala botak. Kasihan juga bagi bayi yang mempunyai rambut lebat, bila berpeluh, keadaan menjadi bagaikan basah kuyup.
Rambut baru akan tumbuh
Ramai yang ‘sayang’ kepada rambut bayi yang lembut dan halus. Malah ramai yang percaya rambut cantik itu akan hilang begitu saja sekiranya di cukur. Sekiranya diamati, memang tiada perkara di dunia ini yang kekal. Bagaimanapun rambut baru itu tidak mungkin sama rupa dengan asal, kerana ia mempengaruhi genetik ibu bapa. Mungkin kerinting, perang dan sebagainya.
Pada petang hari Maulid Nabi ini, bayi berusia 39 hari yang bernama Haziq Akram telah dicukur kepalanya sampai botak mengikut sunnah Nabi. Di bawah lihatlah beberapa foto sebelum dan selepas dicukur keseluruhan kepalanya.
Langgan:
Catatan (Atom)
Tajuk Popular Minggu ini
'Like' Facebook
Rakan-rakan






