Memaparkan catatan dengan label pistol. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pistol. Papar semua catatan

Ahad, 1 Disember 2013

Seminggu purata 1 pistol dah jual....seludup ke Malaysia

















PISTOL boleh diseludup keluar dari pekan Sungai Golok, Thailand ke Malaysia dengan menunggang motosikal melalui Kompleks Imigresen Rantau Panjang, Kelantan.


Membeli pistol di pekan Sungai Golok, Thailand tidak sesukar yang disangka malah selepas membayar harga senjata api antara RM4,500 hingga RM10,000 sepucuk, ia dengan mudah boleh dibawa masuk ke Malaysia.

Bagaimanapun, individu yang mahu membeli pistol perlu melalui beberapa orang tengah yang sudah biasa dengan ejen menjual senjata api itu.

Di pekan Sungai Golok sahaja dikatakan terdapat kira-kira 10 ejen menjual senjata api dan ada sebanyak 111 jalan tikus yang pada bila-bila masa boleh dibolosi dengan pelbagai barang seludup.

Pembeli senjata api di pekan Sungai Golok itu pula kebiasaannya membabitkan samseng dan penjenayah dari Malaysia. Menurut sumber, misi membeli dan membawa keluar senjata api yang sudah dibeli jarang gagal.

Ikuti temu bual wartawan Kosmo! dengan seorang ejen penjual senjata api di pekan Sungai Golok yang aktif menjual senjata sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Lelaki itu mahu dikenali sebagai Abang Sham. Wawancara dengannya dijalankan menggunakan Bahasa Melayu loghat Siam-Kelantan.

Wartawan Kosmo!: Sejak bila anda mula berkecimpung dalam kerja ini?

Abang Sham: Sudah lama, mungkin lebih 10 tahun. Bagaimanapun, ini bukan kerja tetap saya. Saya ada kerja tetap lain tetapi tidak perlulah saya dedahkan.

Kenapa anda pilih kerja sampingan yang salah dan bahaya?

Saya lakukan kerja ini untuk dapat duit tambahan selain gaji tetap. Saya juga bukan satu-satunya orang yang jual senjata api di pekan Sungai Golok, malah rasanya ada lebih 10 orang lain yang buat kerja sama seperti saya.

Siapa yang datang beli senjata?

Sejak jual senjata api, pelanggan saya banyak orang berketurunan Cina dari Malaysia. Alasan mereka beli senjata, katanya, untuk disimpan. Saya pula tidak tanya lebih kerana itu urusan mereka dan bagi saya, saya hanya mahu duit hasil jual senjata.

Apa jenis senjata yang dijual dan berapakah harganya?

Kebiasaannya pelanggan akan beli senjata api ikut harga dan jarang dalam kalangan mereka yang pilih senjata api ikut jenis. Harga senjata api yang saya jual bermacam-macam bergantung kepada jenis dan sama ada senjata itu barang lama atau baharu.

Sebagai contoh, jika senjata api jenis 9mm harganya RM6,500 tetapi jenis sama bagi senjata sudah terpakai harganya sekitar RM4,500 hingga RM5,000. Pistol Glock pula ialah senjata moden yang lebih mahal dan harga senjata baharu Glock ialah RM10,000. Bagi Glock lama, harganya antara RM7,000 hingga RM7,500.

Senjata api jenis Smith & Wesson semi automatik merupakan senjata api terlaris. Turut dibeli senjata jenis Walther.

Berapa keuntungan jual senjata api dan di mana anda dapat bekalan?

Saya akan jual sekiranya untung dalam RM400 hingga RM500 sepucuk. Bekalan senjata api yang saya jual biasanya saya beli daripada rakan-rakan yang mahu jual senjata api mereka. Rakan-rakan saya pula ada yang beli dari kedai senjata api berlesen atau mereka beli dari Vietnam.

Macam mana dengan peluru?

Saya tidak jual peluru tetapi pembeli boleh beli sendiri di kedai-kedai jual senjata api berlesen di pekan ini. Beli pistol dan peluru adalah satu perbuatan salah di Thailand tetapi kita boleh beli secara curi-curi. Beli peluru lebih senang berbanding beli pistol. Harga sekotak peluru mengandungi 50 butir peluru ialah kira-kira RM190.

Bagaimana pelanggan cari anda?

Perkara itu memang sulit. Orang yang mahu beli senjata api akan risik mengenai ejen penjual senjata api di pekan Sungai Golok sebelum dia jumpa saya. Urusan jual beli pula akan berlaku di bilik-bilik hotel besar. Hotel-hotel adalah tempat selamat untuk urusan seperti ini.

Siapa tempah hotel?

Hotel tempat pertemuan diuruskan oleh pelanggan dan selepas diberi nombor bilik, saya kebiasaannya dengan seorang lagi rakan terus ke bilik hotel dan selesaikan urusan jual beli senjata.

Kadang-kadang saya akan bawa lebih daripada sepucuk senjata api untuk dipilih pelanggan. Sejak bergerak menjual senjata api kira-kira 10 tahun lalu, belum pernah saya ditimpa masalah. Semua urusan saya berjalan lancar.

Tanggungjawab siapa yang bawa keluar senjata itu dari pekan Sungai Golok?

Senjata api yang dijual adalah atas risiko dan urusan pembeli. Saya tidak tahu apa yang mereka lakukan dengan senjata itu. Namun apa yang diberitahu pelanggan yang beli senjata api di pekan Sungai Golok boleh bawa keluar senjata itu dengan cara menunggang motosikal keluar dari sini.

Setakat ini, belum saya dengar ada pelanggan saya kena tangkap selepas beli senjata api daripada saya.

Adakah pembelian senjata api sejak dua tahun kebelakangan ini meningkat?

Jualan saya dalam tempoh itu sama saja. Dalam seminggu secara purata saya jual sepucuk pistol, dalam setahun kira-kira 50 pucuk.

Selain melalui sempadan Rantau Panjang, di lokasi mana senjata api kerap dibawa ke Malaysia?

Pangkalan Asan Merah di Rantau Panjang dan Pangkalan Kubur di Tumpat. Melalui kedua-dua buah pangkalan haram itu, pelanggan boleh naik bot dan balik ke Malaysia bersama pistol yang telah dibeli.

Selasa, 12 November 2013

Revolver dan Semi-Auto terlaris di pasaran gelap Malaysia.

revolver-whole













Mudah dilerai dan disembunyikan dalam bahagian tertentu kenderaan ketika melepasi sempadan terutama sempadan Malaysia-Thailand, menjadi faktor mengapa senjata api jenis 'Revolver' dan 'Semi Auto' menjadi pilihan penjenayah untuk diseludup ke negara ini.

Berdasarkan risikan polis, dua pistol jenis itu mendapat permintaan yang tinggi di pasaran gelap selain harganya murah dan sukar dikesan apabila bahagian senjata tersebut dilerai dan disembunyi dalam kenderaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Polis Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah beberapa kali menggagalkan cubaan menyeludup senjata api terutama daripada dua jenis tersebut apabila ia disembunyikan di bahagian kenderaan yang telah diubah suai.

"PDRM terima maklumat risikan dan periksa beberapa kenderaan yang disyaki cuba menyeludup senjata tersebut dan memang tepat maklumat risikan kita apabila pistol-pistol itu telah dilerai dan disembunyikan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa," katanya kepada Bernama.

Justeru, mengambil kira peningkatan penyeludupan senjata api sejak kebelakangan ini, PDRM telah mengambil langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dengan bertukar maklumat risikan terutama di kawasan sempadan.

Beliau berkata PDRM turut menggunakan platform Persidangan Ketua-ketua Polis Asean yang bersidang setiap tahun bagi membincangkan perkara tersebut serta menanganinya secara berkesan melalui sudut risikan dan operasi.

Mazlan berkata peningkatan penyeludupan senjata api yang dipercayai banyak didalangi pihak kongsi gelap perlu dibanteras secara habis-habisan melalui gerakan dan perancangan yang diatur PDRM.

Katanya menurut statistik, sejak tahun 2011 hingga Sept 2013 terdapat peningkatan dari segi rampasan dan tangkapan senjata api yang berjaya ditumpaskan PDRM.

"Pada 2011 PDRM merampas 160 senjata api pelbagai jenis dan menahan 121 orang, manakala pada 2012 PDRM merampas 199 senjata api dan menahan 163 orang dan sehingga September tahun ini polis berjaya rampas 214 senjata api dan menahan 216 orang," katanya sambil menambah peningkatan rampasan dan tangkapan pada tahun ini didorong dengan kejayaan Operasi Cantas Khas.

Beliau berkata peningkatan penyeludupan senjata api terutamanya pistol jenis semiautomatik menunjukkan peningkatan yang paling tinggi, iaitu daripada 2011, sebanyak 62 pistol jenis itu dirampas di dalam negara, pada 2012 sebanyak 72 pucuk dirampas dan pada tahun ini sehingga September, sebanyak 78 pucuk pistol jenis itu dirampas.

Menurut statistik Polis Bukit Aman, rampasan kedua tertinggi ialah senjata api jenis revolver iaitu sebanyak 24 pucuk dirampas pada 2011, 72 pucuk dirampas pada tahun lepas dan sehingga September tahun ini, sebanyak 23 pucuk senjata itu dirampas.

Statistik itu melaporkan, sebanyak 16 pucuk senapang patah dirampas pada 2011, 15 pucuk dirampas pada 2012 dan lima pucuk senjata itu dirampas sehingga September tahun ini.

Selain itu sebanyak tujuh bom tangan dirampas pada 2011, sebutir dirampas pada 2012 dan tujuh butir dirampas sehingga September tahun ini.

Mazlan berkata antara faktor penyumbang kepada peningkatan penyeludupan senjata api ke dalam negara ialah aktiviti penyeludupan dadah, pertumbuhan kumpulan kongsi gelap dan peningkatan kegiatan maksiat dan perjudian.

Mengulas lanjut mengenai kaedah penyeludupan, katanya pihak polis dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) mengesan beberapa kaedah iaitu menyeludup senjata melalui bas ekspres dengan menyorokkannya di dalam beg, mengubah suai kenderaan dengan menyediakan tempat simpanan rahsia dan menyorokkan senjata dileraikan di dalam bekas simpanan bahan makanan seperti beras, sayuran dan buah-buahan.

Beliau memberikan amaran kepada mereka yang melanggar peraturan lesen senjata api boleh didakwa di bawah Seksyen 8 (b) Akta Senjata 1960.

Sementara orang yang didapati memiliki senjata api tanpa lesen boleh didakwa di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh di penjara tidak lebih tujuh tahun penjara atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, katanya.

Beliau berkata mereka yang disyaki menyeludup senjata api atau seseorang didapati memiliki lebih dari dua pucuk senjata api pada satu-satu ketika boleh didakwa di bawah Seksyen 7 (1) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.

"Jika didapati bersalah di bawah Seksyen berkenaan, pesalah akan menerima hukuman mati atau penjara seumur hayat," katanya.

Sementara itu, penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim mencadangkan kerajaan perlu membekalkan kelengkapan logistik yang canggih kepada PDRM terutama teknologi pengimbas kenderaan terkini yang telah digunakan di negara barat yang kelengkapan itu mampu mengimbas senjata api mahupun dadah yang disembunyikan di bahagian kenderaan walaupun ia telah diubah suai.

Katanya walaupun mesin pengimbas berkenaan mahal namun ia perlu dimiliki PDRM mahupun pihak berkuasa yang lain agar masalah penyeludupan dapat dibanteras habis-habisan terutama membabitkan senjata api dan dadah.



Rabu, 20 Februari 2013

Gangster curi kereta ditembak mati oleh polis di Setiawan


Seorang penjenayah dipercayai ‘ketua gengster’ yang sangat dikehendaki polis ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di ladang kelapa sawit Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini, awal pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam berkata, suspek dikenali Farid Abdul Hamid, 25, dari Ayer Tawar, Manjung mempunyai empat rekod jenayah sejak 2006 berhubung kes bunuh, samun kenderaan mewah dan dadah di sekitar Manjung, Sitiawan, Teluk Intan dan Slim River. Menurutnya, insiden berkenaan bermula apabila sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah terserempak dengan sebuah kereta jenis Naza Citra berwarna hitam dipandu suspek berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 4 pagi di Sitiawan.

“Polis yang mengekori suspek mendapati nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu dan didaftarkan atas kereta jenis Proton Waja, bagaimanapun suspek yang menyedari dirinya diekori bertindak memecut kereta ke arah Kampung Baru sebelum terbabas di kawasan ladang sawit Sungai Wangi. “Suspek kemudiannya melepaskan tembakan ke arah polis yang mengenai cermin tempat duduk pemandu kenderaan tersebut, demi mempertahankan diri, anggota polis tersebut bertindak membalas tiga das tembakan dan mengenai suspek,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN), Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba. Akibat tembakan itu, suspek mati di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan polis ke atas kenderaan tersebut turut menemui beberapa barangan.

Paramasivam berkata, pemeriksaan ke atas suspek dan kereta itu menemui sepucuk revolver jenis .38, tiga butir peluru dan kelongsong, sebilah parang panjang, beg silang berisi lesen memandu suspek dan sepaket plastik lutsinar mengandungi syabu. Katanya, suspek terbabit dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes tembak seorang mekanik di Taman Sejati, Sitiawan pada 10 November tahun lalu.

“Kereta yang digunakan itu juga sebelum ini dilaporkan hilang di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur pada 7 Mei tahun lalu. “Selain itu, suspek dipercayai sering melakukan jenayah bersama kumpulannya di sekitar Manjung,” ujarnya.

Paramasivam percaya, pihaknya telah dapat menyelesaikan sembilan kes yang berlaku di sekitar Manjung sejak 2011. “Kami akan meneruskan siasatan dan menjejaki konco-konco suspek yang masih bebas di luar sana,” katanya yang sebelum ini memberitahu beberapa ahli kumpulan yang bekerja di bawah suspek pernah ditahan dan didakwa di mahkamah pada tahun lalu. Kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Pada sidang media yang sama, Paramasivam memberitahu, Bahagian Siasatan Jenayah Nakortik Daerah Ipoh berjaya menyerbu sebuah rumah yang dipercayai dijadikan makmal pemprosesan dadah di Bercham. Bagaimanapun, polis yang telah membuat pemerhatian selama seminggu itu hanya menjumpai peralatan untuk memproses dadah tetapi tidak menjumpai sebarang dadah di dalam rumah tersebut.

Namun, pihak polis berjaya menjumpai satu beg plastik berisi 149 biji peluru hidup jenis 99MM dan 28 biji peluru jenis .22 di belakang rumah berkenaan. Katanya, polis masih melakukan siasatan dan belum membuat sebarang tangkapan berkenaan kejadian tersebut. Dalam pada itu, Paramasivam mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang telah banyak memberi kerjasama dan maklumat yang dapat membantu polis menyelesaikan kes-kes jenayah di negeri ini.



*sumber dari beberapa laman sesawang akhbar tempatan



> Syabas PDRM...



Ahad, 9 September 2012

Baru ada pistol sudah langsi....Nuar kaki ugut sekarang!



Polis menahan lelaki yang ditugaskan mengawal Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengacukan senjata api ke arah orang ramai pada majlis anjuran PKR di Kampung Baru Rim di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, lelaki berusia 37 tahun yang menaiki kereta Toyota Camry, dipercayai berang dan keluar dari kenderaan sebelum mengacukan pistol selepas sekumpulan lelaki cuba menghalang bas dinaiki Anwar ke majlis itu.

Marah dengan perbuatannya, orang ramai yang berada berhampiran tapak program Jelajah Merdeka Rakyat, menyerbu ke arah lelaki itu sehingga keadaan menjadi kecoh.

Beberapa anggota polis yang berkawal di tempat kejadian pantas menyuraikan kekecohan sebelum menahan dan membawa lelaki itu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Susulan kejadian itu, laporan polis dibuat Pemuda UMNO dan Belia 4B Jasin jam 6.30 petang di IPD berkenaan. Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Jasin, Zaidi Attan dan Timbalan Pengerusi Gerakan Belia 4B Jasin, Zulkifli Kalil.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye ketika dihubungi mengesahkan menahan seorang pengawal sebuah syarikat keselamatan yang ditugaskan untuk mengawal Anwar.
“Siasatan mendapati senjata api itu milik syarikat keselamatan dan pengawal terbabit dibenarkan membawanya ketika bertugas. Kita menahan pengawal itu dan turut merampas senjata apinya untuk siasatan.

"Kita menyiasat dari pelbagai aspek sama ada dia mengacukan pistol ke arah orang ramai atau hanya mengeluarkan senjata dan memegangnya di celah baju,” katanya.

Chuah berkata, pihaknya menerima empat laporan berhubung kejadian itu sehingga petang semalam.

Sementara itu, pemimpin belia 4B Jasin yang diacukan pistol, berkata beliau terkejut dengan tindakan lelaki terbabit kerana beliau bersama beberapa rakan tidak melakukan sebarang tindakan ganas atau provokasi.

“Saya hanya berdiri di tepi jalan untuk memberi laluan kepada rombongan Anwar ke tapak ceramah.

"Namun, secara tiba-tiba pengawal peribadi itu meluru keluar dari keretanya lalu mengacukan pistol ke arah saya sambil berkata 'masuk' (jika berani).

"Saya dan beberapa rakan terkejut dengan tindakannya dan hanya berdiam diri sebelum lelaki itu masuk semula ke dalam kereta dan beredar," katanya.



'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...