Selasa, 12 November 2013

Revolver dan Semi-Auto terlaris di pasaran gelap Malaysia.

revolver-whole













Mudah dilerai dan disembunyikan dalam bahagian tertentu kenderaan ketika melepasi sempadan terutama sempadan Malaysia-Thailand, menjadi faktor mengapa senjata api jenis 'Revolver' dan 'Semi Auto' menjadi pilihan penjenayah untuk diseludup ke negara ini.

Berdasarkan risikan polis, dua pistol jenis itu mendapat permintaan yang tinggi di pasaran gelap selain harganya murah dan sukar dikesan apabila bahagian senjata tersebut dilerai dan disembunyi dalam kenderaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Polis Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah beberapa kali menggagalkan cubaan menyeludup senjata api terutama daripada dua jenis tersebut apabila ia disembunyikan di bahagian kenderaan yang telah diubah suai.

"PDRM terima maklumat risikan dan periksa beberapa kenderaan yang disyaki cuba menyeludup senjata tersebut dan memang tepat maklumat risikan kita apabila pistol-pistol itu telah dilerai dan disembunyikan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa," katanya kepada Bernama.

Justeru, mengambil kira peningkatan penyeludupan senjata api sejak kebelakangan ini, PDRM telah mengambil langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dengan bertukar maklumat risikan terutama di kawasan sempadan.

Beliau berkata PDRM turut menggunakan platform Persidangan Ketua-ketua Polis Asean yang bersidang setiap tahun bagi membincangkan perkara tersebut serta menanganinya secara berkesan melalui sudut risikan dan operasi.

Mazlan berkata peningkatan penyeludupan senjata api yang dipercayai banyak didalangi pihak kongsi gelap perlu dibanteras secara habis-habisan melalui gerakan dan perancangan yang diatur PDRM.

Katanya menurut statistik, sejak tahun 2011 hingga Sept 2013 terdapat peningkatan dari segi rampasan dan tangkapan senjata api yang berjaya ditumpaskan PDRM.

"Pada 2011 PDRM merampas 160 senjata api pelbagai jenis dan menahan 121 orang, manakala pada 2012 PDRM merampas 199 senjata api dan menahan 163 orang dan sehingga September tahun ini polis berjaya rampas 214 senjata api dan menahan 216 orang," katanya sambil menambah peningkatan rampasan dan tangkapan pada tahun ini didorong dengan kejayaan Operasi Cantas Khas.

Beliau berkata peningkatan penyeludupan senjata api terutamanya pistol jenis semiautomatik menunjukkan peningkatan yang paling tinggi, iaitu daripada 2011, sebanyak 62 pistol jenis itu dirampas di dalam negara, pada 2012 sebanyak 72 pucuk dirampas dan pada tahun ini sehingga September, sebanyak 78 pucuk pistol jenis itu dirampas.

Menurut statistik Polis Bukit Aman, rampasan kedua tertinggi ialah senjata api jenis revolver iaitu sebanyak 24 pucuk dirampas pada 2011, 72 pucuk dirampas pada tahun lepas dan sehingga September tahun ini, sebanyak 23 pucuk senjata itu dirampas.

Statistik itu melaporkan, sebanyak 16 pucuk senapang patah dirampas pada 2011, 15 pucuk dirampas pada 2012 dan lima pucuk senjata itu dirampas sehingga September tahun ini.

Selain itu sebanyak tujuh bom tangan dirampas pada 2011, sebutir dirampas pada 2012 dan tujuh butir dirampas sehingga September tahun ini.

Mazlan berkata antara faktor penyumbang kepada peningkatan penyeludupan senjata api ke dalam negara ialah aktiviti penyeludupan dadah, pertumbuhan kumpulan kongsi gelap dan peningkatan kegiatan maksiat dan perjudian.

Mengulas lanjut mengenai kaedah penyeludupan, katanya pihak polis dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) mengesan beberapa kaedah iaitu menyeludup senjata melalui bas ekspres dengan menyorokkannya di dalam beg, mengubah suai kenderaan dengan menyediakan tempat simpanan rahsia dan menyorokkan senjata dileraikan di dalam bekas simpanan bahan makanan seperti beras, sayuran dan buah-buahan.

Beliau memberikan amaran kepada mereka yang melanggar peraturan lesen senjata api boleh didakwa di bawah Seksyen 8 (b) Akta Senjata 1960.

Sementara orang yang didapati memiliki senjata api tanpa lesen boleh didakwa di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh di penjara tidak lebih tujuh tahun penjara atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, katanya.

Beliau berkata mereka yang disyaki menyeludup senjata api atau seseorang didapati memiliki lebih dari dua pucuk senjata api pada satu-satu ketika boleh didakwa di bawah Seksyen 7 (1) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.

"Jika didapati bersalah di bawah Seksyen berkenaan, pesalah akan menerima hukuman mati atau penjara seumur hayat," katanya.

Sementara itu, penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim mencadangkan kerajaan perlu membekalkan kelengkapan logistik yang canggih kepada PDRM terutama teknologi pengimbas kenderaan terkini yang telah digunakan di negara barat yang kelengkapan itu mampu mengimbas senjata api mahupun dadah yang disembunyikan di bahagian kenderaan walaupun ia telah diubah suai.

Katanya walaupun mesin pengimbas berkenaan mahal namun ia perlu dimiliki PDRM mahupun pihak berkuasa yang lain agar masalah penyeludupan dapat dibanteras habis-habisan terutama membabitkan senjata api dan dadah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...