Isnin, 28 Mei 2012

PAS tidak muzakarah UMNO, DAP bermaharajalela

Perpecahan Melayu adalah punca Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh berani menyuarakan tuntutannya secara terbuka memperjuangkan bukan Melayu memegang jawatan Perdana Menteri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, menyifatkan Karpal menyedari tuntutannya itu tidak logik kerana Melayu adalah kumpulan majoriti di negara ini.
Bagaimanapun, Karpal berani bersuara mahukan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri selepas mengetahui kedudukan politik Melayu tidak kuat di negara ini akibat perselisihan pendapat dan pergelutan kuasa.
“Tidak mungkin Karpal boleh bercakap macam itu melainkan Melayu di negara ini berpecah dan beliau jelas tahu apa yang disebutkannya kerana kedudukan politik Melayu tidak macam dulu.

“Cadangan Karpal itu tidak mustahil dan sememangnya boleh berlaku jika Melayu terus bercakaran sesama sendiri dan sejarah sudah pun membuktikannya,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Penyelenggaraan Flet Mutiara Idaman 1 di Jelutong di sini, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Karpal sebagai berkata, beliau akan terus berjuang untuk memastikan bukan Melayu memegang jawatan Perdana Menteri dengan alasan tiada undang-undang menghalang orang bukan Melayu memegang jawatan itu, tetapi mengaku tersasul apabila menyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng harus dilantik sebagai Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, Fiji adalah contoh terbaik di mana Perdana Menterinya dilantik daripada kalangan kaum minoriti disebabkan perpecahan penduduk asal negara itu kepada 18 kumpulan.
Zainal Abidin berkata, UMNO tidak mahu perkara yang sama terjadi di negara ini dan meminta orang Melayu supaya bersatu di bawah parti itu sekali gus memastikan semua orang terbela.

Di CAMERON HIGHLANDS, Pengasas dan Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Tan Sri Omar Din Mauju meminta Karpal berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan terutama membabitkan sensitiviti masyarakat Melayu bagi mengelak permusuhan kaum berlaku.

Beliau yang menyifatkan Karpal sebagai ‘Singa Yang Tidak Bergigi’ berkata, kepentingan menjaga keharmonian kaum sebagai teras politik dan tidak menggunakan kata-kata antagonis lebih penting untuk meraih sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Kenyataan Karpal itu membuktikan parti pembangkang kini cuba menghakis perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dengan menanam unsur kebencian dan prasangka yang bakal memusnahkan ikatan perpaduan yang terjalin selama ini.

“Justeru, orang Melayu harus bersatu demi survival bangsa dan melupakan agenda politik,” katanya kepada Berita Harian pada majlis ramah mesra dan makan malam bersama Ahli Parlimen Cameron Highlands anjuran Pertubuhan Islam Gabungan Amal (PERTIGA) di Dewan Kampung Raja, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk K Devamany.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...