Memaparkan catatan dengan label KTMB. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KTMB. Papar semua catatan

Jumaat, 20 Mac 2015

SPAD tidak turun tambang semasa harga minyak turun, Hamid Albar bakal ditempelak rakyat


Tambang teksi dan kereta sewa naik antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta-merta manakala kadar tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus mulai 15 Mei ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar ketika mengumumkan kadar baharu itu berkata, keputusan membenarkan kenaikan tersebut setelah mengambil kira kenaikan kos terpaksa ditanggung pengusaha pengangkutan awam.

Berdasarkan kadar tambang baharu, penumpang teksi 1Malaysia (Teks1M) di Pulau Pinang perlu membayar RM19.80 bagi 10 kilometer pertama berbanding RM11.80 sebelum ini manakala penumpang di Lembah Klang dan Johor Bahru pula sebanyak RM17.50 bagi 10 kilometer pertama berbanding RM10.80 pada kadar lama.

Bagi teksi bajet di Lembah Klang dan Johor Bahru pula, penumpang perlu membayar RM14.30 di bawah kadar baharu berbanding RM10.80 pada kadar lama bagi 10 kilome­ter pertama; dan di Pulau Pinang, RM17.50 pada kadar baharu berbanding RM11.80 pada kadar lama dan kereta sewa pula RM14.50 berdasarkan kadar siling yang baharu.

“Penyelarasan kadar tambang ini dibuat selepas mengambil kira ke­perluan pihak pengusaha, kos sara hidup dan operasi serta kepenting­an orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu. Penetapan kadar baharu terpaksa dilakukan selepas kali terakhir semakan tambang di buat pada 2009.

“Kenaikan kadar tambang baharu ini tidak melibatkan kadar tambang teksi eksekutif dan lapangan terbang,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan kenaikan kadar tambang pengangkutan awam di Ibu Pejabat SPAD di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Nur Ismail Mohamed Kamal dan Ketua Pegawai Pembangunan SPAD, Dr. Prodyut Dutt.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, peningkatan kadar tambang bas ekspres dianggarkan antara RM4.60 sehingga RM11 berikutan kadar baharu iaitu 11.4 sen bagi setiap satu kilometer berbanding 9.3 sen sebelum ini.

“Kami sudah mengkaji dan menilai kadar munasabah yang tidak membebankan orang ramai,” katanya dengan menambah, pengusaha teksi perlu menyusun semula meter di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan kadar baharu itu.

“Saya mahu semua pemandu teksi lebih patuh dan bertanggungjawab dengan pengumuman kadar baharu ini dan tidak mengambil kesempatan,” kata Syed Hamid.

Ditanya mengenai kadar yang akan dikenakan bagi perkhidmatan di bawah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Prasarana, beliau berkata, perkara itu hanya akan diumumkan oleh syarikat terbabit.

Beliau juga menegaskan, penyelarasan kadar baharu itu tidak dibuat berikutan penguatkuasaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa 1 April ini sebaliknya mengambil kira kepentingan semua pihak.

Sementara itu, Keretapi Tanah Me­layu (KTM) Berhad dalam satu kenyataan memberitahu akan melaksanakan kadar tambang baharu selepas mendapat kelulusan SPAD memandangkan pelarasan harga dilakukan kali terakhir pada Februari 2003.

Kata kenyataan tersebut, perbezaan kadar tambang sehala baharu berbanding sedia ada bergantung kepada jarak perjalanan dari satu stesen ke stesen yang lain.

Sabtu, 13 April 2013

Batu Gajah bakal jadi 'Bandar Lokomotif'


Batu Gajah yang wujud sekitar tahun 1870an sebagai sebuah perkampungan besar di pinggir Sungai Kinta kini berubah wajah menjadi tumpuan sektor perindustrian, perniagaan serta perkhidmatan swasta dan kerajaan.

Bandar yang suatu ketika dulu berkait rapat dengan industri bijih timah, sedang berkembang secara berperingkat-peringkat ketika ini dan menjadi tumpuan pelabur termasuk dalam sektor pengangkutan.

Kini, ledakan teknologi dalam sektor pengangkutan akan menjadikan Batu Gajah sebagai 'Bandar Kereta Api' dalam tempoh tujuh tahun lagi sekaligus menjadikan Malaysia sebagai hab industri rel di rantau ASEAN.

Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah Datuk Jamry Sury berkata pembangunan infrastruktur kereta api yang bernilai tinggi dan moden telah bermula dengan kehadiran syarikat gergasi lokomotif dari China yang akan membangunkan kemudahan membina lokomotif dan rel.

"Kejayaan kerajaan Persekutuan membawa masuk pelaburan yang besar ini juga merupakan kejayaan mereka dalam merealisasikan agenda pembangunan negara," katanya.

Projek bernilai besar ini juga akan membantu proses transformasi Batu Gajah mengikut peredaran zaman yang mana pada peringkat awal kegiatan ekonomi hanya berkait rapat dengan perlombongan bijih timah pada penghujung 1800-an.

Majlis pecah tanah projek syarikat China South Locomotive & Rolling Stock Corp Ltd di atas tapak seluas 16.8 hektar dengan pelaburan fasa pertama bernilai RM400 juta itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa lepas.

Fasa kedua projek berkenaan dijangka melibatkan pembangunan enjin lokomotif dan rel pada masa depan.

Jamry berkata aktiviti perniagaan lokomotif dan rel dijangka terus berkembang mulai tahun depan dengan penghasilan produk-produk untuk dipasarkan di dalam dan luar negara.

Setakat ini, Batu Gajah telah mempunyai dua komponen yang menyokong bandar ini sebagai 'Bandar Kereta Api' iaitu kewujudan Akademi Keretapi Malaysia yang telah ditubuhkan sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi swasta, katanya.

Beliau berkata akademi itu menawarkan pelbagai program latihan, pendidikan dan pembangunan untuk pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan terbuka kepada sesiapa yang berminat.

Di sini juga terdapatnya stesen perkhidmatan KTMB antara bandar yang terletak di Kampung Pisang, Batu Gajah.

Jamry berkata lebih 800 peluang pekerjaan kemahiran teknologi tinggi, bakal ditawarkan kepada penduduk Batu Gajah, Gopeng dan Ulu Kinta apabila kemudahan membina lokomotif dan rel siap pada April tahun depan.

Beliau berkata ini selari dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan konsep pekerjaan berpendapatan tinggi yang mana negara perlu berubah daripada aktiviti ekonomi yang bernilai rendah kepada aktiviti yang bernilai tinggi.

"Saya harap penduduk di kawasan ini akan merebut peluang pekerjaan yang bakal dicipta dengan sentiasa mempertingkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan seiring dengan kehendak syarikat berkenaan," katanya.

Jamry berkata projek berkenaan turut memberi manfaat kepada sektor perniagaan dan perkhidmatan seperti pembekal bahan binaan, insuran, runcit, makanan dan syarikat keselamatan.














'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...