Jumaat, 12 September 2014

PR1MA jadikan Kedah dan Perak perintis


Perbadanan PR1MA (PR1MA) merancang untuk membangunkan rumah mampu milik berkonsepkan boleh dibangunkan semula atau ditambah oleh pemiliknya pada masa depan dengan menjadikan Kedah dan Perak sebagai lokasi perintis.

Konsep PR1MA Rumah Ibu adalah kediaman yang mempunyai kapasiti tiga ruang untuk bilik, tetapi PR1MA hanya menyediakan satu bilik yang mana dua bilik lagi boleh dibangunkan sendiri oleh pemilik pada masa depan mengikut kemampuan mereka.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Jamaludidin Jarjis berkata, konsep PR1MA Rumah Ibu memberi peluang kepada mereka yang berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman sendiri dengan kos belian lebih murah.

Beliau berkata, pembinaan rumah jenis itu akan dilaksanakan mengikut permintaan pembeli ketika cabutan undi PR1MA dilakukan dan ia sesuai bagi golongan bujang atau baru berkahwin.

“Ketika ini, kos bagi membangunkan rumah yang mempunyai kapasiti tiga bilik adalah lebih tinggi hingga menyukarkan peluang kepada mereka berpendapatan rendah untuk memilikinya.

“Untuk itu, konsep PR1MA Rumah Ibu yang dijangka diperkenalkan pada awal tahun depan membantu orang ramai membina kediaman mereka sendiri sekiranya mempunyai kewangan selepas pembelian dibuat,” katanya ketika majlis perjanjian pembelian induk En Bloc di antara PR1MA dan Darulaman Reality Sdn Bhd (DRSB) di sini, semalam.

Perjanjian antara dua entiti yang disaksikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah projek membabitkan pembangunan 323 unit rumah mampu milik jenis teres dua tingkat di Kuala Ketil.

Dalam kerjasama itu, DRSB bertindak sebagai pemaju dan PR1MA membeli rumah berkenaan serta menjual semula kepada rakyat dengan harga lebih murah.

Projek berkenaan yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM220 juta disasarkan kepada golongan berpendapatan sederhana antara RM2,500 hingga RM7,500 sebulan.

Setakat ini, lebih 700,000 rakyat Malaysia mendaftar untuk memiliki peluang rumah PR1MA dan 10,335 pendaftar adalah rakyat negeri Kedah.
  

Lagi tentang PR1MA ;
PR1MA bantu orang muda dapat rumah skim sewa beli
PR1MA jadikan Kedah dan Perak perintis






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...