Rabu, 10 September 2014

PR1MA bantu orang muda dapat rumah skim sewa beli


Kerajaan bersetuju mewujudkan skim sewa beli kepada bakal pembeli yang berhadapan masalah pinjaman daripada bank untuk membolehkan mereka memiliki rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara tersebut memberitahu, kemudahan itu telah pun dipersetujui dan pihak Perbadanan PR1MA Malaysia telah mengusahakan dengan pihak bank untuk memudahkan urusan pembelian itu.
"Ada permohonan untuk memiliki rumah ini ditolak oleh bank kerana bakal pembeli tidak ada pendapatan tetap bulanan dan trek rekod yang tidak berapa baik.
"Maka untuk mengatasi masalah ini, kita telah pun bersetuju dan PR1MA telah usahakan dengan pihak bank, kita tawarkan skim sewa beli.
"Mereka bayar sewa dalam tempoh 20 hingga 30 tahun dan kemudian, rumah itu akan menjadi milik mereka nanti. Inilah kemudahan istimewa yang saya umumkan dalam majlis ini," katanya di sini hari ini.
Perdana Menteri berucap dalam majlis memulakan kerja pembinaan rumah PR1MA@Seremban Sentral di sini meliputi pembangunan fasa pertama melibatkan sejumlah 1,600 unit. 

Fasa kedua pembangunannya kelak akan membabitkan 1,692 unit.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, Pengerusi PR1MA, Tan Sri Dr. Jamaludin Mohd. Jarjis dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias.
Dalam majlis itu juga, Najib turut mengumumkan satu lagi kawasan baharu untuk projek PR1MA di Seremban, iaitu kawasan depot Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhampiran tapak projek ini seluas 16.187 hektar juga akan dibangunkan untuk tujuan sama yang bakal menempatkan tambahan sebanyak 2,000 unit rumah.
"Saya hendak umumkan kawasan 16.187 hektar itu akan kita majukan sebagai kawasan projek PR1MA dengan bilangan rumah sebanyak 2,000 unit. 

Konsep PR1MA ini, selain belian rumah, kita hendak memberi harta kepada orang, selain menjana kekayaan.
"Kita telah buat kajian dan PR1MA juga melakukan kajian, bahawa kumpulan sasar untuk pemilikan rumah ini adalah 50 peratus terdiri daripada orang muda berusia 35 tahun ke bawah dan daripada jumlah itu, 50 peratus adalah yang masih bujang dan sebahagian lagi yang baru berkahwin," kata beliau.
Menurut Najib, kawasan Seremban diberi keutamaan yang tinggi dan sudah sepatutnya bandar itu melalui transformasi perubahan yang besar.
"Saya boleh beri jaminan, harga untuk rumah PR1MA ini hendaklah kurang 20 peratus lebih rendah dalam harga pasaran. 

Maknanya, sesiapa yang membeli rumah ini sudah mendapat 20 peratus pengurangan harga dan jika disimpan dalam tempoh 10 tahun akan datang, sudah tentulah nilainya melambung tinggi.
"Ini kerana kawasan Seremban terutamanya di PR1MA ini akan melonjak pembangunannya dan dalam tempoh 10 tahun akan datang, ia akan menjadi begitu pesat sekali," kata beliau.
Najib juga mahu fasa pertama PR1MA di Seremban Sentral disiapkan dalam tempoh 30 bulan dari tarikh memulakan kerja hari ini.
"Saya minta dalam tempoh 30 bulan nanti, saya akan diundang sekali lagi ke PR1MA@Seremban Sentral ini untuk menyampaikan pula kunci kepada penerima pertama projek PR1MA ini," kata beliau.

MB Negeri Sembilan, PM dan Pengerusi PR1MA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...