Dua premis yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga dekat Bachang di sini digempur penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kerana menjalankan aktiviti mesin judi haram dan kegiatan judi berkomputer.
Dalam serbuan pukul 10.20 pagi itu, sebanyak 13 mesin judi dan 21 unit komputer dirampas dalam dua operasi berasingan oleh penguat kuasa MBMB di sini hari ini.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, operasi yang disertai 32 anggota termasuk MBMB, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan polis itu dibuat atas intipan pihaknya dan maklumat orang awam.
Menurutnya, kedua-dua premis ditutup ketika operasi dijalankan dan pihaknya terpaksa memecah masuk kedua-dua premis tersebut atas kuasa polis.
"Rampasan pertama di pusat hiburan keluarga di lot F8,F9 dan F10 sebuah pasar raya di Bachang di mana lesennya telah dibatalkan sejak dua bulan lalu.
"Rampasan kedua pula dibuat ke atas sebuah premis di Jalan Bachang Utama (BU) 3, di mana sebanyak 21 set komputer dan unit pemproses pusat (CPU) yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian haram dirampas.
"Pihak kami akan mengambil langkah lebih agresif ke atas premis tersebut dengan memusnahkan sistem pendawaian perjudian di premis itu memandangkan mereka masih berdegil walaupun telah empat kali diserbu tahun ini," katanya.
Operasi itu diketuai oleh Pegawai Inspektorat MBMB, Mohd. Derus Tompang.
Zainal berkata, kedua-dua premis didapati tidak serik menjalankan kegiatan masing-masing biar pun telah diserbu beberapa kali oleh MBMB tahun ini.
Selain peralatan perjudian lain, turut dirampas dalam operasi itu adalah kerusi dan meja yang tidak boleh ditebus semula.
"Kita memandang serius kegiatan premis terbabit walaupun sudah diambil tindakan sebelum ini tetapi mereka tetap degil untuk meneruskan operasi mereka," katanya.
Justeru, tegasnya, penguat kuasa MBMB akan terus menggempur dan mengadakan operasi berterusan bagi membanteras kegiatan pihak tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti mesin judi dan judi berkomputer.
*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.
Mesin judi dirampas penguatkuasa |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan