Khamis, 26 Jun 2014
Akta Rumah Judi Terbuka Seksyen4B(A) serbuan di Kamunting
Kelekaan empat penghuni bersama enam penjaga premis mesin judi di sekitar Kamunting, di sini dikejutkan dengan kehadiran polis dari cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Perak dalam Ops Dadu Mesin Perjudian Haram yang dijalankan, di sini, kelmarin.
Dalam serbuan berasingan pada jam 3.45 petang di empat premis itu, tiga warga asing tidak memiliki permit perjalanan sah yang menjadi pelanggan turut ditahan.
Operasi khas diketuai Inspektor Murad A Bakar bersama lima pegawai IPK dan 20 anggota itu berjaya merampas 85 mesin perjudian haram berkomputer secara online yang dianggarkan bernilai hampir RM10,000.
Turut dirampas wang tunai berjumlah RM419 dari empat kaunter premis yang dipercayai hasil pungutan wang pada hari itu.
Murad berkata, semua premis terbabit pernah beberapa kali diserbu pihak berkuasa, namun pemilik premis masih berani menjalankan perniagaan mereka.
Menurutnya, pemilik mempunyai pelbagai cara bagi mengelak premis mereka dikesan pihak berkuasa.
“Selepas beberapa bulan diserbu ada premis yang beroperasi semula dengan mempamerkan logo atau papan iklan kedai yang pelbagai jenis seperti kedai telekomunikasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, semua taktik itu berjaya dikesan polis,” katanya.
Beliau berkata, semua barangan rampasan dan 13 individu termasuk seorang wanita yang ditahan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi sama akan diteruskan dari masa ke semasa.
Kes disiasat di bawah seksyen 4B (A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan