Ketua kumpulan berkenaan berusia 28 itu bagaimanapun ditahan bersama seorang lagi ahlinya berusia 26 tahun di dalam sebuah rumah di Beruas dekat sini pada 15 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, susulan daripada tangkapan itu, polis turut merampas sebilah pisau, dua buah telefon bimbit, sebuah komputer riba, sebuah kereta Proton Wira dan dua bungkusan daun kering disyaki ganja seberat 17 gram.

“Hasil soal siasat ke atas kedua-dua lelaki itu mendapati bahawa tujuan mereka melakukan samun dan mencederakan orang adalah untuk menakutkan mangsa supaya membayar wang perlindungan.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek berusia 28 tahun itu mempunyai empat rekod jenayah iaitu curi kereta, dadah dan samun manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang rekod jenayah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Menurut Chang Keong, kedua-dua suspek kini direman sehingga hari ini bermula Selasa lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pada 28 November lalu, empat ahli Geng Tengku bertindak menyerang sebuah pusat hiburan keluarga di Lahat, di sini dengan bersenjatakan parang untuk meminta wang perlindungan daripada pekerja premis.

“Mangsa yang enggan berbuat demikian telah dicederakan di bahagian kepala, malah beberapa barang di dalam premis itu turut dirosakkan. Suspek juga melarikan wang tunai serta barangan berharga yang dianggarkan bernilai RM5,000,” katanya.