Ahad, 1 Disember 2013

Seminggu purata 1 pistol dah jual....seludup ke Malaysia

















PISTOL boleh diseludup keluar dari pekan Sungai Golok, Thailand ke Malaysia dengan menunggang motosikal melalui Kompleks Imigresen Rantau Panjang, Kelantan.


Membeli pistol di pekan Sungai Golok, Thailand tidak sesukar yang disangka malah selepas membayar harga senjata api antara RM4,500 hingga RM10,000 sepucuk, ia dengan mudah boleh dibawa masuk ke Malaysia.

Bagaimanapun, individu yang mahu membeli pistol perlu melalui beberapa orang tengah yang sudah biasa dengan ejen menjual senjata api itu.

Di pekan Sungai Golok sahaja dikatakan terdapat kira-kira 10 ejen menjual senjata api dan ada sebanyak 111 jalan tikus yang pada bila-bila masa boleh dibolosi dengan pelbagai barang seludup.

Pembeli senjata api di pekan Sungai Golok itu pula kebiasaannya membabitkan samseng dan penjenayah dari Malaysia. Menurut sumber, misi membeli dan membawa keluar senjata api yang sudah dibeli jarang gagal.

Ikuti temu bual wartawan Kosmo! dengan seorang ejen penjual senjata api di pekan Sungai Golok yang aktif menjual senjata sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Lelaki itu mahu dikenali sebagai Abang Sham. Wawancara dengannya dijalankan menggunakan Bahasa Melayu loghat Siam-Kelantan.

Wartawan Kosmo!: Sejak bila anda mula berkecimpung dalam kerja ini?

Abang Sham: Sudah lama, mungkin lebih 10 tahun. Bagaimanapun, ini bukan kerja tetap saya. Saya ada kerja tetap lain tetapi tidak perlulah saya dedahkan.

Kenapa anda pilih kerja sampingan yang salah dan bahaya?

Saya lakukan kerja ini untuk dapat duit tambahan selain gaji tetap. Saya juga bukan satu-satunya orang yang jual senjata api di pekan Sungai Golok, malah rasanya ada lebih 10 orang lain yang buat kerja sama seperti saya.

Siapa yang datang beli senjata?

Sejak jual senjata api, pelanggan saya banyak orang berketurunan Cina dari Malaysia. Alasan mereka beli senjata, katanya, untuk disimpan. Saya pula tidak tanya lebih kerana itu urusan mereka dan bagi saya, saya hanya mahu duit hasil jual senjata.

Apa jenis senjata yang dijual dan berapakah harganya?

Kebiasaannya pelanggan akan beli senjata api ikut harga dan jarang dalam kalangan mereka yang pilih senjata api ikut jenis. Harga senjata api yang saya jual bermacam-macam bergantung kepada jenis dan sama ada senjata itu barang lama atau baharu.

Sebagai contoh, jika senjata api jenis 9mm harganya RM6,500 tetapi jenis sama bagi senjata sudah terpakai harganya sekitar RM4,500 hingga RM5,000. Pistol Glock pula ialah senjata moden yang lebih mahal dan harga senjata baharu Glock ialah RM10,000. Bagi Glock lama, harganya antara RM7,000 hingga RM7,500.

Senjata api jenis Smith & Wesson semi automatik merupakan senjata api terlaris. Turut dibeli senjata jenis Walther.

Berapa keuntungan jual senjata api dan di mana anda dapat bekalan?

Saya akan jual sekiranya untung dalam RM400 hingga RM500 sepucuk. Bekalan senjata api yang saya jual biasanya saya beli daripada rakan-rakan yang mahu jual senjata api mereka. Rakan-rakan saya pula ada yang beli dari kedai senjata api berlesen atau mereka beli dari Vietnam.

Macam mana dengan peluru?

Saya tidak jual peluru tetapi pembeli boleh beli sendiri di kedai-kedai jual senjata api berlesen di pekan ini. Beli pistol dan peluru adalah satu perbuatan salah di Thailand tetapi kita boleh beli secara curi-curi. Beli peluru lebih senang berbanding beli pistol. Harga sekotak peluru mengandungi 50 butir peluru ialah kira-kira RM190.

Bagaimana pelanggan cari anda?

Perkara itu memang sulit. Orang yang mahu beli senjata api akan risik mengenai ejen penjual senjata api di pekan Sungai Golok sebelum dia jumpa saya. Urusan jual beli pula akan berlaku di bilik-bilik hotel besar. Hotel-hotel adalah tempat selamat untuk urusan seperti ini.

Siapa tempah hotel?

Hotel tempat pertemuan diuruskan oleh pelanggan dan selepas diberi nombor bilik, saya kebiasaannya dengan seorang lagi rakan terus ke bilik hotel dan selesaikan urusan jual beli senjata.

Kadang-kadang saya akan bawa lebih daripada sepucuk senjata api untuk dipilih pelanggan. Sejak bergerak menjual senjata api kira-kira 10 tahun lalu, belum pernah saya ditimpa masalah. Semua urusan saya berjalan lancar.

Tanggungjawab siapa yang bawa keluar senjata itu dari pekan Sungai Golok?

Senjata api yang dijual adalah atas risiko dan urusan pembeli. Saya tidak tahu apa yang mereka lakukan dengan senjata itu. Namun apa yang diberitahu pelanggan yang beli senjata api di pekan Sungai Golok boleh bawa keluar senjata itu dengan cara menunggang motosikal keluar dari sini.

Setakat ini, belum saya dengar ada pelanggan saya kena tangkap selepas beli senjata api daripada saya.

Adakah pembelian senjata api sejak dua tahun kebelakangan ini meningkat?

Jualan saya dalam tempoh itu sama saja. Dalam seminggu secara purata saya jual sepucuk pistol, dalam setahun kira-kira 50 pucuk.

Selain melalui sempadan Rantau Panjang, di lokasi mana senjata api kerap dibawa ke Malaysia?

Pangkalan Asan Merah di Rantau Panjang dan Pangkalan Kubur di Tumpat. Melalui kedua-dua buah pangkalan haram itu, pelanggan boleh naik bot dan balik ke Malaysia bersama pistol yang telah dibeli.

Khamis, 21 November 2013

Penyanyi Rock Muflis Ditipu Kawan


Selepas beberapa lama mendiamkan diri, legenda rock tanahair Amy Search akhirnya membuka mulut mengenai isu yang beliau diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kira-kira dua bulan lalu.

Menurut laporan Berita Harian, Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, 55 mendakwa dikhianati rakan hingga beliau terpaksa menanggung beban dengan keputusan mahkamah tersebut.

Kata Amy Search, beliau lebih selesa menutup mulut kerana perkara itu berlaku tiba-tiba untuk mengelakkan daripada ianya menjadi satu fitnah jika dia mengulas mengenainya.

“Saya dianiaya sahabat sendiri. Bagaimanapun, tidak mengapa, saya sudah memaafkan perbuatannya. Buat masa ini, segala luahan hati saya akan saya tulis di Facebook biar semua orang tahu,” kata Amy ketika ditemui di sidang media Konsert Destini di Shah Alam baru-baru ini.

Amy Search berkata, episod pahit dalam lipatan sejarah hidupnya itu telah menyebabkan dirinya berdepan situasi sukar, namun beliau reda dan menerima dugaan dugaan dengan hati terbuka.

Enggan mengulas lanjut mengenai kes pengisytiharan muflis kerana kes berkenaan masih belum muktamad, Amy Search berkata beliau akan membuat kenyataan rasmi mengenainya selepas berbincang dengan peguam.

Yahoo Malaysia difahamkan penyanyi vokalis kumpulan Search itu dipercayai gagal menyelesaikan sejumlah hutang yang dipinjamnya bagi menjayakan ‘Konsert Jelajah Malaysia Search di Awan Biru’ sekitar 2009.

Salah seorang penganjur konsert itu turut terbabit namun individu tersebut telah menghilangkan diri dan gagal dihubungi. Dakwaan Amy Search muflis mula mendapat perhatian selepas gambar notis kebankrapan mula tersebar di laman sosial pada September lalu. 

Sementara itu, Amy Search bakal beraksi dalam konsert anjuran Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Fakulti Filem Teater dan Animasi dan akan diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor (UiTM), Shah Alam pada 20 Disember depan.

Selain Amy Search, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Rossa, Pasha Ungu, Awie, Jaclyn Victor, Hafiz dan Dayang Nurfaizah akan turut beraksi dalam konsert tersebut.

Artis Malaysia muflis bukan perkara baru. Sebelum ini, dua orang artis telah dikhabarkan muflis. Penyanyi kumpulan Mojo berani tampil mengakui perkara itu beberapa bulan lalu. Notis pengisyitiharan muflis itu keluar gara-gara hutang lapuk yang tidak dapat dilangsaikan oleh penyanyi berimej rock ini. 

Pada September lalu, timbul spekulasi mengenai bekas bintang Akademi Fantasia, Farah atau nama sebenarnya, Farah Diana Anuar yang dikatakan bankrup. Namun, Farah tidak pernah memberi kesahihan mengenai perkara ini.

Batal Lupus Kenderaan Usia 12 Tahun Keatas

Putrajaya membatalkan hasrat untuk menetapkan had 12 tahun untuk kenderaan selepas menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang dan pemilik kenderaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk meneruskan cadangan itu.
“Saya mahu tegaskan, kami tidak mempunyai rancangan untuk memperkenalkan jangka hayat kenderaan untuk dilupuskan kerana kita tidak mahu menyusahkan orang ramai,” katanya menjawab soalan Sim Tze Tzin (PKR - Bayan Baru).

Cadangan itu dibantah keras oleh Sim dan rakan satu partinya Rafizi Ramli (PKR-Pandan) yang mendakwa, ini adalah percubaan Putrajaya untuk mendapatkan lebih banyak keuntungan melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula pada April 2015.

Rafizi berkata, sebelum ini cadangan tersebut timbul pada ketika cukai eksais masih lagi tinggi sementara Darrell Leiking (PKR-Penampang) mendakwa masalah keselamatan harus diambil kira sebelum memperkenalkan polisi seperti itu.

Pemilik kenderaan yang kebanyakannya mengambil pinjaman sewa beli selama sembilan tahun untuk membeli kenderaan kerana cukai eksais terlalu tinggi turut membantah cadangan itu.

Cadangan itu timbul selepas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Datuk Dr Wong Shaw Voon, berkata kereta melebihi tempoh 12 tahun tidak selamat berada di atas jalan raya.

Putrajaya mendedahkan lebih 22 juta kenderaan kini berada di atas jalan raya dengan lima juta daripadanya melebihi 10 tahun.
Abdul Aziz berkata, langkah sudah diambil untuk menurunkan harga cukai jalan bagi kenderaan yang mempunyai kapasiti enjin rendah.
Katanya, pengguna kenderaan di bawah 1,000cc hanya membayar RM20 bagi cukai jalan sementara mereka yang menggunakan kenderaan di antara 1,400cc dan 1,600cc hanya perlu membayar RM90.
“Sebarang penurunan lagi hanya akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Dalam sidang akhbar di lobi Parlimen kemudian, Abdul Aziz mengulangi kenyataannya bahawa kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk melaksanakan polisi itu buat masa ini.
“Ini tidak benar. Itu hanyalah spekulasi pembangkang,” katanya.

Ketika ditanya apakah kerajaan akan memperkenalkannya pada masa akan datang Abdul Aziz berkata: “Terpulang kepada rakyat.”

Rabu, 20 November 2013

Kuman Dalam Alat Solek Wanita


Semestinya anda tahu bahawa anda perlu untuk membersihkan berus alatan solek anda sekali seminggu dan buang produk kecantikan anda sebaik sahaja luput tarikh, tetapi itu tidak bermakna anda terlindung daripada mempunyai bakteria dalam produk kecantikan anda. Bakteria sangat licik, dan apabila ia menjangkiti alatan solek anda, ia menyebabkan terjadinya masalah-masalah pada kulit anda seperti jerawat, kemerahan dan jangkitan. 

Untuk membantu alatan kosmetik anda bebas daripada bakteria dan kuman, kami ingin kongsikan tujuh cara licik bagaimana bakteria boleh tersebar pada alatan solek anda, dan cara untuk mengelakkannya. 

Gunakan tiub, bukan balang
Jika anda menggunakan losyen yang dipakejkan dalam bentuk balang atau tab berbanding dengan tiub, anda mendedahkan bakteria untuk melekat pada produk setiap kali anda menggunakan jari anda untuk menggunakan losyen tersebut. Sama juga sepertimasker rambut, 'exfoliators' dan apa-apa yang dipakej dalam balang, kerana bakteria yang telah terjangkit pada losyen atau maskerakan dipindahkan ke muka anda lantas menyebabkan kerengsaan, jerawat dan kemerahan. Oleh itu, beralihlah pada versi tiub untuk losyen atau masker kegemaran anda, dan daripada menggunakan jari, lebih baik anda gunakan kapas untuk bebas kuman. 

Bersin semasa menyolek muka
Perkara ini mungkin tidak dapat dielakkan kerana ia adalah semulajadi, tetapi jika anda bersin pada barang komestik anda semasa sedang menggunakannya, sekaligus anda menyebarkan bakteria ke dalam apa-apa bekas solekan yang terbuka. Jika anda rasa anda akan bersin (terutamanya semasa penggunaan maskara), halakan muka anda ke arah lain untuk mengelakkan anda bersin pada produk kosmetik. 

Penggunaan gincu selepas makan
Tidak kisah mana-mana produk untuk bibir, jika anda memakai gincu anda selepas makan makanan, sekaligus anda menekankan sisa makanan ke dalam bibir anda, dan pada produk itu sendiri. Bakteria boleh hidup di permukaan gincu, atau di dalam tiub 'lip gloss', yang akhirnya akan merebak ke bibir anda untuk penggunaan seterusnya. Pastikan anda betul-betul mengelap apa-apa makanan pada bibir anda dan jika boleh, berus gigi terlebih dahulu sebelum menggunakan gincu. 

Perkongsian alatan kosmetik anda
Perkara ini sangat benar terutamanya untuk solekan mata kerana mata anda merupakan anggota badan yang paling mudah terdedah kepada bakteria. Jika anda berkongsi mana-mana produk kecantikan dengan rakan-rakan anda, dengan serta-merta anda turut meletakkan apa-apa kuman mereka ke dalam produk anda dan sebaliknya. Malahan jika anda berada di luar bersama rakan-rakan dan mereka terlupa untuk membawa 'lip gloss', jangan berkongsi. Ia tidak akan pernah berakhir dengan baik. 

Tidak membersihkan beg solek anda 
Walaupun anda membersihkan setiap produk, berus dan span di dalam beg solek anda, itu tidak bermakna anda bebas daripada bakteria. Beg solek anda juga perlu dibersihkan, dan anda dinasihatkan untuk melakukan pembersihan ini sekurang-kurangnya sebulan sekali. Sama ada membasuhnya menggunakan mesin basuh dengan tuala atau dalam mesin basuh pinggan mangkuk (lebih baik jika beg itu dibuat daripada kanvas) untuk menyahkan bakteria daripada bahagian bawah beg. 

Menggunakan satu berus solekan untuk pelbagai fungsi
Ya, terdapat berus yang spesifik yang anda perlu gunakan untuk setiap jenis alatan solek, tetapi pada hakikatnya, ramai daripada kita yang menggunakan satu berus untuk pelbagai produk. Jika anda menggunakan satu berus untuk menggunakan bedak serbuk, kemudian gunakan pula berus tersebut untuk pemerah pipi anda, anda telah memindahkan mana-mana minyak dari muka anda ke dalam bekas pemerah pipi anda, dan kemudian menyebarkan semula bakteria minyak ke pipi anda apabila anda menggunakannya. Geli, bukan? Cuba menggunakan jari atau berus yang berasingan bagi setiap produk, dan ingat untuk membersihkan berus anda kira-kira sekali seminggu.

Selasa, 12 November 2013

Revolver dan Semi-Auto terlaris di pasaran gelap Malaysia.

revolver-whole













Mudah dilerai dan disembunyikan dalam bahagian tertentu kenderaan ketika melepasi sempadan terutama sempadan Malaysia-Thailand, menjadi faktor mengapa senjata api jenis 'Revolver' dan 'Semi Auto' menjadi pilihan penjenayah untuk diseludup ke negara ini.

Berdasarkan risikan polis, dua pistol jenis itu mendapat permintaan yang tinggi di pasaran gelap selain harganya murah dan sukar dikesan apabila bahagian senjata tersebut dilerai dan disembunyi dalam kenderaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Polis Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah beberapa kali menggagalkan cubaan menyeludup senjata api terutama daripada dua jenis tersebut apabila ia disembunyikan di bahagian kenderaan yang telah diubah suai.

"PDRM terima maklumat risikan dan periksa beberapa kenderaan yang disyaki cuba menyeludup senjata tersebut dan memang tepat maklumat risikan kita apabila pistol-pistol itu telah dilerai dan disembunyikan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa," katanya kepada Bernama.

Justeru, mengambil kira peningkatan penyeludupan senjata api sejak kebelakangan ini, PDRM telah mengambil langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dengan bertukar maklumat risikan terutama di kawasan sempadan.

Beliau berkata PDRM turut menggunakan platform Persidangan Ketua-ketua Polis Asean yang bersidang setiap tahun bagi membincangkan perkara tersebut serta menanganinya secara berkesan melalui sudut risikan dan operasi.

Mazlan berkata peningkatan penyeludupan senjata api yang dipercayai banyak didalangi pihak kongsi gelap perlu dibanteras secara habis-habisan melalui gerakan dan perancangan yang diatur PDRM.

Katanya menurut statistik, sejak tahun 2011 hingga Sept 2013 terdapat peningkatan dari segi rampasan dan tangkapan senjata api yang berjaya ditumpaskan PDRM.

"Pada 2011 PDRM merampas 160 senjata api pelbagai jenis dan menahan 121 orang, manakala pada 2012 PDRM merampas 199 senjata api dan menahan 163 orang dan sehingga September tahun ini polis berjaya rampas 214 senjata api dan menahan 216 orang," katanya sambil menambah peningkatan rampasan dan tangkapan pada tahun ini didorong dengan kejayaan Operasi Cantas Khas.

Beliau berkata peningkatan penyeludupan senjata api terutamanya pistol jenis semiautomatik menunjukkan peningkatan yang paling tinggi, iaitu daripada 2011, sebanyak 62 pistol jenis itu dirampas di dalam negara, pada 2012 sebanyak 72 pucuk dirampas dan pada tahun ini sehingga September, sebanyak 78 pucuk pistol jenis itu dirampas.

Menurut statistik Polis Bukit Aman, rampasan kedua tertinggi ialah senjata api jenis revolver iaitu sebanyak 24 pucuk dirampas pada 2011, 72 pucuk dirampas pada tahun lepas dan sehingga September tahun ini, sebanyak 23 pucuk senjata itu dirampas.

Statistik itu melaporkan, sebanyak 16 pucuk senapang patah dirampas pada 2011, 15 pucuk dirampas pada 2012 dan lima pucuk senjata itu dirampas sehingga September tahun ini.

Selain itu sebanyak tujuh bom tangan dirampas pada 2011, sebutir dirampas pada 2012 dan tujuh butir dirampas sehingga September tahun ini.

Mazlan berkata antara faktor penyumbang kepada peningkatan penyeludupan senjata api ke dalam negara ialah aktiviti penyeludupan dadah, pertumbuhan kumpulan kongsi gelap dan peningkatan kegiatan maksiat dan perjudian.

Mengulas lanjut mengenai kaedah penyeludupan, katanya pihak polis dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) mengesan beberapa kaedah iaitu menyeludup senjata melalui bas ekspres dengan menyorokkannya di dalam beg, mengubah suai kenderaan dengan menyediakan tempat simpanan rahsia dan menyorokkan senjata dileraikan di dalam bekas simpanan bahan makanan seperti beras, sayuran dan buah-buahan.

Beliau memberikan amaran kepada mereka yang melanggar peraturan lesen senjata api boleh didakwa di bawah Seksyen 8 (b) Akta Senjata 1960.

Sementara orang yang didapati memiliki senjata api tanpa lesen boleh didakwa di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh di penjara tidak lebih tujuh tahun penjara atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, katanya.

Beliau berkata mereka yang disyaki menyeludup senjata api atau seseorang didapati memiliki lebih dari dua pucuk senjata api pada satu-satu ketika boleh didakwa di bawah Seksyen 7 (1) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.

"Jika didapati bersalah di bawah Seksyen berkenaan, pesalah akan menerima hukuman mati atau penjara seumur hayat," katanya.

Sementara itu, penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim mencadangkan kerajaan perlu membekalkan kelengkapan logistik yang canggih kepada PDRM terutama teknologi pengimbas kenderaan terkini yang telah digunakan di negara barat yang kelengkapan itu mampu mengimbas senjata api mahupun dadah yang disembunyikan di bahagian kenderaan walaupun ia telah diubah suai.

Katanya walaupun mesin pengimbas berkenaan mahal namun ia perlu dimiliki PDRM mahupun pihak berkuasa yang lain agar masalah penyeludupan dapat dibanteras habis-habisan terutama membabitkan senjata api dan dadah.



Jumaat, 8 November 2013

Mitos Sarung Payudara Wanita


Pemakaian coli semasa tidur merupakan salah satu mitos yang popular. Kaum wanita telah menggunakan coli selama berabad lamanya untuk memberikan sokongan pada bahagian payudara. Namun, pemakaian coli ke tempat tidur telah membuatkan khabar angin tersebar bahawa ia boleh meningkatkan risiko kanser payudara dan meratakan dada anda. Di sini, kami akan membongkarkan empat mitos berkaitan pemakaian coli semasa tidur seperti berikut:

Pemakaian coli semasa tidur: Penyebab kanser payudara?
Tidak, mengikut kata seorang pakar bedah payudara. Coli yang mempunyai besi tidak menyebabkan atau meningkatkan risiko kanser payudara. Khabar angin ini bermula pada tahun 1995 di mana seorang pengarang yang menulis sebuah buku bertajuk 'Dressed to Kill' telah mendakwa bahawa wanita yang memakai coli ketat setiap hari terutamanya yang mempunyai besi lebih berisiko tinggi untuk mendapat kanser payudara berbanding mereka yang semulajadi. Malahan, dia turut mengatakan bahawa perkara ini turut mengecutkan sistem limpa yang mana berfungsi untuk menyingkirkan toksin daripada badan, namun coli memerangkap toksin dalam tisu payudara lantas menyebabkan kanser payudara terjadi. Namun begitu, tidak ada bukti saintifik untuk menyokong teori ini. 

Pemakaian coli semasa tidur: Memastikan payudara anda lebih baik? 
Malangnya, tidak ada bukti nyata bahawa payudara anda kelihatan lebih baik jika memakai coli pada waktu malam. Rahsia sebenar untuk dada kelihatan lebih baik adalah dengan memakai saiz coli yang betul. Pakar mengatakan bahawa kebanyakan wanita memakai coli yang tidak memberikan cukup sokongan serta menyumbang kepada ketidakselesaan. Setiap wanita perlu mendapatkan 'fitting' coli profesional sekali setahun. 

Pemakaian coli semasa tidur: Meratakan bahagian dada anda? 
Ini merupakan mitos yang paling popular di kalangan gadis remaja, tetapi tiada kebenaran yang tepat tentangnya. Jika mahukan dada yang rata, anda hanya perlu memakai korset yang ketat sehingga tidak membenarkan anda bernafas. Namun, pakar juga menasihatkan bahawa tidak perlu memakai coli semasa tidur jika ia memberikan ketidakselesaan pada anda. 

Pemakaian coli semasa tidur: Penyebab payudara kendur? 
Sebenarnya, kehamilan, penyusuan dan penuaan yang merupakan penyumbang kepada payudara kendur, bukan coli. Perbuatan memakai coli lebih dari 8 hingga 12 jam sehari akan melemahkan tisu payudara lantas mengendurkannya dan ini tidak benar sama sekali. Coli merupakan kawan kepada kaum wanita, bukan musuh.

Khamis, 24 Oktober 2013

Kejam Perompak Tembak Muka Pegawai Bank


Seorang pegawai bank wanita berusia 37 tahun yang bertugas di Ambank maut akibat ditembak di kepalanya oleh seorang pengawal keselamatan yang merompak wang di bilik kebal bank tempat mangsa bekerja di Jalan USJ 2 Sentral petang ini.

Gambar suspek yang berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup.Kejadian berlaku pukul 6.18 petang ketika mangsa, Norazita Abu Talib, 37, difahamkan memasuki bilik berkenaan bersama empat lagi pegawai bank serta suspek untuk menyimpan wang.

Menurut Utusan Malaysia, suspek berusia 37 tahun kemudian melarikan diri dengan motosikal bersama sejumlah wang yang setakat ini belum dapat dipastikan jumlahnya.

Polis masih menyiasat kejadian itu.

Ahad, 13 Oktober 2013

Blogger Seks Alvin dan Vivian dengan video terbaru

Penulis blog seks kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee muncul di alam maya dengan klip video terbaru yang agak menganggu. Ia disiarkan di YouTube dan dipertahankan oleh peguam mereka bahawa ia sama sekali tidak melanggar syarat ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.

Klip video dua minit bertajuk ‘Menyesal’ (Regret) itu tidak mengandungi unsur seks atau isu sensitif agama tetapi diakhiri dengan adegan Lee, bekas guru tadika, mengelar pergelangan tangannya.

Peguam bagi pasangan itu, Chong Joo Tian memberitahu The Malaysian Insider bahawa Lee hanya memperlihatkan atau meluah perasaan peribadinya dan dia secara jelas tidak ada niat untuk membunuh diri.
"Mereka tidak melanggar mana-mana syarat jaminan memandangkan video itu sama sekali tidak menyentuh sensitiviti kaum atau agama, " kata Chong.
Peguam itu menambah bahawa antara syarat ikat jamin yang dikenakan oleh mahkamah tidak menghalang pasangan daripada menggunakan Facebook.

Tan dan Lee berhadapan dengan kontroversi apabila menyiarkan video seks mereka di YouTube dan dikatakan menghina umat Islam semasa bulan Ramadhan apabila menyiarkan sekeping gambar di Facebook sambil memakan bak-kut-teh (sup herba daging babi).

Mereka kini dalam perbicaraan bagi tiga pertuduhan yang menghina umat Islam melalui ucapan di Facebook dan gambar lucah di dalam blog mereka.  Kedua-duanya didakwa di bawah Akta Hasutan , Akta Penapisan Filem dan Kanun Keseksaan.
Mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM30, 000 setiap seorang dan mahkamah telah menetapkan syarat-syarat tertentu yang termasuk melarang mereka daripada memuat naik artikel , komen, gambar-gambar lucah atau apa-apa bentuk penulisan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
Mereka juga dilarang daripada menggunakan apa-apa alat komunikasi untuk mengakses internet bagi memuat naik gambar, komen dan artikel yang boleh menghasut dan mewujudkan ketegangan kaum. Tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 5 dan 6 Disember.

Dalam klip video terbaru yang diarah dan ditulis oleh Tan , ia menunjukkan Lee memakai gaun musim panas duduk  seorang di sebuah bangku di  taman dalam keadaan muram seolah-olah mencerminkan pilihan yang telah dibuat dalam hidupnya.
“Sejak kecil, orang memberitahu saya untuk meneruskan impian saya, percaya pada diri sendiri, mencari suara anda sendiri. Ketika itu, segala-galanya adalah mudah.
"Sepanjang tempoh kedewasaan, ramai yang menyuruh saya berhadapan dengan realiti, pilih kestabilan. Jangan bercakap terlalu kerap. Namun, saya idealistik. Saya memilih jalan yang tidak pasti. Dan saya berkata terlalu kerap dan kuat, mereka yang berada di sekeliling  mula berasa bangga membenci saya.
“Saya rasa sukar untuk menjadi dewasa.  Apabila saya mengikut kata hati, semua memberitahu ia salah. Saya buruk dan tidak bernilai.”

"Malah, mereka yang saya sayangi juga tidak menyayangi saya lagi. Ia semua kerana saya mencabar idea mereka . Ia semua berlaku kerana saya memilih jalan hidup saya sendiri. “
" Kadang-kadang saya tertanya-tanya adakah saya melakukan perkara yag benar adalah sesuatu yang betul. Secara jujurnya, saya sudah  letih. Mereka menang. Saya sudah kalah. Saya telah berputus asa mendengar suara hati saya. Dan mereka semua seronok meraikannya. Bagi saya, kehidupan yang sudah diatur oleh orang lain tidak bernilai untuk dijalani.”
"Mungkin sudah tiba masanya untuk menamatkan perjuangan yang tidak bermakna. Hanya dengan satu jalan pintas," kata Lee dengan airmata yang bergenang.
Adegan seterusnya memperlihatkan Lee mengelar pergelangan tangannya sebelum skrin gelap.
Klip video telah dimuat naik pada Rabu dan telah dilihat sebanyak  4,875 kali. - 11 Oktober 2013

Isnin, 30 September 2013

Calon-calon Mantap 2013 dari kilang Pemuda Ipoh Barat


Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat yang terkenal kerana pimpinan dan ahli-ahli pemudanya yang aktif dalam penglibatan pelbagai aktiviti. Maka tidak dinafikan lagi jika kita kata Pemuda Perak adalah Pemuda Ipoh Barat kerana kebanyakan aktiviti pemuda peringkat negeri Perak kelibatannya adalah majoriti dari kalangan Pemuda Ipoh Barat. Terdapat juga penglibatan diperingkat kebangsaan iaitu dari badan-badan NGO seperti Gerakan Belia 4B Malaysia, Majlis Belia Malaysia, PSSGM, Nad Rakyat dan Wira Perkasa Malaysia.

Oleh itu kita patut ketengahkan calon-calon hasil dari 'kilang' Pemuda Ipoh Barat ini. Berikut adalah antara calon-calon yang berkaliber :


Iboy
Jawatan sekarang :   Penolong Setiausaha Pemuda Ipoh Barat

Ghadap
Jawatan sekarang :  Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia
Naib Ketua Pemuda Ipoh Barat (berpindah ke Bahagian Parit Buntar)

Jay
Jawatan sekarang :  Ahli Jawatankuasa Pemuda Ipoh Barat

Putra
Jawatan sekarang :  Ketua Pemuda Bahagian Ipoh Barat

Ariff
Jawatan sekarang :  Ahli Jawatankuasa Pemuda Ipoh Barat



* juga terdapat beberapa calon lain dari Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat yang bertanding.


Kepada para perwakilan, Ketua-Ketua Pemuda Cawangan dan Ahli Jawatankuasa serta lain-lain yang berkenaan harap dapatlah memilih dan mengundi pemimpin yang boleh memberi komitmen, rajin, serius bekerja, bertanggungjawab dan bijak. Demi untuk perjuangan agama, bangsa dan tanahair.

Selamat Bermesyuarat...UMNO!!!


Gandingan Mantap Bakal Pimpinan Pemuda Gopeng...Adli dan Sham





Saudara Adli Tahiruddin yang memegang nombor calon 01 menawar diri bagi jawatan Ketua Pemuda Gopeng dan saudara Shamuddin Tajuddin yang juga menjadi calon nombor 01 bagi jawatan Naib Ketua Pemuda. Gandingan mereka berdua ini menampakkan kesungguhan dan serius dengan hadir awal untuk menghantar borang calon dalam pemilihan jawatan tertinggi peringkat Pemuda UMNO Gopeng.



Berikut adalah susunan bakal calon-calon jawatankuasa sebarisan dibawah pimpinan Adli :
Kepada semua perwakilan dan Ketua-Ketua Pemuda Cawangan Pemuda UMNO Gopeng undilah dengan bijak dengan memilih pemimpin yang serius, komited dan berwibawa.


Selamat bermesyuarat...





Ahad, 29 September 2013

Pertandingan Ketua-Ketua UMNO Bahagian Di Negeri Perak 2013


1)Gerik
Penyandang  :        Datuk Hasbullah Osman
Pencabar       :        Faizol Mohd Dahan (Ketua Pemuda Bahagian Gerik)

2) Lenggong
Penyandang  :        Datuk Shaarani Mohamad (Menang tanpa bertanding)

3) Padang Rengas
Penyandang  :        Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz
Pencabar       :        1. Shahidan Yussof (bekas Setiausaha Majlis Perumahan Negara)
                                 2. Datuk Jamal Nasir Rasdi (Bekas ADUN Lubuk Merbau)

4) Kuala Kangsar
Penyandang  :        Datuk Ramly Zahari
Pencabar       :       1. Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad (Timbalan Ketua Bahagian)
                                2. Dul Hayati Baheran (Bekas Pegawai JASA)

5) Sungai Siput
Penyandang  :        Datuk Dzolkifly Haron
Pencabar       :        Zamri Abdullah (Bekas Ketua Pemuda Bahagian)

6) Bukit Gantang
Penyandang  :        Datuk Rosli Hussin
Pencabar      :        1. Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
                                2. Habidi Zain (Ketua Cawangan Batu Hampar Dalam)
                                3. Datuk Razak Baba (Bekas AJK Bahagian)

7) Taiping
Penyandang  :        Datuk Ahmad Shalimin Shafie
Pencabar       :        Dr Syed Abu Hassan Syed Abdul Fasal

8) Larut
Penyandang  :        Datuk Seri Raja Ahmad Zanuddin Raja Omar
Pencabar      :        1. Datuk Mohd. Daud Mohd. Yusof (Timbalan Bahagian)
                                2. Faizul Arby Mohd. Shohor 

9) Bagan Serai
Datuk Sham Mat Sahat – (Menang Tanpa Bertanding)

10) Parit Buntar
Bertanding   :        1. Mohd. Salleh Mat Disa (Timbalan Ketua Bahagian)
                                2. Abu Bakar Mat Ali (Naib Ketua Bahagian)

11) Ipoh Barat
Penyandang  :        Datuk Samsuddin Abdul Ghaffar (Menang tanpa bertanding)


12) Ipoh Timor
Penyandang  :        Datuk Azian Osman
Pencabar       :        Ramli Ismail (Bekas Naib Ketua Pemuda Ipoh Timor)

13) Tambun
Penyandang  :        Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (Menang tanpa bertanding)

14) Kampar
Penyandang  :        Datuk Abdul Radzi Manan
Pencabar       :        1. Zaidi Kamal Hashim (Ketua Pemuda Bahagian)
                                 2. Khairul Azhar Mokhtar (Ketua Caw Tebing Tinggi)

15) Gopeng
Penyandang  :        Datuk Hamzah Kassim
Pencabar       :        1. Mejar (B) Roslan Zakaria (Timbalan Ketua UMNO Bahagian)
                                 2. Saidil Kadri Abdul Malik (Bekas Ketua Pemuda Bahagian)
                                 3. Hamizura Osman

 16) Batu Gajah
Penyandang  :        Datuk Yussof Kassim
Pencabar       :        Ibrahim Mat Zain

17) Parit
Penyandang  :        Datuk Zaim Abu Hassan (Menang tanpa bertanding)

18) Beruas
Penyandang  :        Datuk Abdul Manaf Hashim
Pencabar       :        Datuk Hamdi Abu Bakar

19) Lumut
Penyandang  :        Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir (Menteri Besar Perak) 

20) Pasir Salak
Penyandang  :        Datuk Tajudin Abdul Rahman
Pencabar       :        1. Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Timbalan Ketua Bahagian)
                                 2. Namat Idris (Bekas Ketua Pemuda Caw Kg Teluk)

21) Teluk Intan
Azhar Jamaluddin (Timbalan Ketua Bahagian) (Menang tanpa bertanding)

22) Bagan Datoh
Penyandang  :        Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Menang tanpa bertanding)

23) Tapah
Penyandang  :        Datuk Shamsuddin Abu Hassan
Pencabar       :        Khairuddin Mat Jali (Ketua Pemuda Bahagian Tapah)

24) Tanjung Malim
Penyandang  :        Datuk Mohd Khusairi Talib
Pencabar       :        1. Mohd Yadzan Mohamad
                                 2. Mahadi Ramli (Timbalan Ketua UMNO Caw Felda Besout 4)
                                 3. Abdul Shukur Ahmad (Ketua Cawangan UMNO Balun Baru)

'Like' Facebook

Rakan-rakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...