Ahad, 1 Disember 2013

Seminggu purata 1 pistol dah jual....seludup ke Malaysia

















PISTOL boleh diseludup keluar dari pekan Sungai Golok, Thailand ke Malaysia dengan menunggang motosikal melalui Kompleks Imigresen Rantau Panjang, Kelantan.


Membeli pistol di pekan Sungai Golok, Thailand tidak sesukar yang disangka malah selepas membayar harga senjata api antara RM4,500 hingga RM10,000 sepucuk, ia dengan mudah boleh dibawa masuk ke Malaysia.

Bagaimanapun, individu yang mahu membeli pistol perlu melalui beberapa orang tengah yang sudah biasa dengan ejen menjual senjata api itu.

Di pekan Sungai Golok sahaja dikatakan terdapat kira-kira 10 ejen menjual senjata api dan ada sebanyak 111 jalan tikus yang pada bila-bila masa boleh dibolosi dengan pelbagai barang seludup.

Pembeli senjata api di pekan Sungai Golok itu pula kebiasaannya membabitkan samseng dan penjenayah dari Malaysia. Menurut sumber, misi membeli dan membawa keluar senjata api yang sudah dibeli jarang gagal.

Ikuti temu bual wartawan Kosmo! dengan seorang ejen penjual senjata api di pekan Sungai Golok yang aktif menjual senjata sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Lelaki itu mahu dikenali sebagai Abang Sham. Wawancara dengannya dijalankan menggunakan Bahasa Melayu loghat Siam-Kelantan.

Wartawan Kosmo!: Sejak bila anda mula berkecimpung dalam kerja ini?

Abang Sham: Sudah lama, mungkin lebih 10 tahun. Bagaimanapun, ini bukan kerja tetap saya. Saya ada kerja tetap lain tetapi tidak perlulah saya dedahkan.

Kenapa anda pilih kerja sampingan yang salah dan bahaya?

Saya lakukan kerja ini untuk dapat duit tambahan selain gaji tetap. Saya juga bukan satu-satunya orang yang jual senjata api di pekan Sungai Golok, malah rasanya ada lebih 10 orang lain yang buat kerja sama seperti saya.

Siapa yang datang beli senjata?

Sejak jual senjata api, pelanggan saya banyak orang berketurunan Cina dari Malaysia. Alasan mereka beli senjata, katanya, untuk disimpan. Saya pula tidak tanya lebih kerana itu urusan mereka dan bagi saya, saya hanya mahu duit hasil jual senjata.

Apa jenis senjata yang dijual dan berapakah harganya?

Kebiasaannya pelanggan akan beli senjata api ikut harga dan jarang dalam kalangan mereka yang pilih senjata api ikut jenis. Harga senjata api yang saya jual bermacam-macam bergantung kepada jenis dan sama ada senjata itu barang lama atau baharu.

Sebagai contoh, jika senjata api jenis 9mm harganya RM6,500 tetapi jenis sama bagi senjata sudah terpakai harganya sekitar RM4,500 hingga RM5,000. Pistol Glock pula ialah senjata moden yang lebih mahal dan harga senjata baharu Glock ialah RM10,000. Bagi Glock lama, harganya antara RM7,000 hingga RM7,500.

Senjata api jenis Smith & Wesson semi automatik merupakan senjata api terlaris. Turut dibeli senjata jenis Walther.

Berapa keuntungan jual senjata api dan di mana anda dapat bekalan?

Saya akan jual sekiranya untung dalam RM400 hingga RM500 sepucuk. Bekalan senjata api yang saya jual biasanya saya beli daripada rakan-rakan yang mahu jual senjata api mereka. Rakan-rakan saya pula ada yang beli dari kedai senjata api berlesen atau mereka beli dari Vietnam.

Macam mana dengan peluru?

Saya tidak jual peluru tetapi pembeli boleh beli sendiri di kedai-kedai jual senjata api berlesen di pekan ini. Beli pistol dan peluru adalah satu perbuatan salah di Thailand tetapi kita boleh beli secara curi-curi. Beli peluru lebih senang berbanding beli pistol. Harga sekotak peluru mengandungi 50 butir peluru ialah kira-kira RM190.

Bagaimana pelanggan cari anda?

Perkara itu memang sulit. Orang yang mahu beli senjata api akan risik mengenai ejen penjual senjata api di pekan Sungai Golok sebelum dia jumpa saya. Urusan jual beli pula akan berlaku di bilik-bilik hotel besar. Hotel-hotel adalah tempat selamat untuk urusan seperti ini.

Siapa tempah hotel?

Hotel tempat pertemuan diuruskan oleh pelanggan dan selepas diberi nombor bilik, saya kebiasaannya dengan seorang lagi rakan terus ke bilik hotel dan selesaikan urusan jual beli senjata.

Kadang-kadang saya akan bawa lebih daripada sepucuk senjata api untuk dipilih pelanggan. Sejak bergerak menjual senjata api kira-kira 10 tahun lalu, belum pernah saya ditimpa masalah. Semua urusan saya berjalan lancar.

Tanggungjawab siapa yang bawa keluar senjata itu dari pekan Sungai Golok?

Senjata api yang dijual adalah atas risiko dan urusan pembeli. Saya tidak tahu apa yang mereka lakukan dengan senjata itu. Namun apa yang diberitahu pelanggan yang beli senjata api di pekan Sungai Golok boleh bawa keluar senjata itu dengan cara menunggang motosikal keluar dari sini.

Setakat ini, belum saya dengar ada pelanggan saya kena tangkap selepas beli senjata api daripada saya.

Adakah pembelian senjata api sejak dua tahun kebelakangan ini meningkat?

Jualan saya dalam tempoh itu sama saja. Dalam seminggu secara purata saya jual sepucuk pistol, dalam setahun kira-kira 50 pucuk.

Selain melalui sempadan Rantau Panjang, di lokasi mana senjata api kerap dibawa ke Malaysia?

Pangkalan Asan Merah di Rantau Panjang dan Pangkalan Kubur di Tumpat. Melalui kedua-dua buah pangkalan haram itu, pelanggan boleh naik bot dan balik ke Malaysia bersama pistol yang telah dibeli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...