Khamis, 21 November 2013

Batal Lupus Kenderaan Usia 12 Tahun Keatas

Putrajaya membatalkan hasrat untuk menetapkan had 12 tahun untuk kenderaan selepas menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang dan pemilik kenderaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk meneruskan cadangan itu.
“Saya mahu tegaskan, kami tidak mempunyai rancangan untuk memperkenalkan jangka hayat kenderaan untuk dilupuskan kerana kita tidak mahu menyusahkan orang ramai,” katanya menjawab soalan Sim Tze Tzin (PKR - Bayan Baru).

Cadangan itu dibantah keras oleh Sim dan rakan satu partinya Rafizi Ramli (PKR-Pandan) yang mendakwa, ini adalah percubaan Putrajaya untuk mendapatkan lebih banyak keuntungan melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula pada April 2015.

Rafizi berkata, sebelum ini cadangan tersebut timbul pada ketika cukai eksais masih lagi tinggi sementara Darrell Leiking (PKR-Penampang) mendakwa masalah keselamatan harus diambil kira sebelum memperkenalkan polisi seperti itu.

Pemilik kenderaan yang kebanyakannya mengambil pinjaman sewa beli selama sembilan tahun untuk membeli kenderaan kerana cukai eksais terlalu tinggi turut membantah cadangan itu.

Cadangan itu timbul selepas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Datuk Dr Wong Shaw Voon, berkata kereta melebihi tempoh 12 tahun tidak selamat berada di atas jalan raya.

Putrajaya mendedahkan lebih 22 juta kenderaan kini berada di atas jalan raya dengan lima juta daripadanya melebihi 10 tahun.
Abdul Aziz berkata, langkah sudah diambil untuk menurunkan harga cukai jalan bagi kenderaan yang mempunyai kapasiti enjin rendah.
Katanya, pengguna kenderaan di bawah 1,000cc hanya membayar RM20 bagi cukai jalan sementara mereka yang menggunakan kenderaan di antara 1,400cc dan 1,600cc hanya perlu membayar RM90.
“Sebarang penurunan lagi hanya akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Dalam sidang akhbar di lobi Parlimen kemudian, Abdul Aziz mengulangi kenyataannya bahawa kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk melaksanakan polisi itu buat masa ini.
“Ini tidak benar. Itu hanyalah spekulasi pembangkang,” katanya.

Ketika ditanya apakah kerajaan akan memperkenalkannya pada masa akan datang Abdul Aziz berkata: “Terpulang kepada rakyat.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...