Jumaat, 25 Julai 2014

STAFOC perangi pusat judi haram KDN komited dan serius tegas Zahid Hamidi


Operasi memerangi pusat judi yang masih degil serta kebal di sekitar ibu negara memasuki fasa baharu dengan penglibatan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dilengkapi mesingan serta perisai badan.

Langkah itu diambil berikutan terdapat ancaman daripada pengusaha pusat judi dalam serbuan di Melaka, kelmarin, apabila pasukan polis diserang pengendali premis terbabit.

Dalam serbuan terbaharu di tingkat empat Kompleks Kotaraya, Jalan Tun Tan Cheng Lock di Kuala Lumpur, kira-kira pukul 10 malam tadi, kira-kira 20 anggota pasukan elit taktikal tersebut terlibat membantu sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Bukit Aman untuk menggempur enam premis judi yang beroperasi di sebalik nama pusat hiburan keluarga itu.

Ketua Operasinya, Deputi Supritendan Tan Tin Heng berkata, ekoran itu, pihaknya merampas 153 set komputer dan 31 simulasi yang digunakan untuk aktiviti perjudian di premis berkenaan.

Tin Heng berkata, pihaknya turut menahan 20 individu iaitu 10 penjaga premis serta 10 pemain judi dan merampas wang tunai berjumlah RM2,203.

"Serbuan ini adalah hasil risikan pasukan D7 sejak beberapa hari lalu dan kami akan terus menjalankan operasi seumpama ini sehingga isu premis judi selesai," katanya dalam sidang akhbar selepas operasi itu.

Sebelum ini, sebuah akhbar nasional mendedahkan sekurang-kurangnya terdapat tiga sindiket dikenal pasti menjadi dalang kegiatan mesin judi haram dan dibantu oleh kumpulan gengster yang bertindak sebagai pelindung dan orang perantaraan (runner) bagi memastikan kegiatan mereka tidak diganggu oleh mana-mana pihak.

Tin Heng seterusnya berkata, walaupun lokasi serbuan berkenaan terdapat beberapa orang tonto berkawal di hadapan lif dan premis terbabit, namun pihaknya berjaya melepasinya seterusnya melakukan serbuan tanpa sebarang halangan.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Dalam pada itu, ditanya mengenai serbuan bersama Stafoc, Tin Heng menjelaskan, tindakan tersebut diambil ekoran sepasukan anggota D7 diserang oleh seorang individu menggunakan kunci stereng dalam serbuan di Melaka, kelmarin.

"Kita akan terus melakukan serbuan bersama Stafoc selepas ini bergantung pada situasi," ujarnya.

Namun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) ternyata cepat responsif dan komited dengan menubuhkan pasukan petugas khas bertujuan untuk memerangi kegiatan mesin judi haram secara habis-habisan walaupun ada kekangan tertentu.

DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI menyatakan kepada wartawan keyakinan beliau untuk memerangi masalah perjudian dan menuntut komitmen semua pihak khususnya agensi penguat kuasa lain.

Selain itu, beliau juga turut menyeru kerajaan agar menambah taring Akta Pencegahan Jenayah (POCA) bagi membolehkan tindakan mandatori diambil ke atas dalang sindiket perjudian kerana jelasnya undang-undang sedia ada yang memperuntukkan denda tidak menggentarkan mereka.

Turut disentuh ialah isu militan di mana katanya, kerajaan tidak akan sesekali membenarkan kelompok pengganas bersarang di negara ini.

Siri laporan dan pendedahan oleh media tentang mesin judi haram jelas menunjukkan betapa serius dan kroniknya isu sosial ini dan bagaimana Kementerian Dalam Negeri mahu mengatasinya?

AHMAD ZAHID: Saya lihat aktiviti perjudian ini telah menjadi seolah-olah budaya bukan sahaja dalam kalangan kaum yang sememangnya sinonim dengan perjudian tetapi budaya negatif yang ditegah agama ini menular kepada orang Melayu. Bukan setakat dalam soal perjudian melibatkan mesin judi haram tetapi hampir ke seluruh sistem perjudian.
Sebenarnya, tidak terlalu sukar untuk membanteras jika semua pihak komited. Kalau undang-undang yang sepatutnya dibentangkan bersekali dengan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 juga diluluskan kerana undang-undang perjudian tidak memadai sekadar denda. Pendapatan hasil perjudian itu lebih besar daripada denda.
Perlu dikenakan hukuman mandatori penjara bukan kepada mereka yang bermain judi tetapi dalang utama aktviti perjudian. Kalau tindakan keras tidak dilakukan, kita hanya boleh mengurangkan, bukan membanteras dan jauh lagi untuk menghapuskan aktiviti perjudian ini.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju terutama peguam-peguam hak asasi manusia tetapi hakikatnya kalau kita tak mahu masyarakat itu rosak, undang-undang sedia ada boleh digunakan, tetapi hukuman tidak cukup keras untuk membanteras.
Polis telah melancarkan pelbagai operasi bagi membanteras aktiviti perjudian ini, tetapi apa masalah utama yang menyebabkan dalang sindiket gagal ditangkap?

AHMAD ZAHID: Mereka ini kalau ditangkap pun tiada bukti. Bukan mereka yang mempunyai premis itu, bukan mereka yang melakukan aktiviti itu ketika serbuan dan tangkapan dibuat. Bila Akta Kediaman Terhad dan Ordinan Darurat tiada lagi, jauh sekali Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), jadi tiada undang-undang khusus sekeras POCA yang boleh dilaksanakan.
Saya fikir, harus ada keberanian politik bukan hanya dalam kalangan pemimpin kerajaan tetapi juga pembangkang. Kalau mereka mempunyai hasrat yang sama untuk membanteras perjudian tiba masanya kita ketepikan perbezaan pendapat demi menjaga bangsa dan negara kita agar tidak dirosakkan dengan aktiviti perjudian yang merosakkan.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi, 95 peratus yang terlibat ialah orang Melayu termasuk di kawasan pedalaman. Adakah ini masalah penguatkuasaan atau bagaimana?

AHMAD ZAHID: Saya tidak faham kenapa orang Melayu. Yang ambil dadah paling ramai Melayu, yang terlibat dengan perjudian orang Melayu, yang ditangkap dalam aktiviti gengsterisme pun Melayu yang paling ramai. Tentu ada sesuatu yang silap dan perlu diperbetulkan, bukan sekadar undang-undang dan penguatkuasaan tetapi minda. Minda dan kerohanian dalam kalangan orang Melayu yang perlu diperbetulkan dan diperkukuhkan kalau tidak - Melayu hanya tinggal nama.
Ada dakwaan dan beberapa bukti tentang penglibatan agensi penguat kuasa dalam rasuah sehingga isu perjudian ini sukar ditangani. Sejauh mana Datuk Seri sedar tentang seriusnya masalah ini?

AHMAD ZAHID: Saya akui ada yang terlibat tetapi kita tidak hanya boleh menuduh pihak polis sahaja kerana banyak lagi penguat kuasa lain yang turut bertanggungjawab dalam soal perjudian ini. Pada masa yang sama, kita tidak mahu ada sindrom penafian. Saya cukup yakin bahawa ia harus ada komitmen semua pihak, kalau menuduh polis sahaja bagaimana dengan pihak-pihak lain?
Terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memberi lesen Pusat Hiburan Keluarga (PSK) atau Lembaga Totalisator di bawah Kementerian Kewangan. Mereka yang keluarkan lesen perjudian dan lesen untuk mesin judi haram. Sekali lagi saya tidak menuding jari dalam hal ini, tetapi kita kena tanya diri kita apa tugas tiap-tiap pihak berwajib lain? Jangan berdiam diri dengan membenarkan seolah-olah masalah ini hanya tanggungjawab polis dan hanya polis yang menerima rasuah. Benar ada dalam kalangan polis terima rasuah tetapi tidak semua.
Datuk Seri menyebut undang-undang yang ada sekarang tidak cukup bertaring. Mengapa begitu?

AHMAD ZAHID: Ia harus berjalan selari. Undang-undang yang terdapat dalam POCA tentang perjudian ini mesti dibentangkan kerana undang-undang itu telah ada dan sudah dibuat bacaan kali pertama. Kita cuma perlu teruskan untuk bacaan kali kedua dan pada masa yang sama, operasi memerangi itu berjalan. Jadi penguatkuasaan itu boleh berlaku serta-merta.
Masalahnya sekarang seolah-olah sudah jadi seperti cerita 'bangau oh bangau' apabila setiap kementerian bertanggungjawab saling menuding jari?

AHMAD ZAHID: Ini bukan soal 'bangau oh bangau'. Polis bertindak atas kuasa. Kuasa bersandarkan undang-undang. Undang-undang bersandarkan kepada komitmen politik. Kalau kuasa penyitaan itu di bawah PBT, maka harus diberi kepada PBT. Begitu juga kuasa pemotongan air dan elektrik yang harus diberi kepada mereka secara mandatori. Kalau nak putuskan jaringan internet Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) harus menjalankan peranan. Takkan semuanya nak disalahkan kepada polis.
Ini bukan sindrom penafian tetapi hakikatnya kita harus melihat ke depan, jangan bertekak dan bertengkar, sama-sama kita duduk bagi menyelesaikan masalah ini. Itu sebabnya, saya bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan dan Datuk Seri Idris Jala akan sama-sama duduk untuk mencari langkah penyelesaian holistik bagi memastikan masalah perjudian ini dapat dihapuskan.
Sejauh mana Datuk Seri yakin penubuhan pasukan elit yang diumumkan minggu lalu mampu menangani isu perjudian haram ini?

AHMAD ZAHID: Kita sudah buktikan melalui Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) kerana sistem operasi polis dulu, apabila operasi mahu dilakukan, ia harus mengikut saluran-saluran di peringkat pusat ke negeri, daerah dan balai. Saya tidak bercadang untuk menyatakan ada kelemahan dalam operasi tetapi pihak yang mahu melepaskan diri tentu dapat mencari maklumat apabila komunikasi itu berjalan dari satu peringkat ke satu peringkat lain.
Tapi bila Sting dan Stafoc berjalan daripada atas terus kepada kumpulan sasaran jadi maklumat tidak tiris. Dua kumpulan elit ini telah membuktikan kemampuan mereka, saya tidak gusar bahawa satu lagi pasukan elit ini mampu sekurang-kurangnya mengurangkan perjudian haram.
Kalau dilihat pada kroniknya masalah ini, adakah pasukan petugas itu betul-betul mampu mengurangkan perjudian kerana isu mesin judi haram itu sudah terlalu serius?

AHMAD ZAHID: Jangan hanya melihat kepada mesin judi sahaja. Perjudian ini tidak hanya sekadar mesin tetapi macam-macam aktiviti. Saya fikir kalau kita serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa sahaja tidak mencukupi. Ia harus ada keterlibatan pelbagai pihak terutamanya masyarakat keseluruhannya dan saya fikir pasukan sukarelawan yang ada diakar umbi sekarang boleh membantu memberi maklumat, menjalankan kempen kesedaran dan pencegahan.
Kalau tidak, golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana yang terperangkap dengan kegiatan judi ini akan sentiasa diperah oleh tauke-tauke judi yang tidak berhati perut ini kerana mereka tidak melihat kesusahan orang lain, keruntuhan rumah tangga atau masalah jenayah akibat kekalahan perjudian. Ini harus dilihat dengan pandangan yang halus oleh pemimpin masyarakat. Itu sebabnya saya mengajak pemimpin pembangkang bersama-sama dengan kita untuk menyelesaikan masalah ini.
Berhubung isu militan, ada orang mengatakan selepas lawatan Presiden Barack Obama, Kementerian Dalam Negeri mula menggempur mereka, apakah ini suatu kebetulan atau macam mana?

AHMAD ZAHID: Kita sudah mendapat maklumat lebih awal hasil daripada risikan yang kita buat. Ia mengambil masa kerana maklumat itu perlu diperhalusi selain mencari bukti kukuh. Tangkapan dibuat selepas Obama balik bukan kebetulan tetapi pihak polis merasakan tidak baik kalau semasa Obama ada dalam negara atau sebelum kedatangan beliau, tindakan penahanan diambil. Oleh sebab itu, operasi dibuat selepas Obama balik kerana maklumat sudah ada di tangan pihak polis.
Sekarang Malaysia dilihat menjadi tempat bersarangnya golongan radikal dan militan, bukan hanya melibatkan militan tempatan tetapi juga kelompok pengganas antarabangsa seperti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?

AHMAD ZAHID: Keadaan ini tidak berlaku hanya di Malaysia sahaja. Itu harus kita ingat. Beberapa negara jiran lain juga menghadapi masalah serupa tetapi bila kita lakukan operasi ia memperlihat seolah-olah hanya berlaku di Malaysia. Kita perlu lihat juga di selatan Thailand dan Filipina serta Indonesia sendiri. Saya fikir ini masalah sejagat.
Jadi kita tidak terlepas dari masalah ini. Dalam hal ini pegangan saya dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ialah kita tidak mahu Malaysia menjadi sarang kepada permulaan kegiatan militan atau sebarang kegiatan yang tidak mengikut perundangan. Itu sebabnya tindakan-tindakan yang dilakukan pihak polis agak keras.
Namun pada masa yang sama, kita mahu masyarakat melalui sistem pendidikan yang sedia ada agar mendidik nilai keagamaan yang benar dan mengikut nilai kita. Sesuatu nilai yang tidak murni itu tidak boleh diterima kerana kita ada acuan tersendiri. Dalam hal ini, kerjasama semua pihak amat penting untuk proses pencegahan dan pembanterasan.
Bagaimana Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis hendak mengendalikan tanggapan bahawa perjuangan militan ini adalah jihad kerana mereka mahu membantu saudara seagama yang terperangkap dengan pergolakan di Iraq dan Syria?

AHMAD ZAHID: Saya fikir ia bukan hanya dilakukan Kementerian Dalam Negeri dan polis sahaja. Masalah ini juga sebahagian daripada tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), majlis agama negeri dan Kementerian Pendidikan agar dijelaskan definisi sebenar jihad. Jihad yang sebenarnya bukan dengan melakukan pembunuhan dan aktiviti keganasan. Jihad sebenar adalah mengikut ajaran Rasulullah iaitu taat kepada Allah, taat kepada Rasul dan pemimpin.
Ertinya jihad kita sekarang adalah mempertahankan keharmonian yang ada di bawah kerajaan sekarang dan bukannya menggunakan interpretasi tersendiri untuk menghalalkan pengeboman berani mati. Tidak ada satu ayat pun dalam al-Quran atau sepatah hadis yang menyebut bahawa jihad adalah dengan melakukan perbuatan membunuh diri.
Ada tanggapan mengatakan Kementerian Dalam Negeri bertindak keterlaluan kerana sasaran mereka ini adalah untuk terlibat di luar negara dan bukannya menjadikan negara ini sebagai sasaran?

AHMAD ZAHID: Apa jaminan mereka tidak akan melakukan perkara itu dalam negara suatu ketika nanti? Saya lontarkan balik soalan tersebut kepada mereka yang berpandangan sebegitu. Kalau mereka tidak ditegah daripada sekarang apa jaminannya?
Kebimbangan sekarang adalah apabila institut pengajian tinggi (IPT) menjadi tempat berkumpulnya mereka yang terlibat dengan militan, di mana kelemahannya sehingga kita gagal mengenal pasti lebih awal?

AHMAD ZAHID: Ia tidak bersandarkan kepada sesebuah IPT tetapi bergantung kepada individu berkenaan. Kebetulan mereka itu tenaga akademik yang mungkin terpengaruh dan kebetulan berada di IPT berkenaan. Saya fikir tidak adil untuk kita meletakkan sesuatu kesalahan itu kepada sesebuah universiti yang mereka berkerja. Dalam perkara ini, saya salahkan individu itu sendiri dan bukannya universiti.
Perlukah saringan khusus dibuat dengan kerjasama polis terlebih dahulu dalam aspek pengambilan tenaga pengajar di IPT khususnya kalangan yang berlatar belakang agama?

AHMAD ZAHID: Saya fikir tapisan ini bukan hanya tenaga akademik yang berlatar belakangkan agama, saya ingat dalam kalangan pelbagai pihak termasuk pihak keselamatan itu sendiri. Apa yang penting maklumat awal mesti diperolehi. Kita di dalam sistem Interpol, ada senarai orang disyaki dan siasatan awal dibuat bagi menangani aktiviti tidak sihat ini. Siasatan dibuat cara halus dan cukup teliti.
Datuk Seri sekarang berdepan dengan pelbagai isu yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri. Bagaimana Datuk Seri hendak menangani isu ini satu persatu agar tidak kelihatan tertekan, undur ke belakang atau takut membuat keputusan tegas?

AHMAD ZAHID: Saya tidak melihat ini sebagai masalah peribadi saya. Sesiapa sahaja yang menjadi Menteri Dalam Negeri, inilah masalah yang perlu mereka hadapi sekarang. Saya tidak akan lari daripada masalah kerana saya tetap akan hadapi dan cari penyelesaian kepada masalah tersebut. Saya bersyukur kerana memiliki Ketua Polis Negara yang baik, tegas dan berani.
Saya juga bersyukur kerana mempunyai Ketua Setiausaha, ketua pengarah serta pegawai kanan yang komited untuk bersama-sama saya menyelesaikan semua masalah ini. Tentu sekali perkara ini bukan secara kebetulan tetapi bersandarkan kepada bagaimana cara saya mengurus dan mendekati mereka.
Masyarakat pula harus memahami, tugas berat ini akan mendatangkan terlalu banyak kecaman tetapi saya mahu jelaskan bahawa saya tidak akan mengambil kisah soal kecaman asalkan saya bertanggungjawab kepada rakyat, Perdana Menteri dan negara secara keseluruhannya.

* sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...