Ahad, 16 November 2014

Penipuan siber 'love scam' libatkan ribuan ringgit ditipu lapor SKMM


Golongan lelaki miang sering terpedaya dengan sindiket penipuan siber yang dikenali sebagai love scam.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Perak mendedahkan, kes melibatkan love scam paling banyak diterima pihaknya sejak kebelakangan ini dengan 30 kes setakat ini.

Ketuanya, Mohd Faizal Azizan berkata, bagi wilayah utara melibatkan Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, sebanyak 80 kes dilaporkan kepada pihaknya manakala setiap minggu secara purata dua kes diterima bagi negeri Perak.

“Sindiket ini menggunakan aplikasi video bersembang atas talian iaitu Skype.

"Seorang wanita cantik dipercayai dari Filipina akan meminta mangsa menanggalkan pakaian dan tanpa disedari ia sebenarnya dirakam.

“Rakaman itu kemudiannya digunakan untuk mengugut mangsa supaya menyerahkan wang jika tidak mahu ia tersebar,” katanya pada program Luncheon Talk anjuran Jabatan Penerangan Negeri Perak, di Ipoh.

Mohd Faizal berkata, pihaknya bekerjasama dengan polis bagi membantu menyelesaikan kes berkenaan yang melibatkan penipuan ribuan ringgit.

Selain itu katanya, Nigerian Scam juga antara kes yang banyak dilaporkan tetapi ia menyasarkan golongan wanita berusia 40 tahun ke atas.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu pula, menggunakan laman sosial untuk memperdaya mangsa dengan kata-kata manis dan pelbagai helah supaya wanita itu menyerahkan wang kepada penjenayah terbabit.

Katanya, terdapat juga kes mangsa diperdaya dan dijadikan keldai dadah.

“Kita nasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan godaan dan rayuan mereka di internet. Kita hanya membantu pihak polis dan setiap aduan yang dibuat kita terima.
“Perkara ini bukan main-main sebaliknya ia boleh mengganggu kehidupan dan menjejaskan reputasi seseorang,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...