Sabtu, 4 Januari 2014

2 Penyamun Diberkas di Pasir Puteh, Ipoh


Polis berjaya memberkas dua lelaki yang menjadi buruan sejak enam bulan, ketika mereka sedang sibuk mengumpil pintu sebuah rumah di No. 105, Jalan Pengkalan Barat 18, Taman Shatin, Ipoh, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Assistant Commissioner (ACP) Sum Chang Keong memberitahu, ketika kejadian kira-kira jam 3.25 pagi itu, kedua-dua suspek sedang leka mengumpil pintu rumah sehingga tidak menyedari kedatangan anggota polis yang sedang membuat rondaan motorsikal di kawasan tersebut.

Beliau percaya, dengan tertangkapnya dua penganggur tersebut, polis berjaya menyelesaikan sembilan kes yang terdiri daripada lima kes samun dan empat kes pecah rumah di sekitar Ipoh sejak enam bulan lalu.

“Ketika tangkapan, kedua-dua suspek yang berasal dari Taman Pasir Putih itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh empat anggota kami yang kebetulan sedang membuat rondaan di kawasan tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka aktif sejak enam bulan yang lepas dan seorang daripada suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau yang melibatkan dadah dan juga samun manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Bercham, hari ini.

Menurut ACP Sum, berikutan tangkapan tersebut pihaknya turut merampas sebuah motorsikal jenis Yamaha yang digunakan sebagai kenderaan untuk menjalankan aktiviti pecah rumah dan samun, skru driver dan spanar bersaiz 10 inci.

Kedua-dua suspek yang berumur 31 dan 48 tahun itu akan ditahan reman sehingga 5 Januari ini dan akan dikenakan tuduhan di bawah Akta 457.

ACP Sum berkata, hasil kejayaan tersebut juga, polis Ipoh telah menyerahkan sijil penghargaan kepada empat anggotanya yang berjaya memberkas dua suspek itu.

Empat anggota yang telah menerima sijil penghargaan tersebut ialah Muhammad Exval Zairi, Khairul Asuari Mohd Namiri, Mohd Hadiz Omar dan Aswady Mustafa.

 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...