Sabtu, 4 Januari 2014

2 Mati Bogel Dalam Kereta di Ipoh


Kebimbangan seorang isteri mengenai kehilangan suaminya yang tidak pulang ke rumah sejak kelmarin terjawab apabila lelaki itu ditemui mati bersama seorang wanita dalam keadaan berbogel di dalam kereta di sebuah premis perniagaan di Bandar Cyber dekat Ipoh hari ini.

Kedua-duanya yang masing-masing berusia 58 dan 51 tahun itu ditemui pada pukul 9 malam tadi di dalam kereta Proton Wira milik lelaki terbabit dalam keadaan enjin kenderaannya masih belum dimatikan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, isteri lelaki tersebut membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya pada pukul 7.55 malam hari ini selepas suaminya tidak pulang ke rumah sejak kelmarin.

Katanya, wanita tersebut kemudiannya pergi ke kedai milik suaminya di belakang sebuah hotel bajet di sini dan mendapati terdapat kepulan asap yang datang dari arah kedai berkenaan sebelum dia bertindak memecah masuk kedai tersebut.

"Sebaik sahaja masuk ke dalam kedai itu, wanita terbabit mendapati suaminya dan seorang wanita lain yang tidak dikenali berada dalam sebuah kereta dalam keadaan bogel. Kedua-dua mereka bagaimanapun sudah tidak bernyawa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Paramasivam berkata, pemeriksaan mendapati kereta yang dipercayai milik mangsa wanita terbabit iaitu jenis Proton Iswara juga berada di luar premis perniagaan berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh mayat kedua-dua mangsa tersebut.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kejadian," ujarnya.





*sumber dari akhbar nasional tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...