Jumaat, 4 September 2015

UMNO dan PAS buat repot polis kes pijak gambar pemimpin


Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat meminta polis menyiasat individu yang terbabit dalam aksi memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Himpunan Bersih 4.0, baru-baru ini.
 
Ketua Pemudanya, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, siasatan perlu dilakukan memandangkan aksi yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab itu mampu mendatangkan kemarahan khususnya kepada penyokong kedua-dua parti.
 
“Saya mewakili Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan Pemuda Umno Bahagian di peringkat negeri memohon pihak polis menyegerakan siasatan terhadap aksi  memijak gambar yang dilakukan itu.
 
“Saya turut khuatir tindakan itu boleh merosakkan perpaduan kaum berbilang bangsa yang tinggal dengan aman di negara ini,” katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Simee, di sini.
 
Hadir sama, Penolong Setiausaha Umno Bahagian Batu Gajah, Muhamad Nabil Abdul Nasir dan wakil Pemuda Umno Batu Gajah, Mohd Zaini Zainal.
 
Beliau berkata, polis juga sewajarnya mengenakan tindakan tegas terhadap 15 individu lain yang didapati gagal mengawal perilaku dan sikap peserta himpunan berkenaan.


 
Sementara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Pas Perak menyifatkan perbuatan memijak gambar pemimpin ketika Himpunan Bersih 4.0 di Dataran Merdeka baru-baru ini sebagai perbuatan biadab.
 
Setiausahanya, Mohd Zawawi Abu Hassan berkata, perbuatan itu juga bertujuan menghina dan menjatuhkan imej Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia.
 
“Ia satu tindakan tidak beradab dan mencalar kredibiliti pimpinan tertinggi Pas. Ini menzahirkan bentuk penghinaan terhadap ketua saya yang mengetuai sebuah parti politik yang sah.
 
“Aksi tersebut juga merupakan satu tindakan provokatif yang boleh menimbulkan keresahan huru-hara dalam kalangan ahli serta hasutan yang mengancam keselamatan negara,” katanya ketika ditemui, semalam.
 
Turut hadir, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri, Mohd Hafez Sabri dan Pengerusi Lajnah Monilasi Pas Negeri, Wan Termizi Abdul Aziz.


*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...