Susulan pendedahan akhbar Utusan Malaysia mengenai kegiatan menjual anugerah darjah dan kebesaran diraja palsu di negeri ini, lapan individu termasuk dalang utama kes itu diberkas polis dalam Op Anugerah yang dilancarkan sejak 16 Februari lalu.
Dipercayai dalang utama kegiatan itu mempunyai kaitan dengan sejarah kerabat diraja Perak.
Kesemua suspek kini direman sementara menunggu Lembaga Pencegahan Jenayah bersidang untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi bagaimanapun enggan mengesahkan tangkapan yang dibuat itu melibatkan kerabat diraja negeri ini.
Beliau berkata, kesemua suspek yang berusia antara 35 hingga 63 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang, Perak, Johor dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, penahanan mereka dibuat mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
“Tangkapan dilakukan oleh polis Perak dengan kerjasama polis Bukit Aman.
Kesemua suspek direman mengikut Seksyen 4(2) Akta POCA 1959 (Akta 297) sementara menunggu Lembaga Pencegahan Jenayah bersidang untuk tindakan lanjut,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis di Mes Pegawai Kanan Polis, di sini hari ini.
Pendedahan akhbar ini mengenai kegiatan menjual anugerah Datuk palsu di negeri ini mendapat perhatian semua pihak termasuk Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah apabila baginda sendiri menitahkan supaya kegiatan itu segera dibendung.
Pihak yang menjalankan kegiatan itu dipercayai telah menjalankan kegiatan tersebut sejak bertahun-tahun lalu dengan bayaran berbeza, iaitu berdasarkan anugerah yang diberikan.
Abdul Rahim menjelaskan, tangkapan tersebut merupakan tindakan polis sebagai menjunjung titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat dalam sindiket berkenaan.
Ujarnya, kegiatan tersebut telah mencemarkan institusi Kesultanan Perak dan polis telah mengambil tindakan segera dengan membuat tangkapan
“Sejak Mac 2013 lagi, kita telah menerima empat laporan mengenai penganugerahan pingat palsu ini dan kita telah namakan operasi bagi mengesan individu yang terlibat sebagai Op Anugerah.
“Kita sedang mengesan saki-baki individu yang terlibat dalam sindiket ini,” katanya.
*sumber dari laman sesawang akhbar tempatan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan