Isnin, 29 Oktober 2012

Bangsamoro damai bentuk autonomi Islam di Filipina


Wikipedia mendefinasikan Bangsamoro sebagai etnoreligius yang terdiri daripada 13 suku yang mendiami Filipina bahagian selatan. Front Pembebasan Islam Moro atau dalam bahasa Inggeris disebut Moro Islamic Liberation Front (MILF), merupakan kelompok militan Islam yang berpusat di selatan Filipina. Daerah tempat kelompok ini aktif dinamai Bangsamoro oleh MILF dan meliputi bahagian selatan Mindanao, kepulauan Sulu, Palawan, Basilan dan beberapa pulau yang bersebelahan.


Baru-baru ini perjanjian bersejarah ditandatangani kerajaan Filipina dan kumpulan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang menguasai wilayah Mindanao menjadi titik tolak untuk menghentikan keganasan berpanjangan di negara itu.

Jika segalanya berjalan lancar, perjanjian itu akan menamatkan pemberontakan paling lama dan paling ganas di Asia.

Begitu bermakna perjanjian itu sehinggakan tentera MILF, yang digelar pengganas oleh dunia antarabangsa, turut mengalirkan air mata sebaik mendengar khabar gembira itu.

Selepas lebih 40 tahun bergelumang keganasan, penduduk dan tentera di Mindanao mengharapkan keamanan selepas kerajaan mengiktiraf hak mereka untuk memiliki identiti tersendiri di dalam sebuah negara yang sama.

“Hari ini, saya hulurkan salam persahabatan kepada orang Filipina... hari ini kami datang menamatkan kekeruhan antara Bangsamoro dan negara Filipina,” kata Ketua MILF, Murad Ebrahim dalam ucapannya pada majlis tandatangan di Istana Presiden di Manila, pada 15 Oktober lalu.

Murad dan delegasi MILF muncul daripada markas terpencil mereka di selatan Filipina untuk menyaksikan detik bersejarah itu.

Rundingan selama 15 tahun dibantu oleh kerajaan Malaysia akhirnya membawa Filipina ke anak tangga pertama dalam usaha menamatkan keganasan di wilayah yang berjiran dengan Sabah itu.

Perjanjian hanya sekeping kertas?

Ketua perunding MILF, Mohagher Iqbal mengakui perjanjian keamanan di Mindanao hanya akan menjadi sekeping kertas jika tidak dilaksanakan dari akar umbi.

“Persetujuan ini adalah perjanjian damai terbaik ditandatangani kedua pihak. Tetapi ia perlu diberi masa,” kata Iqbal selepas menandatangani perjanjian itu dengan ketua perunding kerajaan Filipina, Marvic Leonen.

Sementara itu, Leonen berkata, melalui perjanjian itu, Undang-Undang Asas Bangsamoro akan digubal bagi membentuk kuasa autonomi di selatan negara dengan 94 juta penduduk itu.

“Kami akan memulakan perbincangan awal, November depan dan berharap perjanjian akhir dapat dicapai sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Perjanjian itu diumumkan Presiden Filipina, Benigno Aquino awal bulan ini, disambut dunia antarabangsa sebagai peluang terbaik untuk menamatkan pemberontakan yang telah membunuh 150,000 orang sejak 1970-an.

Dokumen 13 muka surat itu menggariskan persetujuan umum beberapa isu penting termasuk kuasa, hasil pendapatan dan pembahagian kawasan bagi mewujudkan satu wilayah baru dipanggil Bangsamoro, di mana MILF memegang kuasa terbesar.

Melalui perjanjian itu, MILF akan menggugurkan percubaan mereka untuk mendapatkan kemerdekaan sebaliknya akan diberikan kuasa autonomi untuk mentadbir beberapa wilayah di Mindanao.

Suruhanjaya Peralihan dianggotai 15 wakil daripada kedua pihak akan merangka undang-undang asas untuk diserahkan oleh Parlimen kepada wilayah itu menjelang 2015.

Kemudian, penduduk wilayah autonomi itu perlu mengesahkan undang-undang baru itu dalam satu pungutan suara yang akan diadakan sebelum Aquino menamatkan penggal enam tahun pemerintahannya pada 2016.
Aquino mengumumkan beliau mahu membantu MILF menjadi parti politik yang dapat membantu peralihan wilayah itu kepada tempat yang aman dan progresif.

Perbezaan identiti punca konflik

Hanya dalam satu ayat, Murad merumuskan sejarah perjuangan orang Moro untuk mentadbir kawasan mereka sendiri.

“Kami telah melihat bagaimana sistem kesultanan Moro terhapus, bagaimana kedaulatan negara Moro dirampas, menyebabkan penurunan martabat kami yang kini hidup dalam tawanan sehingga identiti Bangsamoro terhakis serta negara milik nenek moyang kami dijadikan pecahan kecil yang dipanggil wilayah,” katanya.

Menurutnya, layanan tidak adil ini menyebabkan konflik Moro bermula dan melahirkan MNLF dan kemudian MILF.

Kumpulan pejuang Islam di Filipina telah bertempur sejak 1970-an untuk mendapatkan kemerdekaan Mindanao yang dianggap negara asal nenek moyang mereka sebelum orang Kristian dari Sepanyol menjajah negara itu bermula 1500-an.

Penduduk Islam di wilayah itu, dianggar seramai empat hingga sembilan juta orang, kini menjadi kaum minoriti di Mindanao selepas bertahun-tahun perpindahan orang Katolik ke wilayah itu.

Namun orang Islam akan menjadi kaum majoriti di wilayah autonomi baru yang sedang dirancang bersama itu.

Mereka juga mempunyai identiti jauh berbeza dengan kaum lain di selatan Filipina, antara punca utama konflik itu.

Pemberontakan dan peperangan berpanjangan menyebabkan kemiskinan dan keganasan bersenjata di kebanyakan kawasan di wilayah yang kaya dengan sumber asli itu.

Jalan di hadapan masih berliku

Tidak ada jalan mudah untuk menuju keamanan, dan perkara ini disedari MILF serta kerajaan Filipina.

Antara isu paling sensitif dalam perjanjian ini adalah pembubaran kuasa tentera MILF yang kini menguasai Mindanao.

Di bawah perjanjian itu, tentera Filipina akan memindahkan fungsi penguatkuasaan undang-undang kepada pasukan polis baru, dan fungsi tentera MILF seramai 12,000 anggota akan dibubarkan selepas perjanjian akhir dicapai.

Perunding MILF, Iqbal berkata, tidak semua pejuang dan tentera MILF memahami rangka kerja perjanjian antara kumpulan itu dengan Manila.

“Kami mengaku terdapat sedikit masalah komunikasi. Sebab itulah selepas ini, kami akan turun padang dan menerangkan kepada mereka,” katanya enggan mengulas penerimaan tentera MILF mengenai hakikat pasukan mereka akan dibubarkan.

Beberapa kumpulan kecil seperti Abu Sayyaf pula memulakan keganasan baru bagi menghalang perjanjian itu ditandatangani.

Abu Sayyaf didakwa bertanggungjawab ke atas beberapa serangan paling buruk di Filipina tetapi kumpulan kecil itu tidak terlibat dalam proses damai tersebut.

Sementara itu, beberapa pemimpin MNLF juga menyuarakan kemarahan selepas melihat perjanjian itu bakal melucutkan kuasa mereka dan memberi amaran pertempuran baru akan dilancarkan.

Selain itu, cabaran terbesar adalah pada peringkat kelulusan Parlimen.

Parlimen Filipina, yang didominasi pemimpin beragama Katolik, perlu meluluskan undang-undang untuk mewujudkan wilayah Islam Mindanao.

Namun ramai pakar berpendapat Aquino, antara presiden paling popular dalam sejarah Filipina, mampu meyakinkan penduduk majoriti Katolik di negara itu supaya menyokong rancangan damai itu.

Dan jika dilihat daripada suasana dan semangat ditunjukkan kedua pihak semasa perjanjian itu, pastinya apa pun cabaran yang timbul dapat diatasi.




Sumber : Wikipedia dan laman sesawang akhbar tempatan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...