Rabu, 24 Oktober 2012

Perak terima 1.17 juta sumbangan korban aidiladha


Majlis penyampaian sumbangan berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar kira-kira jam 8 malam tadi dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerima sumbangan itu bagi pihak kerajaan negeri.

Perbadanan Pertanian Negeri Perak (SADC) menjadi penyumbang terbesar dengan nilai RM315,000 diikuti Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (RM180,000); Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (RM160,000); Lembaga Air Perak (RM160,000); Yayasan Perak (RM50,000); Perbadanan Menteri Besar (RM50,000); Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (RM50,000); KPerak INC (RM18,000) dan Institut Darul Ridzuan (RM15,000).

Terdahulu, dalam ucapannya, Zambry berkata, sumbangan yang diterima daripada pelbagai agensi di bawah kerajaan negeri itu membuktikan prestasi baik yang telah dicapai oleh agensi berkenaan.

“Sumbangan ini akan diagih-agihkan untuk membeli ternakan bagi menyempurnakan ibadah korban baik di peringkat negeri mahu pun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bagi pihak kerajaan negeri pula, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang saban tahun tidak putus-putus berbuat amal dan sebenarnya, ia dapat menambahkan lagi rezeki kita,” katanya lagi.

Tambahnya, walaupun ada pihak mendakwa negeri Perak akan bankrap, perkara itu sebaliknya tidak berlaku malah prestasi agensi di bawah kerajaan negeri berkenaan semakin meningkat dalam tempoh tiga tahun lalu.

Sebelum majlis bermula, Zambry bersama hampir 200 tetamu yang hadir menunaikan solat Maghrib berjemaah dan majlis diakhiri dengan jamuan makan ala Arab sekitar jam 9 malam tadi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'Like' Facebook

Rakan-rakan




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...